BAB 23

Other Completed 5714

“Hantarkan kawan, pak imam. Ingat nak terus solat Asar dekat sini.”

“Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu rancangannya…”

“Siapa jadi imam kali ni, pak imam?”

“Eh, mestilah saya! Nama pun pak imam!”

Aku menekup mulut menahan ketawa yang hampir meletus tatkala pak imam sempat pula berjenaka. Ada benar juga kata-kata pak imam. Nama sedap-sedap dipanggil pak imam, mestilah dia imamnya.

Kasut aku tanggalkan dan aku letakkan elok di rak kasut yang sedia ada. Telinga masih mencuri-curi dengar perbualan mereka berdua walaupun aku boleh sahaja masuk ke dalam. Naluri hati ini kuat memaksa untuk berdiri tegak dan tekun menadah telinga.

Kedengaran tawa kecil Bard meletus. “Lupa pulak, pak imam. Sorry.”

“Tapi saya ingat kamu aje yang laungkan azan, boleh? Bilal pun tak berapa nak sihat hari ni. Daripada semalam asyik terbatuk-batuk aje.”

“In Shaa Allah, pak imam. Saya sudi.”

Sekalung rasa tersentuh menyerap masuk ke lubuk hati yang paling dalam. Ada takungan air mata yang sedang terbentuk di empangan mataku namun aku tahu aku bukannya mahu menangis kerana berduka cita atau kecewa. Jikalau dahulu, lelaki-lelaki di sekolah tidak akan mahu menjadi imam dan melaungkan azan.

Semua sibuk menuding jari ke arah rakan-rakan lain kerana tidak mahu. Takut sangat mahu berdiri di hadapan. Muka yang sama sahaja menjadi muezzin dan imam. Namun Bard tidak membantah atau menolak pelawaan pak imam itu.

Segera aku masuk ke dalam untuk membentangkan sejadah dan telekung. Tudung aku tanggal dan kerongsangnya aku letakkan ke atasnya agar tidaklah terbang melayang disapa angin. Stokin turut aku letakkan ke sisi sebelum bergegas aku menuju ke bilik air.

Usai selesai mensucikan diri daripada hadas kecil, iaitu berwudhuk, aku kembali ke dalam masjid semula dan mengambil tempatku di sisi beberapa jemaah wanita yang lain. Masing-masing sedang menanti azan Asar untuk dilaungkan dan ada segelintir yang bertasbih memuji keesaan Tuhan Yang Satu.

Kusarungkan kain dan telekung ke tubuh, memastikan tiada aurat yang terlihat atau boleh terselak kelak. Rambut aku sisipkan ke dalam anak tudung. Terdengar bunyi mikrofon yang ditepuk-tepuk dan itu sudah cukup untuk memberitahu bahawa Bard akan melaungkan azan sebentar sahaja lagi.

Hati entah mengapa menjadi terharu apabila mendapati dia yang berdiri di situ, cukup yakin dan tidak kekok untuk melakukan semuanya. Seperti itulah rutinnya. Seperti itulah perkara wajib yang akan dilaksanakannya.

“Allahu akbar allahu akbar…”

Aku kelu. Suara bagaikan tersekat. Hati menjawab azannya dengan detak yang berubah kencang dan laju. Suam mata ini hampir menggugurkan permata jernih yang sedia ada.

Azan ini… azan ini…

Aku kenal dengan kelunakan suaranya, meliang-liukkan suara dan membuatkan sesiapa yang mendengarnya terasa syahdu dan mahu mendengarnya lagi dan lagi tanpa jemu. Kemerduannya sering menjadi igauanku tatkala Subuh ingin menjelma.

Kenyaringannya dalam menyeru orang agar segera menunaikan solat selalu aku tunggu-tunggu untuk mengejutkan aku daripada lena di atas katil. Bohonglah aku jika aku tidak kenal dengan cara azan Subuh dilaungkan kerana setiap hari, itulah yang akan aku dengari selepas bangun daripada tidur.

Kelopak mata aku katup. Ada aliran air mata yang terhasil.

Kebetulankah namanya ini, ya Rabbi?

Tangan aku angkat untuk mengaminkan doa selepas azan. Seorang wanita di sisiku tersenyum sahaja memandang aku yang sungguh malu kerana selamba sahaja membuat drama air mata di sebelahnya. Jemariku menyeka pipi yang basah. Dia menepuk-nepuk pahaku dengan renungan yang aku sendiri susah untuk tafsirkan.

“Kamu pernah dengar azan macam ni?” soalnya lembut.

Aku lambat-lambat mengangguk segan. Kantoi.

“Mak cik selalu datang sini waktu Subuh, solat berjemaah sama-sama dekat masjid ni. Selalunya memang dialah yang tukang azannya. Sedap suara dia. Muda-muda lagi dah melekat dekat masjid. Sejuk hati mak cik ni kalau jadi menantu,” usiknya.

Terus aku terdiam sebelum menguntum senyuman hambar. Air mata yang ingin kering mengalir semula. Solat berjemaah aku tunaikan sekhusyuk yang aku boleh hinggalah salam yang kedua. Selesai membaca ayat Kursi dan memujiNya, para jemaah menadah tangan bagi mengaminkan doa yang dibacakan.

Usai bersalam-salaman dan mengemaskan apa-apa yang patut, aku bergegas keluar dari situ dan melajukan langkah untuk pulang ke rumah. Malu sebenarnya mahu berhadapan dengan Bard lagi, entah mengapa. Aku resah tiada bersudah. Terkejut sebenarnya dengan apa yang wanita tadi beritahu kepada aku.

“Numa?”

Suara yang menegur benar-benar boleh mengugurkan jantungku. Aku mengusap dada yang bergelora dengan emosi yang tidak mampu aku kawal. Entah bila dia boleh berlari dan mengejar aku, aku pun tidak pasti. “Minta maaf, Bard… tapi Numa dah nak balik. Rumah Numa pun dekat area sini aje. Numa boleh balik jalan kaki. Terima kasih sebab sudi hantarkan Numa sampai ke sini.”

“Numa, Bard… Bard…”

“Sejak bila, Bard?”

Sungguh! Tidak aku mampu mengawal lagi soalan yang ingin aku luahkan kepadanya. Aku tahu dia faham akan apa yang aku mahu sampaikan kepadanya dan tidak perlu aku bersusah-payah untuk menerangkan dengan lebih lanjut. Tubuh aku palingkan sedikit agar dapat berdiri betul-betul bertentangan dengannya yang kaku tidak bergerak. “Sejak bila Bard ada dekat sini? Bard cakap Numa simpan rahsia, tapi Bard pun apa kurangnya? Bard pun sembunyikan semua ni daripada kami! Sejak bila Bard, sejak bila?”

Bard mengetap bibir tidak menjawab.

Darah panas terasa menyirap naik ke muka.

“Atau sebenarnya Bard memang…”

“Sejak kita cakap soal buruj!” sampuknya perlahan dengan helaan nafas yang berat kedengaran. Dia memegang dada sebelum wajahnya diangkat sayu. “Bila Numa cakap soal Tuhan, Bard tahu Bard bukannya lelaki yang baik. Bard ambil keputusan untuk berubah juga, sama macam Numa tapi tak ada sesiapa pun yang tahu sehinggalah kita bergaduh hari tu. Bard tahu niat Numa! Bard tahu, tapi Bard tak boleh nak kawal ego Bard. Numa dah cabar seorang lelaki yang berego tinggi, Numa tahu tak? Sakit dekat dada nak berubah tak sama macam semut api gigit. Lebih sakit lagi, bila Numa nak putuskan persahabatan kita sedangkan kita boleh berubah sama-sama. Itu kan lebih baik?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience