BAB 19

Other Completed 5710

“Numa… Numa…”

Suapannya diteruskan, masuk ke dalam mulut. Mendengar dengan teliti.

“Numa jumpa kawan skaters Numa.”

Purghhhh!!!

Terbatuk-batuk Along kerana tersedak nasi. Wajahnya merah padam. Tangan sudah menumbuk-numbuk dada sendiri menahan perit dan meluru dia ke dapur untuk mendapatkan segelas air. Aku turut bangun daripada duduk di atas sofa seraya menepuk-nepuk belakangnya.

Menyesal pula membuat sesi luahan perasaan semasa dia sedang menikmati hidangannya. Namun, bukan salah aku seratus-peratus kerana Along pun tidak henti-henti mendesak aku untuk bercerita.

Along meletakkan cawan yang tiada sisa air kosong di dalamnya ke atas meja semula. Wajahku dia tenung semacam tak percaya. “Along ingat Numa dah tak skate. Kenapa kau pergi tempat-tempat macam tu lagi?” tanyanya mendatar.

“Bukannya Numa pergi tempat tu, Along. Along janganlah salah sangka dengan Numa. Numa tak pernah pun pergi tempat skates tu lagi sejak dulu. Dah berapa bulan Numa tinggalkan semua tu.”

“Sudahnya, macam mana boleh jumpa pulak?”

“Dia datang kedai kasut, minta jumpa semalam.”

“Habis, memang jadi jumpa dia ke tidak?”

Aku lambat-lambat menggeleng. “Takut.”

Along menghela nafas.

“Along sendiri tak faham dengan kau ni. Kenapa kau kena bagi alasan kau takut walhal tak ada apa-apa yang perlu kau takutkan? Kita dah janji nak jadi hamba Tuhan yang baik, kan? Kalau nak jadi hambaNya yang taat, kena jaga hubungan baik sesama manusia apatah lagi kepada orang yang pernah bergelar sahabat dan kawan kita. Dah lupa ke tazkirah imam dekat masjid hari tu? Hubungan dengan manusia pun kena jaga, bukan kepada Tuhan semata-mata!” Ibarat radio rosak, dia mengulangi ceramah pendek yang aku lupa isinya itu.

Tertunduk wajah ini kerana tidak tahu hendak memberikan reaksi apa. Tak akan nak buat chicken dance tiba-tiba? Tak semena-mena makan penampar Along sebab dia kena serangan terkejut king kong.

“Tapi mereka lainlah, Along,” dalihku.

“Lain apanya? Ada ke hidung semua lubang menghala ke atas? Ada ke yang bukan manusia dekat situ? Numa kena ingat yang sebelum kita berubah, tempat kita sama macam mereka. Tak tahu apa-apa. Jahil. Perlukan bimbingan dan sokongan. Sekurang-kurangnya kita ada melangkah sedangkan mereka?

Mungkin masih tak faham apa-apa dan tak bergerak untuk kenal Tuhan dengan lebih lanjut. Kau tak boleh pentingkan diri sendiri, Numa. Bila kau dah tahu, kau kena tarik kawan-kawan kau untuk mereka pun berubah sama-sama. Itu namanya sahabat. Jangan jadi parasit yang nak keruhkan keadaan.”

Tubir mata berlinangan.

Seego itukah seorang gadis bernama Wardah Numa selama ini? Sememangnya aku mengaku yang aku tidak mahu bergaul dengan mereka namun bukankah itu juga bermaksud aku rela memutuskan hubungan persahabatan sesama insan? Menghukum mereka sedangkan aku boleh memberikan bimbingan jika mereka memerlukan? Aku ada Along sebagai dorongan. Tetapi mereka? Tidak akan aku tegar melihat rakan-rakanku hanyut dibadai dugaan dan hal-hal keduniaan?

Mengapa aku terlalu buta untuk melihatnya dengan mata?

Ya Allah!

“Along…”

Along merenungku sekilas.

“Nak nombor lama Numa.”

******************

“Betul ke apa yang kau buat ni?”

Sudah banyak kali soalan yang sama dia ajukan dan serentak dengan itulah aku terpaksa menggigit bibir, menimbang semula kebaikan dan keburukan yang terpaksa aku hadapi. Berat empangan mata memaksa aku untuk kuat sedangkan ketabahan aku hampir roboh dimamah masa.

Helaan nafas semakin lama semakin memberat, ingin mengusir semua kekusutan dan meleraikan masalah agar tidak lagi menjadi beban. Aku tersenyum tawar lalu mengangguk. Tidak guna aku terus berlari sedangkan mereka laju mengejar dan mengikut rentak kaki. Ada waktunya, aku perlu berhenti dan memberikan mereka masa untuk mendekati dan kemudian kami berlari bersama-sama untuk mengejar syurga.

Zita tampak risau. Lakaran di wajahku mungkin tidak seiring dengan keputusanku. Tanganku digenggamnya kuat sebelum anak mata itu merenungku sedalam mungkin. “Aku tak kisah kalau kau nak jumpa kawan-kawan kau tapi katakanlah mereka ajak kau skates semula, macam mana?”

Aku terkedu.

“In Shaa Allah tidak,” jawabku dengan keraguan. Takut juga mendengar kata-kata Zita sebentar tadi. Pertemuan aku dan Leo tempoh hari juga membuktikan bahawa lelaki itu masih meluncur. Papan luncur yang aku pegang itu mungkin kepunyaannya. “Aku doakan supaya aku boleh maintain dengan semua ni. Lagipun, aku jumpa cuma nak bertanya khabar dan selesaikan apa-apa yang patut. Lepas tu, mungkin tak jumpa lagi dah. Aku jadi runaway girl.”

“Kalau ada jodoh kau dengan dia?” tebak Zita.

“Hish! Merepeklah!” bantahku mentah-mentah dengan tebakannya yang tidak logik untuk akalku terima. Mahu ketawa juga mendengar soal jodoh disebut olehnya. “Kalau kebetulan terjumpa tu aku boleh percaya tapi kalau berjodoh… mungkin tidak. Aku tak pernah fikir pun nak kahwin dengan sesiapa. Calon pun tak sudi nak mencalonkan diri sendiri untuk jadi suami aku. Muda lagilah, Zita. Aku nak repair hubungan aku dengan Tuhan dulu,” kataku lembut.

Sengih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience