BAB 17

Other Completed 5710

Tangannya dia hulurkan ke arahku, menyebabkan aku semakin terkedu untuk bersuara apatah lagi menyoal akan kemunculannya secara tiba-tiba di dalam kehidupan ini. Hanya meneguk air liur yang mampu aku lakukan.

“Boleh Leo dapatkan skateboard tu balik?”

Terus aku memberikan papan luncur itu kepadanya tanpa mahu bertangguh lagi. Tidak betah duduk bertentangan dengan susuk tubuhnya yang ternyata sudah berubah daripada sebelum ini. Jikalau rambut itu dahulu dipacakkan tinggi, kini songkok yang melindungi.

Jikalau tubuh itu memakai baju gelap bergambar, kini kemeja biasa yang menjadi pilihan. Jikalau seluar dahulu koyak-rabak seperti stail orang tak cukup duit nak bayar jeans, kini seluar biasa yang dia sarungkan. Tiada lagi perhiasan atau benda-benda yang pernah menggambarkan dirinya sebagai seorang peluncur terhebat semasa aku menyertainya.

Jemarinya tidak terus menarik namun sebaliknya, Leo memegang hujung papan luncur yang satu lagi sedangkan aku turut melakukan hal yang sama. Bimbang pula andai aku melepaskan, papan luncur itu akan terjatuh mencium permukaan lantai. Panas terasa wajah tatkala renungan Selvi sudah lain macam, bagaikan nakal ingin menyakatku selepas pelanggan sudah beredar.

“Kalau nak ambil, ambil betul-betul.”

Biarpun tidak jelas, tetapi ekor mata tetap dapat menangkap bibir itu mengoyak senyuman nipis. Sama seperti aku, dia tidak merenung wajah ini seperti mana yang selalu dia lakukan terhadapku dahulu. Aci main redah walhal jantina nyata berbeza. Barangkali harga diri seorang wanita akan menjadi lebih tinggi dan lebih dihormati tatkala labuh pakaiannya, tak ke? Dapat aku rasakan layanannya ketika aku tidak menutup aurat dan kini. Berbeza.

Leo menarik papan luncur itu lembut.

“Ingatkan dah tak ada suara.”

“Nak beli kasut apa?” sampukku malas mahu melayan. Takut aku akan menangis jikalau terpaksa mengungkit kisah semalam yang hanya tahu mencucuk-cucuk tangkai hati. Sebolehnya, aku enggan mendengar bibir itu melafazkan tentang semua yang berkaitan dengan skates kerana aku sudah tidak wujud di dunia itu lagi. Sengaja aku mengambil sebuah kasut sukan Adidas dan menghulurkannya kepada Leo yang setia berdiri di sisi. “Ini ada diskaun sebab kami nak habiskan stok kasut sukan. Harga dulu RM250.00 tapi sekarang kami beri RM100.00 aje.”

Awkward sungguh promote barang dekat ‘kawan’ lama.

Jangan aku yang kena halau macam promoter lain, sudahlah!

“Boleh saya beli benda lain?”

Dia ni nak kipas angin warna kuning Doraemon ke? Atau dia mengidam nak beli ekzos kereta pulak dekat kedai kasut? Kutoleh memandang kawasan sekeliling yang hanya dikelilingi dengan kasut semata-mata. Tak nampak pula Encik Tan promote kereta kawalan jauh untuk dijual kepada lelaki ini. Kasut Adidas di tangan aku letakkan semula ke tempat asalnya tanpa mengerling ke arahnya.

“Kedai kasut tak jual DVD, Asad Afifuddin,” gumamku tanpa sedar menyebut nama penuhnya yang tidak pernah aku lupakan.

“Ingat awak dah lupa nama saya.”

“Awak nak beli apa sebenarnya?”

Kesabaranku sudah semakin terhakis untuk melayannya. Lain yang aku tanya, lain pula yang dia jawab. Bukannya aku begitu marahkan dia tetapi aku tidak selesa kerana kesalahanku terhadapnya dahulu masih belum aku tebus sepenuhnya. Maaf bagiku terlalu mahal dan sukar untuk diucapkan.

“Boleh kita bercakap sekejap?” pintanya.

“Saya tengah kerja!” tekanku keras.

“Shift awak tamat pukul berapa?”

Aku jeling ke arahnya tajam. Menggerutu sungguh sekeping hati ini dalam diam. Tidak habis-habis mahu mencungkil rahsia dan bertanya. Mulut tu macam bertih jagung nak meletup ke planet Pluto.

Memandangkan Zita juga sudah beria-ia menayangkan muka Joker tahap devil kerana aku dan Leo yang sedari tadi asyik berbual-bual bersama, terpaksa aku melepaskan keluhan sebelum akur untuk memberikan jawapan biarpun hati sebenarnya tidak rela. Tubuh aku palingkan sebelum berpura-pura menyusun kotak kasut sedangkan semuanya sudah pun selesai disusun rapi.

“Pukul sembilan malam.”

“I’ll wait.”

“Tak payah. Saya balik terus.”

“Kita jumpa dekat restoran ground floor,” putusnya lantas berlalu tanpa menunggu aku untuk memberikan kata putus.

Aku mendongkol kegeraman dengan tingkahnya yang tidak pernah berubah sejak aku mula-mula mengenalinya. Kotak kasut di tangan terasa ringan benar untuk aku lontarkan ke mana-mana arah yang aku suka. Tidak aku duga bahawa aku dan dia bakal dipertemukan di kala aku sudah mampu membawa badan di dunia sebenar.

Serasa mahu aku sembunyikan diri ini di benua lain agar tidak perlu bersemuka lagi dengan Leo. Luka lama yang berparut di hati seakan-akan mahu berdarah kembali. Suam kelopak mata tiada siapa yang mengerti.

Zita yang selesai menerima bayaran daripada pelanggan lain segera mendekati. Tubuhku dia siku lembut dengan kening yang terjongket, mahu menyakat. Riak wajahnya jelas menunjukkan bahawa dia berminat untuk mendengar cerita daripada mulutku tentang kehadiran Leo secara tiba-tiba di kedai ini.

Kali ini, bahuku pula dia cuit nakal apabila aku membisu. Wajahku cemberut membalas renungannya sebelum aku berpaling untuk berhadapan dengannya. “Kau dah kenapa, Zita? Dari tadi duk mencucuk aku sana, mencucuk sini… kau ingat aku ni butang dekat remote control?” soalku geram.

Pecah tawa kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience