BAB 28

Other Completed 5710

Takungan air mata masih terasa mahu pecah lagi apabila melihat susuk tubuh itu bersalam-salaman dengan pak imam dan beberapa lagi lelaki berkopiah yang ada di situ.

Tangannya memegang gugusan kunci masjid sebelum bergerak ke tempat solat perempuan dan mengunci pintu belakang. Kaki itu melangkah pula ke pintu utama dan menguncinya kerana kes-kes kecurian tabung masjid semakin berleluasa pada zaman ini. Ada juga kitab yang dikoyakkan dan sejadah yang berselerakan tidak berlipat jadi langkah berjaga-jaga wajar diambil. Tubuh yang bersarungkan jubah putih dan serban di kepala itu menambahkan sebak yang mencengkam jiwaku sendiri.

Tenangnya wajah itu melebatkan permata jernihku di lekuk pipi yang basah lencun.

Tidak aku peduli berapa lama aku terpaksa menanti dia untuk selesai mengunci apa-apa yang patut sebelum aku menghampirinya. Sinaran dari tiang lampu yang berhampiran membuatkan dia mendongak apatah lagi apabila aku bertindak berani untuk mendekatinya.

Kad yang aku leraikan dari ikatan reben aku tunjuk di hadapannya sebelum kuntuman mawar di tangan kanan aku tayangkan kepadanya memohon sebuah definisi penjelasan. Wajahnya yang berubah meyakinkan aku bahawa dialah pemberi bunga mawar yang kucari selama ini.

“Apa semua ni, Bard?” soalku sebak.

“Bard… Bard tak ada niat pun nak…”

“Bard tak ada niat apa? Betul kan ini bunga yang Bard bagi?”

Kepalanya tertunduk lama menekur jalan turap.

“Maaf.”

Aku ketawa sinis sebelum diselangi dengan esak tangis yang entah bila terbit dari bibir sendiri. Emosi yang tidak stabil tidak mampu menguatkan aku untuk berhadapan dengannya kerana aku takut aku tewas dengan mainan perasaan. Biarpun dia mungkin memang ‘tiada niat’ mahu melakukan semua ini, aku tidak mampu menerima.

Bahuku terhinjut-hinjut menahan tangisan sebelum aku terpaksa mengorak langkah untuk pulang. Tidak sekuat itu untuk memandang anak mata dan mendengar suaranya kerana itu semua bakal mengingatkan aku kepada perwatakan baharunya, berbeza daripada Bard yang aku kenal di T-Park dengan spray dan graffiti genius yang dia hasilkan di tepi-tepi dinding.

“Numa, Bard minta maaf. Bard tak akan hadir dalam hidup Numa lagi.”

“Leo dah terangkan semuanya, Bard.”

Bard kelihatan cukup terkedu sebelum pandangannya dihalakan ke bawah. Sekali lagi membiarkan mata menjamah kaki yang bersarungkan capal di kaki. Wajah setenang air itu aku tidak berani pandang lama-lama, bimbang gelora batinku tidak mampu aku kawal. Aku perlukan kewarasan akal untuk memutuskan sesebuah keputusan tanpa amarah untuk menghasutku.

“Sejak bila, Bard?”

Diam.

“Bard… Numa tanya, sejak bila?”

“Sejak kali pertama jumpa Numa dan Bard sebenarnya memang dah tunaikan istikharah. Bard berubah lepas Numa matikan talian malam tu, cakap soal kekuasaan Tuhan. Kebetulan, Bard terpandangkan langit dan ketika itu juga Bard tersedar yang Bard dah tersasar jauh. Bard leka dengan dunia, sangat-sangat! Hobi tak salah tapi benda tu sangat melaghakan (melalaikan) Bard. Bard terus buat solat sunat taubat walaupun tak berapa nak tahu surah-surah specific yang kena baca. Bard tengok dekat Google, ada ustaz tu cakap… yang… yang…”

Esakan halus mencelah tiba-tiba.

Mataku turut kabur dek air mata tatkala melihat dia menangis. Tangannya melekat di kedua-dua belah mata yang terpejam rapat, membiarkan air mata itu terus gugur tanpa berseka.

Menjadi saksi kepada Tuhan akan taraf manusia sebagai hambaNya yang hina dan lemah namun Dia masih setia menyayangi. Penuh sabar aku menanti ujaran yang seterusnya biarpun mungkin aku juga bakal menghamburkan tangisanku di hadapannya.

“…kalau kita buat sesuatu, Allah tengok. Allah tahu apa ada dalam hati yang kotor macam arang ni, Numa. Bard dah lama tak rasa tenang macam tu sejak dulu dan dari situ, Bard tahu yang Bard memang ambil keputusan yang tepat. Tapi, Bard takut nak cakap dengan semua sebab Bard takut semua orang akan ketawakan Bard sedangkan diri ni baru nak bertatih dalam perubahan. Bila Bard nampak Numa beria-ia marahkan Bard, Bard tahu apa tujuan Numa. Numa pun nak tarik diri dari dunia tu dan kemudian melangkah dengan sebuah hijrah yang baharu.”

Aku memandangnya sekilas.

“Bard… Bard dah tahu?”

Angguk.

“Wardah Numa yang Bard kenal tak akan sesekali bercakap bohong sebab dia memang tak dikurniakan kebolehan itu ketika berbicara. Sejak Numa pergi dan tak datang, Bard ambil keputusan untuk bubarkan kumpulan kita dan tarik diri juga. Masa tu, Leo dan Syin pun sama-sama berubah macam kita cuma kita yang tak tahu. Sekarang, kita berempat memang tak pegang lagi skateboard, kan?”

“Jadi sejak itu… Bard…”

Angguk lagi.

“Tapi Bard terlambat. Bard tahu haram menaruh harapan untuk sesuatu yang tak akan jadi kenyataan jadi Bard doakan kebahagiaan Numa dari jauh. Moga-moga hubungan persahabatan yang pada mulanya pincang kita teguhkan supaya boleh jumpa dekat syurga sama-sama.”

Aku hampir terduduk mendengarkan luahan kata yang tidak terjangkau dek akal fikiranku sendiri. Alangkah retaknya hati ini memikirkan dia yang tiba-tiba sahaja berkata sebegitu sedangkan pemberian bunganya sudah cukup melakar sesuatu di hati ini.

“Apa… apa maksud Bard ni? Tak ada apa-apa pun yang terlambat sebab Numa…”

“Bard tak nak rosakkan kebahagiaan yang dah Numa dapat sekarang.”

“Apa Bard merepek ni?” aku mulai sebak tatkala dia mengungkit tentang perihal kebahagiaan sedangkan dia membuatkan aku menaruh harapan terhadapnya.

Perasaan yang aku kira sudah dapat dijangka dek sesiapa sahaja yang melihat. Berjejeran air mata bererti jiwa ini sudah cukup dia toreh kejam dek kata-kata sedangkan aku tahu dia mungkin tidak memahami perasaanku. Jantung ini berdegup kencang menyulam rasa aneh yang kusendiri sudah mampu meneka.

Aku jatuh cinta dengan kemerduan azannya.

Aku jatuh cinta dengan kisah perubahannya.

Aku jatuh cinta dengan empunya badannya.

Adakah itu semua masih tidak jelas di matanya?

Atau dia mahu aku buktikan dengan lafaz cinta?

Terasa menggeletar tangan menggenggam erat kuntuman mawar yang pernah dia berikan. Kudrat yang aku ada selama ini lesap entah ke mana. Aku benci kerana aku menjadi terlalu mudah untuk menangis sedangkan aku mampu pilih untuk berdiri tegak dan gagah mempertahankan diriku sendiri.

Badai dugaan yang melanda sepatutnya cekal untuk aku hadapi sebagaimana aku berubah dahulu biarpun tohmahan dan cacian orang sering menemani. Ke mana perginya semua sifat-sifat itu?

“Numa!”

Nyaring suara itu kedengaran, memaksa aku untuk berpaling ke belakang. Along laju sahaja menghampiri dan terus memaut pergelangan tanganku seakan-akan mahu melindungiku tatkala melihat adiknya ini bersama-sama dengan seorang lelaki.

Apabila matanya tertancap sepenuhnya pada wajah Bard, ketegangan di wajahnya berkurangan dan hanya digantikan dengan dahi yang berkerut seribu. Baru pulang daripada kerja nampaknya.

“Buat apa dekat sini, dengan… Jebat?” tanyanya.

Bard menunduk, bagaikan seorang pesalah.

Aku menggeleng. “Tak ada apa-apa benda istimewa yang boleh diceritakan. Tanyalah dia sebab Numa tak sanggup nak jawab apa-apa.”

“Jebat, apa dah jadi ni?”

Soalannya bagaikan dia sudah mengenali pula Bard lebih daripada aku yang menjadi temannya. Pelukan di bahuku semakin erat terasa dan aku tahu Along tidak mampu melihat tangisan wanita, apatah lagi jika wanita itu ialah darah dagingnya sendiri.

Hanya jemari kasar Along yang bisa mengubat duka di hati kerana aku tiada tangan abah untuk menyeka pipi apatah lagi jemari lembut ibu untuk mengusap wajah ini dengan penuh kasih.

Bard mengetap bibir. “Bard buat something yang… abang tak suka. Bard harap abang tak hukum Numa sebab semua ni memang berpunca daripada diri Bard sendiri. Kalau abang memang marahkan dia, abang marahkan sahaja Bard.”

Along menjongketkan kening. Tak faham.

“Abang tak faham. Maksud Bard ni apa?”

“Bard bagi Numa bunga,” akuinya takut-takut.

Along mengangguk. “Jadi?”

“Bard betul-betul minta maaf dengan abang. Bard tak tahu pun yang Numa ni isteri abang. Kalau Bard tahu, memang Bard cancel niat nak hadiahkan Numa bunga. Minta ampun, bang,” tambahnya sedikit sayu seperti menyesal sungguh dengan apa yang sudah dia lakukan.

Huh?

Sungguh, aku terkesima lama.

Isteri Along? Siapakah? Akukah? Apakah?

Terbahak-bahak Along ketawa di situ sebelum ledakan tawanya yang ingin reda kedengaran semakin kuat semula. Hampir tercampak ke longkang briefcase miliknya kalau bukan kerana aku yang pantas mendapatkannya. Gelak tak ingat dunia, beginilah jadinya! Macam dah nak tercabut semua gigi kekal dekat mulut dia tu, seronok sangat nak ketawakan orang! Benci betul!

“Aaaa… aaa… apa Bard cakap dekat Along? Ulang balik. Tadi macam tak berapa nak clear,” termengah-mengah dia menyoal dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya yang merah. “Sia… siapa, Bard?”

“Err… Numa, isteri… abang…”

Makin sakan dia mentertawakan aku dengan air mata yang disekanya cepat-cepat. Bibirnya terus mati tanpa senyuman sebelum dia menyambung tawanya semula sambil mencucuk-cucuk bahuku tanda menyakat. Sempat lagi nak mengusik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience