BAB 8

Other Completed 5710

“Makan makanan tu. Arwah abah selalu cakap supaya jangan bercakap time menghadap rezeki. Nanti tercekik susah aku nak betulkan anak tekak kau,” sampuknya gugup.

“Along tak jawab soalan Numa pun,” kataku.

Sudu dan garpu diletakkan tanda sudah selesai menikmati hidangan sedangkan masih ada mi yang bersisa. Nafas dia helakan lemah seakan-akan begitu berat untuk berkongsi masalah denganku. Selama ini, susah untuk aku mendengar cerita daripadanya biarpun suka atau duka. Hanya aku yang beria-ia buat telenovela dan drama swasta untuk bercerita sedangkan dia lebih selesa menjadi pendengar daripada tukang cerita. Jikalau aku bertanya tentang kerjanya, dia lebih cenderung untuk membisu atau menukar topik perbualan.

Along… terlalu memendamkan perasaan.

Hingga adiknya yang ingin menjadi bahunya tegar dia lupakan.

Mengapa perlu diam jika semua itu menyakitkan?

Bangkit daripada duduknya, Along membawa mangkuk dan bekas mi Maggi yang sudah pun kosong tanpa isi. Diletakkan kedua-duanya ke dalam sinki sebelum membuka peti sejuk dan mencapai sebotol besar air sejuk. Aku yang turut selesai dengan makan malam bingkas bangun dan menonong ke arahnya dengan dahi yang berkerut, sukar untuk memahami personaliti abang sendiri. Terlalu banyak dia rahsiakan rahsia hinggakan aku sendiri tidak tahu di mana pangkal cerita.

“Kenapa Along susah sangat nak bercakap dengan Numa? Numa cuma nak tahu dan ringankan beban Along. Along tahu kan yang Numa sayangkan Along?”

Senyuman hambar dia pamerkan. Kepala aku diusap-usapnya perlahan dan aku dapat merasakan bahawa tubuh itu sudah dimamah lelah kerana terlalu kuat bekerja hingga kesihatan diri pun berpotensi untuk dia abaikan.

“Along penat. Along nak masuk tidur.”

“Along…”

“Nanti basuh pinggan tu,” arahnya dan meluru masuk ke dalam bilik tidurnya.

Terbiar aku di situ tanpa jawapan untuk soalan-soalan yang kerap membelenggu kepalaku. Semakin aku kasihan dengan Along malah, geram pun ada juga sebenarnya. Degil kerana enggan berkongsi cerita sedangkan aku boleh sahaja menjadi pendamping yang setia. Pinggan mangkuk di sinki segera aku basuh tanpa sebarang bantahan.

Usai selesai dengan kerja membasuh, tangan yang basah segera aku lap dengan tuala kering. Papan luncur aku kutip, begitu juga dengan beg dan topi yang sudah terjatuh dari sofa. Kasut juga aku simpan elok-elok. Aku tak mahu menambahkan lagi kekusutan dan kepenatan untuk Along.

Telefon bimbit Nokia berikat getah yang berdering menyentakkan aku. Meluru aku masuk ke dalam bilik, mencampakkan semua yang ada ke lantai dan mengeluarkan telefon bimbitku dari dalam beg. Terlihatkan nama Bard, aku sudah tersenyum lebar sampai ke lubang telinga.

“Helo, Bard!!” seruku kuat.

“Weih! Kau ni nak aku pekak agaknya!” marahnya.

Ketawa.

“Apesal call malam-malam ni?”

“Esok ada latihan dekat tempat biasa. Datang awal sikit. Aku dah book vert ramp tu so budak-budak lain guna bars for training, nanti aku ajarkan kau cara-cara guna aerials. And yeah, supaya kau tak akan lepaskan lagi skateboard sampai terpelanting entah ke mana.”

Gulp. Bard si ahli nujum sudah ‘bertitah’!

“Aaa… apa kau cakapkan ni?”

“Both of you guys, janganlah nak tipu aku. Kau tak pandai menipu, Numa. Aku tahu kau mesti ada guna helah tu sampai Leo maybe cuba selamatkan kau. Itu yang sampai berdarah-darah badan dia. Dia pun degil tak mahu mengaku. Lagi satu, Leo tu bukan calang-calang orang! He’s among the best skaters in this neighbourhood so mustahil untuk dia jadi lalai sampai cedera seteruk tu,” tambah Bard lagi bagaikan tahu apa yang berlaku di T-Park sebentar tadi, seperti dia yang menyaksikan semuanya tanpa tercicir satu pun babak antara aku dan Leo.

Aku teguk air liur lagi. “Dia macam mana?”

“Macam tulah.”

“Macam tu… macam mana?”

“Tangan Leo terseliuh sikit tapi still tak teruk sangatlah. Wound dia semua dah berbalut. Tadi dah bawa pergi klinik dan doktor pesan supaya dia banyakkan berehat. Aku tak bagi dia join kita untuk bulan ni, biarkan dia sembuh betul-betul and then baru kita discuss pasal tournament next month…”

Kepala automatik terangguk-angguk faham seperti burung belatuk yang mengantuk. Sambil melabuhkan duduk di birai katil, aku mencampakkan pandangan untuk memandang langit. Rumah flat yang Along dan aku diami dikira agak bertuah kerana tiada bangunan pencakar langit lain yang menjejaskan pandangan. Taburan bintang yang bersinar hanya mampu aku pandang seraya bibir merekah senyuman.

“Numa… kau tengah buat apa?”

“Aku cari buruj.”

“Tak ada kerja betul. Aku jamin, mesti tak jumpa.”

“Kau tu lagi tak ada kerja. Call aku macam esok tak boleh nak telefon!”

Terkekeh-kekeh Bard di hujung talian mentertawakan aku, barangkali turut tersedar bahawa dia lebih kronik masalahnya daripada aku. Esok masih ada dan bukannya dia tidak boleh menghubungi aku.

Sengaja cari masalah. Kalau Bard sedang berada di hadapan mata ini, memang aku hayunkan papan luncur aku ibarat memukul bola besbol sehingga kakinya itu dapat menjejak permukaan planet Neptune. Biar dia kahwin dengan makhluk asing dekat sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience