BAB 18

Other Completed 5710

“Kau ni dah ada boyfriend bukan nak beritahu aku. Sengaja biarkan aku keliru dengan hubungan kau dan dia! Tak baik tau buat aku macam ni!” rungutnya.

“Lelaki tadi bukan boyfriend akulah,” nafiku keras.

Keningnya terangkat sebelah. “Habis tu siapa?”

“Kawan lama.”

“Kawan lama ke suami?”

Semakin menyirap darah panasku naik ke seluruh ruangan kosong yang ada di muka. Soalan demi soalan yang dia berikan ibarat minyak yang dituang ke dalam tubuhku yang membakar seperti maraknya api. Lelah mahu membalas, aku biarkan sahaja pertanyaannya tergantung tanpa jawapan yang pasti.

Jemari dia bawa untuk menggaru-garu kepala sebelum Zita tersengih serba salah. “Maaflah, aku cuma curious aje. Tak berniat pun nak buat kau sedih.”

“Dia kawan skates aku, Zita.”

Zita tersentak. “Maksud… maksud kau…”

“Dia dari masa silam aku,” tuturku sebak sebelum air mata turun lagi dan kali ini tidak aku berdaya untuk menegahnya lagi.

Selain Along, hanya Zita sahaja yang pandai menyimpan rahsiaku tentang masa silamku dan betapa bencinya aku untuk kembali ke masa itu semula. Andai diberi peluang, aku ingin membuang segala ingatanku tentang dunia skates dan menjadi seorang Wardah Numa yang polos, naif dan tidak tahu apa-apa tentang dunia tersebut.

Sogoklah aku dengan rasuah semahal mana sekalipun, aku tetap tidak mahu mengingati semua detik-detik pahit itu lagi. Cukup untuk aku katakan yang aku serik! Terjebak dengan dunia yang ibarat bayang-bayang yang tak akan selalu menemani, aku sudah rasa cukup hina di mata Tuhan.

Bahuku diraih kuat. Memberi kekuatan.

“Habis… sekarang macam mana?” tanyanya.

Aku menggeleng.

“Aku tak nak jumpa dia lagi.”

Dan biarlah selama-lamanya aku kekal begitu.

********************

Cukuplah…
Kusimpan semua ceritaku
Yang dulu
Tentangku…
Tentang apapun yang membuatku
Tiada berarti

Di Persimpangan aku…
Berdiri
Membisu
Harus kuputuskan
Kemanakah ku melangkah…
Jangan lagi
Usikku meski aku tak tau

Kemana lagi aku berlari
Kejar harapan
Yang sempat mengelam
Biarkanlah
Kuhidup dengan nafas yang baru
Nafas yang menyimpan kedamaian

Di persimpangan
Aku berdiri
Cukup Januari kemarin kutinggalkan
Kelamku…
Tentangku
Dan masa lalu yang membuatku
Tiada berarti
[Edcoustic: Di Persimpangan Aku Berdiri]

Aku tidak tahu sama ada Leo setia menunggu di restoran semalam tetapi aku tetap tidak mahu berjumpa dengannya. Biarpun dia tidak memaksa, namun aku tahu dia berharap agar aku dapat dilentur supaya akur dengan permintaannya yang terlalu berat untuk aku tunaikan.

Nombor telefon baharu sudah aku beli semata-mata ingin mengelakkan diri daripada dihubungi dek sesiapa sahaja yang aku kenali dahulu. Biarkan aku menyepi andai ini yang terbaik. Untung hari Selasa aku cuti, jadi tidak perlulah bertemu dengannya di situ lagi.

Televisyen berkotak kecil menjadi mangsa untuk aku melepaskan kebosanan melanda. Sedari tadi, jemari sibuk memicit butang ini dan ini bagi menukar siaran biarpun tiada satu pun yang berkenan. Jasadku memang ada di sini tetapi fikiranku menerawang entah ke mana.

“Numa fikirkan soal apa?”

Along yang selesai membersihkan diri terus mengajukan soalan. Dia pulang lebih awal berbanding semalam.

“Dari tadi mengeluh tak sudah. Bila Along suruh cerita, kau tak mahu berkongsi dengan Along. Takut Along tengok,” luahnya.

“Mana ada Numa mengeluh,” nafiku. Televisyen aku matikan.

“Habis yang muka masam macam cuka basi ni, kenapa?”

Tanpa aku sedari, aku melepaskan keluhan lagi.

Along tergelak kecil sebelum menggelengkan kepalanya. Bungkusan nasi goreng yang dia beli semasa dalam perjalanan pulang masih ada di atas meja makan. Tidak ada selera untuk menelan apa-apa di anak tekak. Tangan dia basuh di sinki sebelum kerusi ditarik untuk memulakan santapan tanpa aku.

“Along tak sukalah tengok adik Along tarik muncung macam tu. Kalau itik nampak, itik pun tak mengaku saudara. Nampak macam ada masalah berat tapi tak nak kongsikan dengan Along. Manalah tahu kalau Along boleh bantu sikit-sikit. Sekurang-kurangnya lega sikit beban dekat atas bahu tu…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience