BAB 20

Other Completed 5714

“Kahwin dululah, Numa. Lepas tu, kau repair hubungan kau dan Tuhan dengan bakal suami kau tu sama-sama. Belajar sama-sama. Perbaiki silap diri sama-sama. Nanti dua-dua tunggu dekat syurga. Baru sweet newly-wed!”

Tergeleng-geleng kepala aku dengan imaginasi Zita yang overdose itu. Aku tahu Zita hanya mengusik namun usikannya benar-benar menjentik tangkai kalbu. Jikalau difikirkan kembali, aku memang tidak layak pun bergelar isteri orang.

Dengan masa silamku yang agak hitam dan perangaiku yang masih belum cukup baik, aku tak rasa aku mampu menjadi makmum kepada imam dan ibu kepada anak-anakku kelak. Kemahiran rumah tanggaku bukannya sebagus mana. Masak Maggi ajelah aku sudah master.

“Siapalah yang nak aku, Zita?” gumamku sendiri.

“Lelaki hari tu!”

Eh, dengar pula dia. Telinga mikrofon betul! Terjegil mataku memandangnya yang sudah sakan ketawa kerana menyebut tentang Leo. Membahang terasa kedua-dua belah pipi. Bibirku spontan tersenyum sendiri sebelum aku mengambil beg dari atas kerusi. “Mana mungkin. Aku dengan dia bukannya ada apa-apa hubungan pun. Aku anggap dia macam kawan lama.”

“Itu kau. Kau rasa dia pun akan anggap kau macam kawan ke sedangkan jantina kau berdua berbeza dan tak sama?”

Jeda sejenak. Sesak dada mahu bernafas kerana aku cukup faham dengan apa yang Zita mahu aku tahu. Tiada istilah kawan yang pernah wujud antara lelaki dan perempuan dan fitrah untuk jatuh suka atau cinta itu sememangnya berpotensi besar untuk berlaku.

“Dia lelaki, Numa,” Zita mengingatkan lagi.

“Aku pergi dulu,” sampukku untuk menukar topik utama perbualan pada hari ini.

Meremang bulu roma memikirkan bahawa ada yang ‘sudi’ jatuhkan hatinya untuk aku kutipkan. Hatiku berdetak laju namun aku kawal agar tidak terlalu ketara kelajuannya mengubah riak wajahku kini. Shift pada hari ini tamat pada pukul tiga petang kerana aku masuk kerja pun awal. Sudah aku berjanji untuk menantinya di restoran yang sepatutnya kami bertemu tempoh hari, namun aku yang bertindak untuk melarikan diri.

Kali ini, aku sudah penat berlari.

Kaki ini sudah tidak berdaya lagi.

Biar yang kejar terus mengiringi.

Terbayang-bayang lagi peristiwa semalam dan sungguh tidak mampu untuk aku lupakan daripada menghantuiku. Terasa mahu juga terjojol keluar biji mata tatkala melihat deretan panggilan tidak berjawab dan mesej tidak berbalas daripada Syin, Bard dan Leo.

Tidak kusanggup membuka dan membaca mesej-mesej yang mereka hantarkan kerana aku takut jikalau mereka mahu memujuk untuk aku kembali ke dalam kumpulan mereka semula. Diri ini sudah tidak mahu ada kaitan dengan vert ramp dan tricks untuk skateboard lagi.

Kurela merungkai segala-galanya pada hari ini. Akan aku anggap pertemuan kali ini hanyalah kerana mahu menyelesaikan semuanya dan kemudian, hilang tanpa lambaian selamat tinggal.

Duhai hati, tabahlah…

Aku menapak ke restoran yang dijanjikan lebih awal lalu melabuhkan duduk di penjuru restoran. Agak tersorok tempatnya. Mudahlah jika aku hendak buat drama air mata jikalau terpaksa. Tudung bawal di kepala aku betulkan kedudukannya sebelum aku memesan secawan teh panas sebagai pembasah tekak yang kering. Doaku agar urusan pada hari ini dipermudahkan Tuhan kerana tanpa keizinanNya, siapalah aku yang lemah ini mahu menjadi kuat.

Telefon bimbitku berdering minta diangkat. Nama Leo jelas terpampang di skrin memandangkan aku menukar semula nombor telefonku dan bertindak untuk menggunakan yang lama sahaja. Dengan bibir yang berketar kuat, aku menyambungkan talian seraya memejamkan kelopak mata. Tidak putus-putus hati menyebut nama Tuhan, bimbang aku tumbang di pertengahan jalan.

“Assalamualaikum.”

Diam.

“Leo, assalamualaikum.”

Diam lagi.

“Assalamualaikum, ya Asad Afifuddin,” ulangku untuk kali yang ketiga dan nada suaraku berubah menjadi sedikit kuat. Takut juga jika dia tidak mampu mendengar suaraku di corong telefon hinggakan nama penuhnya juga aku sebut seperti pengawas peperiksaan. Suam terasa kelopak mata yang bertakungkan air mata sendiri.

“Waa… waalaikumussalam…”

Automatik aku terbangun dengan sendirinya. Tangan hampir terlanggar cawan teh panas yang baru sahaja sampai pesanannya. Kelopak mata yang pejamnya rapat kian terbuka luas memandang susuk tubuhnya yang berdiri di sisi meja sambil memegang telefon bimbitnya erat di dalam genggaman.

Hening sepi yang jelas terasa memaksa aku untuk hanyut dengan emosi sendiri apatah lagi apabila terpandangkan sepasang mata yang berkaca-kaca itu tepat merenungku dan kemudian… gugur setitis permata jernih membasahi pipinya.

Aku menunduk. Jiwaku dijentik sayu. Enggan membalas renungannya lagi namun di saat dua lagi susuk tubuh menghampiri, aku hampir rebah dan pitam di situ juga. Seakan-akan kami disatukan dalam mimpi yang aku sendiri tidak pasti kemanisannya.

“Kau… eh, Numa… apa khabar?” tegur Syin.

“Ba… baik.”

“Sihat tak?”

“Si… sihat walafiat, alhamdulillah.”

“Boleh saya dengan Bard duduk?” soal Syin gugup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience