BAB 21

Other Completed 5714

Kekok terasa mahu berbual dengannya seperti sebelum-sebelum ini. Sekiranya dahulu sibuk menyakat dan mengusiknya Hush Puppies celup, kini kami tidak boleh lagi menjadi semesra dan seakrab itu kerana ada batas pergaulan yang perlu kami jaga sebaik-baiknya.

Aku mengangguk tanda membenarkan dan kemudian, masing-masing duduk bertentangan dengan kerusi milikku. Sebelah tempat yang kosong lambat-lambat diduduki Leo namun dia berganjak sedikit untuk mengekalkan jarak antara kami. Cawan teh aku renung gugup sebelum mengangkat wajah yang sudah dicemari tangisan.

“Nak order apa-apa? Numa boleh panggilkan pelayan tu, lepas tu ambil pesanan.”

Bard tunduk. “Tak apalah…”

“Kami dah makan tadi,” sampuk Syin pula.

Dan Leo seperti tadi, menjadi bisu sebisu-bisunya.

Keadaan kembali sepi. Hanya dentingan sudu kaca yang bertemu dengan permukaan cawan sahaja kedengaran ketika aku mengacau minumanku. Entah ke mana keberanian untuk bersuaraku melesap, aku pun tidak tahu.

Kulihat tangan Leo yang dahulunya berbalut sudah elok dan lukanya juga sudah sembuh sepenuhnya. Baguslah begitu, tidaklah aku terlalu terhenyak kerana menjadi punca utama dia mendapat kecederaan sebegitu rupa.

“Dah lima bulan, kan?” soal Syin.

Serentak kami semua mengangguk sebak. Menghitung detik masa yang sudah lama berlalu pergi. Lima bulan tidak berjumpa, tipulah andai rindu itu tiada. Hanya kepada Tuhan mampu aku pohonkan agar kerinduan itu hanya aku titipkan di dalam doa semata-mata.

“So… how’s life?” soalku berpura-pura ceria.

Bard senyum hambar. “You think?”

“Mesti bahagia sebab tak ada Numa.”

“Numa,” Syin menyampuk, nampak sangat tidak menyukai aku membangkitkan topik sebegitu. Wajahnya berubah menjadi sayu, mematikan niatku untuk berkata-kata dengan selanjutnya tentang mereka.

Aku tersenyum sendiri. Jemari aku bawa untuk menyeka air mata yang gugur lagi. Pergaduhan yang sebenarnya tidak ada apa-apa cuma aku yang menjadikannya supaya lebih kritikal dan tidak dapat diselamatkan.

Hanya kerana itu, aku cukup ego untuk berkawan kerana sangkaku, cukuplah antara aku dan Tuhan tanpa sebarang teman. Percaturan yang aku lakukan ternyata hanya melukakan diri sendiri dan diri mereka. Sesenang itu aku memutuskan hubungan silaturahim. Sungguh, aku berdosa!

“Maafkan Numa sebab hal tu,” celahku.

“Kami yang patut minta maaf dengan awak,” Syin menjelaskan pula. “Saya pun lambat beritahu Bard dengan Leo hal sebenar sebab saya susah nak percaya. Kami langsung tak pernah join mana-mana competition since Numa tak ada dekat situ. Kami… kami tak tahu pulak Numa nak jadi… jadi macam ni. Bila difikirkan, mungkin sebab itulah Numa sengaja nak keruhkan keadaan supaya tak datang dekat T-Park tu lagi,” katanya dan menudingkan jari ke arahku, memberitahu tentang perubahanku.

Aku ketawa hambar.

“Numa.”

Suara garau itu menyebabkan aku terkedu. Mati senyuman di bibir ini, digantikan dengan rasa resah yang semakin bermaharajalela. Tanpa memandang ke sisi, aku tahu dia tahu yang aku mendengar bicaranya yang seterusnya. Menadah telinga seluas mungkin untuk menjadi pendengar kepada Leo.

Nafasnya dihelakan lemah.

“Kenapa tak ajak kami?”

“Ajak… ajak apa?”

“Ajak kami untuk berubah sama! Kenapa tak pernah nak beritahu kami yang awak tu nak cari cinta Tuhan balik? Kenapa tinggalkan kami terpinga-pinga? Awak memang nak tengok kami masuk neraka ya?” desak Leo dengan suara yang bergetar. Air matanya bergenang lagi bagaikan menampung beban yang terlalu berat di atas sepasang bahu itu. “Kalau Syin dengan Bard tak cakap tentang Numa yang selalu sebut Tuhan, semua orang tak tahu apa yang dah jadi. Suka sangat pendam semua diam-diam! Suka sangat berahsia. Hari tu pun awak bohong kami. Kenapa suka sangat buat macam ni?”

Aku hampir teresak-esak menangis. “Maaf…”

“Awak ingat kami nak halang dan ketawakan awak?” tekanya.

“Maa… maaf…”

“Awak ingat kami tak mahu masuk syurga sama-sama?”

“Maaf! Maaf…”

“Awak tak anggap kami macam sahabat ke?”

Aku tertunduk dan mengawal tangisan sendiri. Tisu yang disediakan aku rembat lalu kuseka air mata yang tumpahnya mencurah-curah ibarat air terjun terbesar di dunia. Ucapan maaf sudah tidak tersebut dek bibir sendiri. Aku tahu aku yang sebenarnya bersalah kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Sepatutnya aku mengajak juga mereka ke arah kebaikan tetapi aku cuma bimbang. Waktu itu, aku tak sekuat kini. Aku takut andai mereka mengalah, aku pun akan mengalah sama dan kemudian erti sebuah perubahan hanyalah tinggal sebagai nama.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Agama Seseorang sesuai dengan agama teman dekatnya. Hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman dekatnya.” (HR. Abu Daud dan Tirmidzi, dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Silsilah Ash-Shahihah, no. 927)

Betul kata Along.

Aku yang terlalu ego memikirkan soal sendiri. Ego kerana beranggapan aku seorang sahaja perlu berubah walhal sebagai seorang umat Islam, kita ada tanggungjawab yang lebih besar daripada berubah. Jikalau sudah untuk diri sendiri, bagaimana pula dengan dakwah dan tarbiyah? Bagaimanakah pula dengan mengembalikan bukan Muslim untuk kembali ke agama asal mereka sejak bayi iaitu Islam sendiri? Sudah terlaksanakah tanggungjawab untuk menegakkan agama Allah atau kita sekadar bising-bising tin kosong?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience