BAB 7

Other Completed 5710

Nafasnya dia hela lemah. Mencari kekuatan untuk memulakan bicara yang aku rasa bakal membuatkan sakit jantungku bertambak kritikal dimamah lelah. Dan aku dengan penuh sabar menanti ujarannya yang seterusnya.

“Kalau kita bergantungkan manusia, kita hilang Tuhan. Tapi kalau kita bergantung kepada Tuhan, kita ada semuanya. Numa faham kan apa yang akak cuba nak sampaikan?”

Pedih terasa hati mendengar ucapan ikhlasnya.

“Akak dulu tak macam sekarang. Akak tak macam perempuan lain yang sukakan permainan masak-masak, atau benda-benda yang berkaitan dengan perempuan sebab bagi akak semua tu tak mencabar. Akak cuma fikir dunia skates aje sampai akak lupa untuk berterima kasih kepada Tuhan.

Hidup ni tak kekal mana. Akak tak banyak berjasa dengan agama akak. Malahan, akak tak jaga diri akak sendiri. Ada sebab-sebab kenapa Allah suruh kita tutup aurat. Sebab Allah dah cukup faham dengan gelodak nafsu seorang lelaki. Sedangkan perempuan yang berpurdah pun lelaki dah terpegun kaku, inikan pula kita tayangkan aurat buat mereka secara percuma.”

Diam aku menadah telinga, mencerna segala-galanya sedangkan otak sudah tidak mampu untuk menerima. Kenyataan perit yang aku terpaksa telan biarpun hati berkali-kali menidakkan. Terasa mahu campakkan muka yang malu ini ke Tasik Kenyir bagi mengurangkan rasa segan. Cukup berjasakah aku kepada agama sedangkan diri sendiri pun susah sangat hendak jaga?

Bas kian berhenti di satu perhentian. Wanita muda itu tersenyum sebelum meminta diri untuk turun dan pulang. Kami bersalaman seperti sahabat lama yang harus berpisah dan dia meninggalkan aku bersendirian tanpa aku yang mengetahui namanya.

Siti Saleha? Raudhah? Aisyah?

Aku tidak tahu biarpun hati menggila inginkan namanya untuk aku pahat di kotak memori.

Ajaran agama sudah lama aku tahu, tapi melaksana tak mahu.

Hamba jenis apakah aku?

Sekalung pujian harus aku berikan kepada wanita tadi. Betapa kuatnya dia untuk meninggalkan dunia lamanya semata-mata ingin mencari redha Ilahi sedangkan aku masih di sini, dengan benda-benda dan hobi yang melalaikan aku daripada mengerti definisi bersyukur. Sesungguhnya, aku tahu aku tidak mampu menjadi sekuat dia walau sejauh mana aku berlari untuk mencuba. Aku hina di mata manusia, apatah lagi mungkin lebih hina di mata Tuhan.

Atas nafas yang Dia berikan, atas kurniaan dan rezeki yang tiada bertepian, atas kasih sayang biarpun Dia aku lupakan, atas hikmah dan Dia turunkan, atas satu demi satu kesempatan yang sudah terlalu banyak Dia hadiahkan…

Bibir, mengapa berat untuk kau ucapkan…

Terima kasih, Tuhan…

***************

“Baru balik?”

Along bawa dua mangkuk kosong dari dapur, meletakkannya ke atas meja makan lalu menarik kerusi untuk melabuhkan duduk di situ. Menu kami seperti kebiasaan, Maggi. Kiranya hampir setiap malam jikalau Along balik lambat, itu sahajalah yang mengisi perut yang berkeroncong kelaparan. Namun, jika Along pulang lebih awal dan aku berada di rumah, Along akan mengajak aku untuk ke kedai mamak dan makan malam di situ.

Lemah aku menyandarkan skateboard ke dinding sebelum mencampakkan topiku ke sofa di ruang tamu. Kasut memang terbaring di muka pintu. Beg pula aku hempaskan ke atas lantai dan dengan malasnya aku membasuh tangan di sinki dapur. Dapat aku dengar Along mengomel tetapi aku tidak peduli.

“Kau ni macam ular yang nak bertukar kulit, kau tahu tak? Ini… skateboard, topi, beg… ini semua kulit disebabkan proses dehidrasi kau itulah! Bukan reti nak letak elok-elok. Cubalah jadi pengemas sikit.” Omelan Along masih berterusan seraya menggeleng-gelengkan kepalanya kepada aku.

“Numa dah kemas bilik Numa, itu pun dah cukup baik.”

“Bilik macam gua terbiar tu kau cakap kemas?” Along membuntangkan mata. “Along masuk bilik kau semalam pun rasanya boleh sesat nak cari jalan keluar. Baju bersih berlonggok tak berlipat. Baju kotor dah penuh dalam bakul tu. Almari pun tak kemas mana. Selimut dekat atas katil tu pun kau tak lipat dan tegangkan cadar. Macam maze runner Along dibuatnya! Kalau budak-budak tadika nak main treasure hunt, bolehlah kut gunakan khidmat bilik tidur kau tu,” kutuknya.

Terjengil mataku memandang wajahnya yang bersahaja. Malas sungguh mahu mengambil serius akan semua hal itu.

Tahulah dia sebenarnya jeles dengan bilik aku yang serupa labyrinth tu, kan? Maggi ayam aku cedokkan ke dalam mangkuk dan kutleri sudu dan garpu aku gunakan untuk menikmati hidangan makan malam. Sudah lama rasanya kami tidak merasa air tangan ibu.

Atau mendengar ketegasan suara abah. Hinggakan aku sendiri agak samar-samar tentang wajah mereka jikalau bukan kerana jasa daripada kepingan gambar dari album tetapi semuanya ialah gambar-gambar lama. Memori aku bukan sebagus mana untuk terus mengingati di usia semuda itu ketika kami berdua kehilangan mereka.

“Along…”

Along yang sedang mengunyah makanan memandangku, sekilas.

Mi Maggi aku kuis-kuis. Entah ke mana seleraku melesapkan diri.

“Macam mana Along jaga Numa sejak… ibu dengan abah meninggal dulu? Yang Numa ingat, Along cakap masa tu umur Numa baru tiga tahun. Along mesti time tu dah tujuh tahun. Kita kecil lagi, Along. Tapi… macam mana kita survive?” soalku sayu. Aku tahu aku akan mematikan selera makan Along tetapi aku tidak mampu menampung beban kerana memendamkan soalan penting sebegitu.

Along terdiam. Kelu, mungkin.

Kupandang wajahnya yang nyata berubah riak.

“Along… Along berhenti sekolah ke?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience