BAB 26

Other Completed 5710

-Maaf kalau saya terlambat-

Hanya coretan seringkas itu sahaja yang tercoret di situ, membuatkan aku sendiri terkebil-kebil mata untuk memahami. Agak aku kenal tulisannya namun tidak dapat aku meneka siapa yang mencoretnya di atas kad ini.

Aku hidu lagi haruman bunganya sebelum telefon bimbitku berdering. Nama Leo yang terpampang di skrin membuatkan spontan hatiku meneka dengan sendirinya.

Mungkin Leo yang memberikan bunga ini kepadaku, tebakku selamba.

“Assalamualaikum, Numa,” dia memberikan salam.

“Waalaikumussalam…”

“Saya nak jumpa awak sekejap. Dekat restoran hari tu.”

Aku ketap bibir. “Berdua aje?”

“Syin ada sekali,” sampuknya bagaikan memahami.

Atas urusan apa pun aku tidak tahu. Sudahnya aku bersetuju sahaja kerana ketegasannya dalam bersuara perlu aku ambil kira juga, barangkali ada benda penting yang perlu dia sampaikan.

Terpaksalah aku menyuruh mereka menunggu di situ pada pukul sembilan malam kerana waktu itu barulah shift aku selesai. Along akan menjemputku tiga puluh minit selepas itu jadi kami tidak boleh berlama-lamaan di situ. Talian aku putuskan usai salam berbalas sambutnya.

Pintu belakang diketuk dek seseorang. Wajah Zita yang tersengih macam kerang busuk menjamah ruangan mata. Aku mencebik sebelum bergegas keluar, tidak mahu dia sakat aku lagi. Malu. Nanti kantoi habis dengan Encik Tan sebab dapat ‘hadiah istimewa’ tahap tak ingat dunia.

“Weih… siapa bagi bunga tu tadi?”

“Entah. Dia tak tulis nama. Mana aku nak tahu.”

“Alaa… tak romantiklah kalau cenggitu. Sengaja nak jadi peminat tapi tak nak dedahkan nama,” rungutnya. “Kalaulah aku boleh berbalas surat dengan orang tu, memang aku tulis surat dan suruh dia tulis nama balik. Posmen kalau delivery bunga tu pun mesti confuse sebab tak ada nama pemberi.”

“Bukan posmen check nama dengan alamat penerima aje ke?” sampukku.

Zita ketawa.

“Aihh… tak kisahlah! Tapi aku rasa memang lelaki yang datang hari tu bagi kau bunga ni. Kalau difikirkan logik akal, hanya dialah satu-satunya kawan skaters kau yang tahu kau bekerja dekat sini. Mesti dia tahu kau kerja waktu-waktu macam ni, itu yang suruh Selvi hantarkan bunga tu untuk kau. Aku confirm punya,” yakin sungguh Zita mengatakan pendapatnya kepada aku.

Asad Afifuddin?

Tak mungkin.

*****************

Pelayan yang datang menghidangkan tiga cawan teh tarik yang kami pesan, itu pun kerana Syin tidak mahu susah-susah mahu memikirkan minuman apa yang mahu dipesan. Sementara menanti ujaran mereka yang seterusnya, aku membelek-belek sahaja kuntuman mawar di bawah meja.

Hangat terasa hati ini namun aku tidak mahu membuat tekaan tanpa bukti. Biarlah Leo sendiri yang mengaku dan jika tidak, aku pun tidak mahu bertanyakan yang macam-macam. Bimbang Syin nanti blur kucing sebab tak tahu apa-apa.

Kuambil sudu kecil lalu kukacau sahaja teh tarik yang masih panas. Buih-buih di permukaan minuman aku letupkan dengan memukulnya menggunakan sudu.

“Kita nak tunggu siapa?” tanyaku.

“Seseorang,” jawab Leo ringkas.

Aku mengerutkan dahi. “Bard?”

“She’s a girl,” sampuk Syin ceria. Amboi, nakal sungguh. Miang macam miang buluh. Bila bercakap soal perempuan, senyuman tu tak sah betul kalau tak lebar macam Sungai Rajang di Sarawak. “Kakak Leo yang nak jumpa dengan Numa.”

“Untuk apa?”

Syin sengih. Tak nak jawablah budak tu. Tak apa, aku pun tidak terlalu menagih jawapannya kerana aku mana kenal kakak Leo. Tak tahu pulak lelaki itu ada kakakanda biarpun kami sudah lama berkawan.

Bila melepak dengan kawan-kawan di T-Park dahulu, soal keluarga atau adik-beradik memang tidak akan timbul. Hanya keseronokan dan keceriaan sahaja yang menjadi topik utama.

“Maaf, Chad. Akak lambat sikit.”

Leo dan Syin menoleh ke arah suara itu dan aku tidak kekok untuk melakukan perbuatan yang sama. Dahiku sedikit berkerut apabila wajah itu aku tatap lama. Bagaikan tersedar dari lamunan, aku dan wanita itu saling membalas renungan sebelum tubuh automatik bangkit daripada duduk dan aku hampirinya yang turut tidak mengalihkan renungannya daripadaku. Kuntuman mawar sudah jatuh entah di mana. Tangannya aku genggam kemas dan aku tahu kali ini, aku tak salah dalam menilai.

“Aaa… aaa… akak…”

Dia turut terkejut.

“Akak… akak rasa macam kenal,” gumamnya.

Angguk. “Ini… ini saya, kak! Orang yang akak layan macam orang lain bila semua orang sisihkan saya dekat bus stop dulu. Akak ingat tak? Akak ingat bila akak pegang skateboard saya dan cakap pasal hobi kita? Akak ingat?” soalku bertubi-tubi dengan air mata. Sudah tidak aku pedulikan reaksi terkejut beruk kedua-dua orang lelaki itu.

Matanya turut sama berkaca-kaca. Bagaikan mampu mengingati sesuatu walaupun aku tahu mungkin dia tidak mampu mengingati aku kerana pertemuan yang singkat. Hanya aku yang tahu lakaran wajah itu kerana dia yang menjadi permulaan kepada penghijrahan seorang wanita ini untuk menagih cinta Rabb.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience