BAB 14

Other Completed 5710

Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!”

Maka ia terus menjadi. Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah Yaasiin 81-83)

Doa sesudah membacakan Yaasiin dibacakan oleh Along dan aku sekadar mengaminkan. Air di dalam jag kami gunakan untuk menyiram kubur. Sesekali mata terasa berair namun aku tak mahu menangis di hadapan kubur mereka.

Cukuplah esakan itu. Aku tidak mahu mereka menitis lagi sedangkan lebih baik jika aku mengagungkan Tuhan dan di kala itu, aku mengalu-alukan air mata untuk gugurnya berjuraian. Iman dan taqwa bukannya boleh diwarisi secara turun-temurun macam perniagaan.

Jikalau iman dibiar rosak, maka lemahlah iman itu untuk terbina kukuh semula. Untuk membuang ‘dunia’ lalu semata-mata mahu memasuki sebuah ‘dunia’ baharu untuk mengenal Dia, susah. Aku sendiri hampir rebah namun…

Itulah gunanya tangan lain untuk menyokong.

Along banyak membantu juga biarpun ada kalanya kami semacam tak tertanggung untuk berubah. Kami perlahan-lahan mengenal Tuhan dengan lebih mendalam dan lebih kerap menghadirkan diri ke surau yang berhampiran dengan rumah. Along kini kulihat lebih terurus masa dan jadualnya dan lebih ceria berbanding dahulu. Bagaikan beban kekusutan yang membelenggu sudah dileraikan dek Tuhan kerana kita jadikan Allah sebagai satu keutamaan.

“Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (HR. Abu Dawud dan Ahmad)

Memang aku buta dan tuli menilai dan menghargai nikmatNya. Sepanjang aku bermain dan belajar untuk meluncur, aku akui tidak pernah sekalipun terdetik niat untuk berhenti dan menghormati azan. Malahan, kami boleh terkekeh-kekeh membuat jenaka semasa azan masih berkumandang. Hendak ke surau dan masjid untuk menunaikan kewajipan pun mustahil. Kaki melekat di deck. Solat kami anggap boleh ditunaikan jika sudah tua kerana malam masih muda.

Astaghfirullahalazim.

Terlalu banyak dosa aku dengan Tuhan. Banyak yang tidak mampu untuk aku kira. Hinanya seorang hamba yang tegar melupakan Tuhan yang Menciptakan sedangkan taraf serendah ini jikalau berada di bawah pemerintahan manusia, jangan haraplah dapat disayangi! Hamba bagi manusia adalah untuk dibuat permainan dan kuli sedangkan di mata Tuhan?

Allahu.

Mengapa kita masih berlagak seperti kita ini mampu hidup selama-lamanya dan yakin yang kaki sekotor ini mampu menjejaki Syurga? Sudah yakinkah yang hidung ini dapat menghidu bau Syurga sedangkan amalan pun bukannya banyak mana? Sedangkan orang yang menunaikan solat pun boleh melupakan Allah, bagaimana dengan mereka yang meninggalkannya?

Solatlah amalan utama yang dihisab kelak. Jika sempurna solatnya, alhamdulillah. Jika tidak? Bagaimana mahu bertaubat sedangkan pintu taubat sudah tertutup rapat? Ke mana hilangnya masa di dunia untuk memohon keampunan Tuhan?

Tidak guna puasa penat-penat tetapi solatnya tidak buat. Sia-sialah puasa jika tidak reti menutup aurat. Apa yang dapat hanyalah rasa haus, lapar dan penat. Pahalanya terpaksa menghilangkan diri kerana ketiadaan ibadah utama dalam kehidupan seharian iaitu solat.

“Numa,” panggilan Along menghentikan lamunan panjang yang aku sendiri cipta. Tangisan yang ingin berhias tidak aku izinkan untuk menjelma sekarang. Sudah aku bahagia dengan senyuman, tidak perlu aku rosakkan dengan esakan.

Wajah Along aku pandang dan di saat itulah aku lihat tubir matanya berlinangan. Bagaikan memendam sejuta rasa yang tidak pernah dia ungkapkan. Tubuhku lantas dia tarik ke dalam dakapan hangatnya lantas jemari setia mengusap belakangku. Melihat keadaannya yang sebegini rupa, menggoyahkan keazaman untuk tidak mengalirkan air mata.

“Along minta maaf… Along minta maaf…” esakannya semakin menggila.

Diam aku menadah telinga, menjadi pendengar nan setia.

“Along tak didik kau dengan baik. Along tak ada masa untuk ajarkan ajaran agama kepada kau sebab ilmu Along pun tak banyak mana. Along berhenti sekolah sebab tak mahu kau kebulur dekat rumah. Along ambil upah cuci pinggan mangkuk. Duit tu Along bagi kau untuk kau makan. Along rela makan sisa-sisa makanan dengan restoran sebab Along nak kau dapatkan yang terbaik. Tapi Along tak pernah nak bagi kau ilmu. Maafkan Along,” luahnya dengan sendu yang semakin jelas kedengaran.

Sebak mungkin sedang mencengkam dadanya.

Geleng. “Along… Along dah buat yang terbaik. Along dah cukup baik. Cuma, sekarang baru Allah bagi kita peluang untuk berubah,” pujukku lembut.

Pelukan semakin dieratkan dan bahu Along terhinjut-hinjut menahan tangis. Aku membalas sahaja dakapannya kerana tidak mahu dia terus hanyut dengan sedih yang tidak bertepian. Pengorbanan Along sangat besar untuk menyekolahkan aku dahulu dan kerana itulah, aku tidak mahu bersekolah menengah. Aku tidak mahu susahkan Along biarpun dia berkeras mahu membiayai yuran dan semua tanggungan. Kami tak suka meminta-minta.

“Dulu kita jauh sangat dengan Tuhan, Numa,” adunya.

Senyum.

“Sekarang rasa Tuhan tu dekat di hati,” sampukku.

“Tak sakit ke tinggalkan semua hobi dan kawan-kawan untuk berubah? Along yang tengok pun sakit. Sangat sakit,” soalnya lemah.

Aku menunduk. Siapa cakap tidak sakit melupakan semua itu semata-mata mahu mengejar cinta hakiki? Terpaksa melepaskan segala-galanya sedangkan selama ini itulah yang menjadi makanan harianku. Rindu untuk melompat dari bars dan buat hippie jump. Rindu untuk memijakkan kaki ke papan luncur.

Rindu untuk goncangkan botol spray bagi menghasilkan graffiti. Rindu untuk menepuk tangan dan meraikan kemenangan di setiap pertandingan dengan sahabat yang aku kenal sejak aku berhenti sekolah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience