BAB 27

Other Completed 5710

“Sekejap. Bus stop. Akak… akak rasa… akak tahu nama adik…”

Semakin lebat air mata ini berguguran.

“Akak cakap nama saya nama bunga,” luahku sayu.

“Numa? Wardah Numa?”

Terus aku mengangguk dan mendakap erat tubuhnya. Bibir itu tidak henti-henti mengucapkan syukur ke hadrat Tuhan kerana kami dipertemukan setelah terpisah suatu ketika dahulu. Belakang tubuhku dia usap dan aku setia menghamburkan tangisan tanpa esakanku di atas bahu itu juga.

Betapa rindunya aku terhadap dia, hanya Allah sahaja yang faham. Betapa aku ingin menatap wajahnya dan berterima kasih kerana tegurannya yang membantu aku untuk menjadi lebih baik daripada kisah silamku yang hitam itu. “Ini saya, kak. Numa.”

“Ya Allah… akak tak sangka boleh jumpa adik dekat sini!” luahnya sebak.

“Saya pun tak sangka dapat jumpa akak. Saya ingat saya tak dapat jumpa akak lagi sebab hari tu saya tak teringat langsung nak minta nombor akak…”

Dia mengangguk faham. Dalam keadaan begitu, manalah aku ingat nak mencatit nombor telefonnya kerana pada waktu itu aku tidak tahu hatiku sudah mahu berubah.

Lagipun, pertemuan itu tidak dijangka-jangka dan bermula apabila dia yang bertindak untuk menegurku sedangkan aku boleh dikatakan agak pendiam dan bukannya seramah mana dengan orang.

Kerjaku hanya melayan perasaan sambil mendengar dendangan sahaja. Presepsi aku terhadap orang lain berubah apabila dia menunjukkan sifat prihatinnya terhadap aku ketika itu. Dan kerana akhlak mulianya jugalah aku mampu mendekati Tuhan walaupun seinci cuma. Kerana dia, aku mampu membuka pintu hati yang tertutup untuk melihat kurniaNya.

Leo mendapatkan wanita itu apabila pelukan kami leraikan. Dipandang wajah itu pelik dengan persoalan. “Akak memang dah kenal dengan Numa? Chad ingat baru nak kenalkan akak dekat dia.”

Senyum.

“Akak pernah jumpa dia.”

“Dan terima kasih untuk itu, akak,” celahku sebak dan sebenarnya aku tidak mahu wanita itu mengungkit tentang kisah silamku yang tidak ingin untuk kuingati.

“Panggil aje akak, Kak Inn.”

Aku senyum nipis. “Nama penuh akak apa?”

“Nur Zinnirah.”

“Macam bukan nama bunga,” usikku dan kami ketawa perlahan. Sengaja aku menyakatnya kerana dia pernah mengatakan benda itu ketika aku memberitahunya nama aku. Wardah bermaksud bunga mawar dan Numa itu bererti cantik dan memuaskan. Patutlah aku suka benar akan kuntuman mawar merah yang aku terima tadi.

Leo senyum.

Syin macam nak meletup dah kotak ketawa tu.

Rupa-rupanya, Kak Inn mahu mengucapkan terima kasih kepada aku kerana Leo dan Syin berubah kerana aku juga. Apabila aku kata aku mahu berubah mencari cinta sejati dari Tuhan, mereka turut terpukul dengan kata-kata itu dan meminta Kak Inn untuk membantu mereka juga.

Dahulu, berbuih-buih juga mulutnya menegur Leo agar tidak terlalu ketagih dengan skating tetapi susah apabila dia sendiri dahulu pernah bermain papan luncur dan memiliki hobi yang sama dengan adiknya yang seorang itu. Dia faham perasaan jikalau meninggalkan semua itu tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mahu Leo lupakan Tuhan.

Kini, Leo sudah tidak lagi ke T-Park. Begitu juga dengan Syin.

Hanya kadang-kala bila mood overdose tu menggigit-gigit, mereka akan bermain skateboard sekadar di jalan raya di hadapan rumah sahaja. Nama pun berjiran.

Aku senyum sahaja. Semuanya adalah berpunca daripada Kak Inn juga dan mereka sepatutnya berterima kasih kepada Kak Inn kerana dialah penggerakku untuk melangkah maju dengan yakin. Biarpun onak duri yang terpaksa aku pilih, aku tidak kisah andai kebahagiaan yang akan aku peroleh.

“Leo…”

Leo menoleh sekilas.

“Terima kasih untuk bunga tadi,” ucapku.

Dia mengerutkan dahi. “Bunga?”

“Bunga mawar,” tambahku lagi.

“Bila masa saya bagi awak bunga?”

“Dekat kedai tadilah…”

“Saya tak singgah kedai awak pun, Numa.”

Aku terdiam.

“Saya datang dengan Syin dan saya terus duduk dekat meja ni. Saya tak singgah buat perhentian pun dekat kedai awak tu sebab saya pun tak nak ganggu awak tadi. Urusan saya dekat situ pun tiada. Yang tahu awak bekerja dekat situ cuma kawan awak bertiga ajelah. Kak Inn pun tak tahu,” bisiknya perlahan.

Eh? Permainan apakah ini? Yang aku tahu, aku tidak rasa dia sedang melakukan jenaka. Aku rasa dia sengaja berkata begini kerana berasa malu dengan Kak Inn dan Syin yang memerhati dalam diam. Bibirku sekadar tersenyum sebelum memandangnya meminta penjelasan.

Apabila kulihat Leo menggeleng-geleng tidak tahu dengan pemberian itu, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena dan jiwa yang berparut terasa berdarah rancak kembali, membuka jahitan yang terlilit kemas.

Air liur aku teguk rakus.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience