BAB 16

Other Completed 5710

Sayup-sayup kedengaran muazzin mengumandangkan azan Subuh dengan merdu, malahan lebih merdu daripada sebelum-sebelum ini entah mengapa. Azan yang sering aku tunggu kerana azan inilah yang akan mengejutkan aku daripada lena di malam hari. Tidak perlu guna alarm clock sekalipun. Biarpun agak perlahan namun cukup untuk menenangkan hati ini kerana masih berpeluang untuk bernafas dan bertaubat.

Alhamdulillah.

Tok! Tok! Tok!

“Berjemaah dengan Along, nak?” Along bersuara seperti faham-faham sahaja denganku yang mudah terjaga sejak akhir-akhir ini. Dia pun begitu, senang terjaga di pagi hari.

Aku menolak selimut dari membaluti tubuh serta bergerak untuk mencapai tuala. Tentulah aku mahu berjemaah dengannya. “Nak! Numa mandi dulu!”

“Along tunggu tau!”

Angguk walaupun dia tidak mampu melihat. Hati yang sudah dididik untuk berubah akan janggal apabila meninggalkan kebaikan itu sendiri. Kini, langkah ini aku tahu sangat tepat dan perlu untuk aku kekalkan agar tidak berundur semula. Bila hati sudah kurang titik hitamnya, hendak melakukan maksiat pun takut kerana teringat akan keesaan Tuhan.

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.” (An-Nisaa’ 4:40)

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?” (Ar-Rahmaan)

Tiada apa yang perlu untuk aku dustakan, Rabb.

Kerana Kau terlalu sempurna untuk hambaMu.

****************

Usai menunaikan solat Zuhur dengan rakan sekerjaku, kami bergegas ke kedai kasut untuk melayan mana-mana pelanggan yang datang. Kasihan pula membiarkan Selvi seorang diri melayan para pelanggan sejak tadi.

Tatkala aku sampai ke sana, aku menghembuskan nafas penuh kelegaan. Nasib baiklah tidak terlalu ramai yang memunculkan diri dan memborong mana-mana kasut. Kalau tidak, pengsan masuk wad Selvi tak menang tangan nak layan!

“Zita… kau tengok-tengokkan customer sekejap. Aku check saiz kasut.”

Zita tersenyum sebelum mengangguk. Ibu jarinya dia naikkan sebelum pelanggan yang melambaikan tangan ke arahnya dia segera hampiri.

Dalam hati, terlalu aku bersyukur kerana dapat bekerja di sini dan mempunyai seorang majikan yang tidak terlalu cerewet dan sungguh memahami. Berlainan bangsa dan agama bukan bererti kata sepakat tidak mampu dicapai dek jemari. Encik Tan memang peramah orangnya dan kadang-kala dia sendiri mengingatkan kami untuk menunaikan solat apabila kami hampir terlupa, terlalu lama melayan pelanggan. Syukur ke hadrat Ilahi… aku masih mampu beribadah dalam pekerjaan.

Kotak-kotak kasut dari bilik belakang aku keluarkan apabila beberapa pasang kasut sukan memang mendapat sambutan yang memuaskan pada minggu ini. Stok yang masih ada aku keluarkan dengan saiz-saiz yang ada supaya senang untuk memilih jika ada yang berkenan. Kususun semuanya di tepi jenama masing-masing. Adidas kotak berona biru tua. Nike pula coklat cair. Yang lain semuanya warna-warni macam kena celup dengan pelangi.

Aku melihat Encik Tan sibuk mencari kasut untuk seorang budak lelaki di penjuru kedai. Ibu dan bapanya sudah memujuk budak itu yang menangis mahu membeli kasut. Macam-macam karenah pelanggan yang dapat aku lihat sepanjang aku bekerja di sini dan dari sinilah aku belajar untuk bersabar dan berkomunikasi dengan cara yang lebih berkesan.

“Numa… ada customer,” Zita yang turut berlalu ke stor sempat memanggil namaku, membuatkan aku tersenyum sebelum menganggukkan kepala.

Baru sahaja ingin melangkah, kakiku statik tidak bergerak apabila sebuah papan luncur meluncur perlahan dan mendekati hinggakan berhenti betul-betul di kakiku sendiri. Kusangka papan luncur itu milik budak-budak kecil jadi aku terus mengutipnya dan memandang kawasan sekeliling.

Memastikan siapakah gerangan yang tidak sengaja menghilangkan papan luncurnya di sini. Melihat dari deck, aku rasa papan luncur itu agak mahal harganya dan dari corak deck aku rasa seperti bukan milik budak-budak kecil. Saiznya juga lebih besar.

Apakah aku yang tersilap melihat?

Tidak ada sesiapa pun yang datang dan menuntutnya daripadaku. Aku memerhatikan sahaja papan luncur yang sudah berganti rodanya dan corak yang aku rasakan sudah lama tidak diperbaharui. Bibir tersenyum hambar memikirkan kenangan lalu antara aku dan papan luncurku yang sudah aku buang dari hidup ini. Mungkin sudah dilonggokkan di timbunan sampah-sarap yang banyak. Rasa rindu itu masih ada cuma tidaklah sekuat mana.

Sambil membawanya di dalam tangan, aku mengira pula kasut-kasut yang dipamerkan dan ternyata ada satu kasut yang sudah tiada di situ. Barangkali itulah satu-satunya jenisnya yang ada dan sudah selamat dijual.

“Errr… cik…”

“Ya, ada apa-apa yang saya boleh ban…”

Hampir terlepas kotak kasut yang sedang aku pegang kalau bukan kerana kewarasan akal yang memaksa aku untuk tidak cepat melatah. Buntangnya mataku mungkin sudah pun memburukkan lagi wajah yang sedia ada kerana terlalu terkejut dengan kejutan yang tidak kujangka ini. Ingin melarikan diri, ini bukan acara marathon berjemaah. Aku larikan lirikan mata ke tempat lain asalkan tidak bertembung dengan panahannya yang merimaskan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience