BAB 9

Other Completed 5710

Bintang demi bintang aku tatap penuh makna. Membayangkan bagaimana semuanya bergantung tanpa ada tali atau dawai untuk menampung berat masing-masing. Kepulan awan juga begitu, ingin aku rasai kelembutan dan kehalusan awanan putih sama ada seperti gula-gula kapas atau sebaliknya. Bagaimana bulan ada di situ, bertukar-tukar wajah sedangkan yang asalnya tetap satu, bukan dua, bukan juga tiga. Daripada sabit berubah menjadi separuh dan kemudian ada waktu di mana dia lesap bersembunyi.

“Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.” (Surah Yunus: 6)

Teringat pula akan dendangan merdu daripada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma yang bertajuk Bagai Bulan Dipagar Bintang. Murninya ciptaan Tuhan yang menjadikan bulan dan bintang sebagai lampu alam.

“Kau dah jumpa buruj ke belum?”

Senyum. “Aku jumpa bukti.”

“Kau ni cari apa sebenarnya ni? Burujlah, buktilah… tak faham aku. Cakap tu biarlah straight to the point,” Bard merungut kegeraman apabila ujaranku seperti bermain tarik tali dengannya.

“Bukti kuasa Tuhanlah,” cantasku.

Tut… tut… tut…

Berkerut-kerut dahiku memandang skrin telefon yang sudah gelap. Ah! Bateri mati pula. Pasti Bard sudah tertanya-tanya akan talian yang tiba-tiba sahaja terputus.

Tingkap aku biarkan separa terbuka, menikmati betapa indahnya bayu malam yang meniupi wajah. Papan luncur aku capai dan aku usap deck miliknya. Bagaimana aku harus keluar daripada ‘dunia’ ini sedangkan sepenuh hatiku sudah ketagih untuk meluncur. Aku boleh jadi gila kalau tidak memijak deck dan tidak melakukan tricks dengan Syin dan Bard. Aku terlalu sayangkan semuanya dan aku takut aku akan kehilangan benda-benda yang aku ada untuk satu tujuan yang aku sendiri kurang pasti noktahnya di mana.

Siapa cakap aku tak pernah terlintas niat untuk berubah?

Siapa cakap nak berubah tu tak susah, tak lelah?

Siapa cakap aku tak pernah terfikir untuk istiqamah?

Semua orang nak masuk Syurga. Siapa yang nak masuk neraka sedangkan api sebesar zahrah dari Jahannam di bumi itu pun kita dah mengerang kesakitan?

Aku menahan sebak dan dalam diam, menangis tanpa sendu.

****************

Mood hari ini swing betul.

Semua yang aku buat tak kena lebih-lebih lagi apabila Bard ajak buat aerials, memang kibarkan bendera putih tanda mengalah. Hippie jump yang selama ini menjadi kegemaran pun tak terbuat dek kaki. Sekadar melepaskan kerinduan dan membazirkan masa dengan trick Ollie yang tak seberapa, itu pun tadi skate hampir-hampir nak terjatuh.

Syin sibuk dengan sketches dia. Idea baharu untuk disimpan jikalau ada lagi pertandingan graffiti yang aku rasa bakal dijalankan tidak lama lagi. Lagipun, jalanan mana yang tiada dinding untuk dicoret hasil seninya?

Hush Puppies celup itu sudahlah sukakan 3D graffiti yang melibatkan huruf-huruf. Tapi hari ini boleh pula terlupa bawa bersama spray for painted mural sedangkan semalam dah beria-ia cakap nak heret botol-botol tu ke T-Park dan menconteng sesuatu.

“Tak panas?”

Itu soalan yang kedua puluh dua daripada mulut Bard. Sempat jugak aku kira!

Terik mentari sebenarnya masih terasa biarpun waktu sudah berganjak ke petang. Hampir bertaut sepasang kening lebat itu memandang penampilanku dan kalau bukan kerana aku sudah berjanji untuk hadirkan diri, jangan haraplah aku akan datang. Hoodie di kepala tidak aku turunkan. Tangan aku seluk ke dalam poket jaket GAP ungu tua sedangkan bahangnya macam aku kena bakar dengan watak-watak dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Wajah Bard selamba aku pandang. Peluh di muka sudah merenik lebat. Seluar panjang yang aku sarungkan juga terasa merimaskan. Kali pertama aku berpakaian sebegini dan aku memang bencikan semuanya.

“Bukan sekarang tengah musim winter ke?” polos aku membalas. Sebenarnya sudah kekeringan ilham mahu memberikan jawapan. Aku takut jika aku menjawab juga, gusi Bard akan kering kerana terlalu seronok mentertawakan dan memperlekehkan apa yang sedang aku cuba lakukan. Perubahan mendadak yang aku pasti tiada sesiapa boleh terima lebih-lebih lagi mereka bertiga.

Bard angkat kening. “Kau ingat ni Eropah?”

“Tapi kenapa aku rasa macam sejuk semacam aje?”

“Kau demam agaknya. Jom aku delivery pergi klinik.”

Geleng.

“Mana ada,” nafiku lemah. Tak logiklah kalau aku demam sekalipun. Bard ni pun agak-agaklah nak paksa orang. Pasti dia tidak mahu ahli kumpulan kami jatuh sakit lagi setelah apa yang berlaku kepada Leo. Tidak aku nampak batang hidungnya hari ini, kena paksa berehat di rumah dengan Bard agaknya.

“Aku okey. Aku cuma terfikir soal semalam aje. Nothing serious,” tambahku penuh makna. Terfikirkan soal wanita muda yang melayaniku lembut dan rupa-rupanya kami berkongsi minat yang sama. Cuma dia yang terlebih awal ‘bersara’.

Dia tersenyum sinis.

“Biar aku teka. Ini mesti pasal buruj semalam! Lagipun, aku belum sempat nak tanya apa-apa tapi kau dah letak. Kau memang sengaja nak buat aku tertanya-tanya dengan ucapan kau semalam, kan? Apa sebenarnya yang kau cuba nak beritahu aku?” balasnya.

Aku mengeluh. “Bateri aku matilah.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience