BAB 29

Other Completed 5710

Bard terpinga-pinga. “Ke… kenapa abang gelak?”

“Ini… ini mesti sebab… Bard ternampak kami jalan sama-sama hari tu, kan? Yang masa… tengah balik solat Subuh tu!” Along mengungkit kisah di mana kami berjemaah di masjid menunaikan solat Subuh. Aku masih ingat lagi kemesraan antara kami yang berlaku pada hari ini. Kami berjalan seiringan dan Along ada mencuit hidungku juga.

Kantoi…

Along tergeleng-gelengkan kepalanya. Bahu Bard dia tepuk mesra sebelum jemari yang kosong tanpa sebarang cincin dia tunjukkan bangga. Tanda tiada apa-apa hubungan istimewa. Bard kelihatan terkedu sebelum mata itu semakin membuntang memandang wajah nakal Along. Bagai udang bakar, pipi itu merona merah sebelum tertunduk, menahan malu yang mengetuk.

“Ini kes cemburulah ni, ya?”

“Bu… bukan macam tu…”

“Jangan salah faham. Numa ni adik abanglah, Bard. Mestilah abang kena rapat dengan dia sebab hanya dialah satu-satunya permata yang abang ada. So kalau Bard nak masuk line sekarang ke, nak hantar rombongan meminang minggu ni ke, nak akad nikah terus ke dekat rumah kami tu, call abang cepat-cepat. Boleh minta MC istimewa.”

“Along!”

Hampir terjerit aku memotong kata-katanya. Membuli mental aku sahaja.

Bard semakin merah padam wajahnya bagaikan buah ceri. Di sebalik serban dan jubah putih itu, kulitnya terbakar dengan rasa segan yang tidak bernoktah. Bibirnya tersungging senyuman dan sepasang mata itu terpancar dengan sinar harapan yang masih belum kutemui sirnanya.

“Minta maaf sebab salah sangka. Mati-mati Bard ingat abang ni suami Numa.”

“Mana ada. Abang tunggu Bard nikahi dia lepas tu dapatlah anak buah… ouch!”

Aku cubit selamba lengan Along untuk melepaskan rasa geram. Tak bertapis betul mulut tu bila berkata-kata. Terasa malu juga kerana mulut Along ini memang main redah sahaja tanpa berfikir panjang hinggakan ke soal anak buah sempat dia bangkitkan. Cemberut sahaja wajahnya mengusap-usap lengan yang aku cubit tadi. Dia menghampiri Bard dan kemudian mendekatkan mulut ke telinganya.

“Numa ni garang sikit. Bila dah jadi adik ipar Along nanti, pakai shield Clash of Clans yang paling hebat supaya tak kena pelengkung dengan dia.”

Gigiku berlaga lagi. Ngeee!

Ketawa Bard mendengarnya sebelum wajah itu terselit dengan senyuman. “In Shaa Allah. Bard… Bard nak minta izin Along untuk memper…”

“Along izinkan! Dalam masa yang terdekat ni pun boleh asalkan cepat!” sampuk Along gelojoh lantas kembali ketawa. Hamboih, tak menyempat nak dapat anak buah nampaknya dia ni. Melampau betul. Yang bernikahnya aku, yang bersalinnya aku, semua aku, bukannya dia. Dia tolong timang anak buah dia aje.

“Tapi… sebenarnya Bard…”

Ujarannya kami nanti dengan penuh sabar.

“Sekarang ni Bard dah nak kena balik universiti. Bard sambung belajar balik. Bard ingatkan nanti bila dah cuti semester baru buat akad. Sekarang mama dengan babah pun nak sangat jumpa calon Bard sebab dialah yang ubah Bard menjadi lebih baik di mata Tuhan terutamanya,” ikhlas dia bertutur.

Aku pula yang termalu sendiri. Patutlah sudah lama aku tidak melihatnya dengan Leo dan Syin kerana sebelum ini elok sahaja mereka bertiga berkepit macam belangkas. Sambung belajar rupa-rupanya.

“Dan kalau boleh… Bard nak ajak Numa sekali belajar sama dekat universiti. Duit tu In Shaa Allah Bard usahakan sebab Bard pun ada sedikit duit simpanan. Mama dengan babah volunteer nak biayai kos dan perbelanjaan tu semua tapi biarlah Bard cuba tampung semuanya selagi mampu. Bard ada kerja sambilan dekat sana jadi ekonomi Bard pun masih stabil lagi,” ujarnya bersungguh-sungguh bagaikan sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar daripada sekarang. Tugas yang akan melibatkan pasangannya yang lain.

Along mengangguk.

“Numa setuju?” tanyanya tiba-tiba.

Pandangan aku lemparkan ke arah lain sebelum sisa-sisa duka di lekuk pipi aku sapu. Tiada lagi tangisan yang bakal muncul kerana aku tidak mahu lagi air mata mengotori wajah ini. “Boleh, tapi tak nak mahal-mahal. Biarlah bersederhana. Cincin belah rotan pun tak mengapa asalkan buat batal air sembahyang nanti,” tegasku biarpun sebenarnya aku cuma mahu bergurau.

Senyum.

“Cincin belah sayur kubis pun Bard boleh bagi.”

Amboi… mengutuk akulah tu!

“Maaflah, Bard kena pergi dahulu. Dah lambat ni. Bard minta diri. Nanti risau pulak orang dekat rumah,” ujarnya sopan sebelum bersalaman dengan Along.

Along tersenyum mengizinkan.

Usai menghidupkan enjin kereta, dia memandu kenderaan beroda empat itu untuk membelah kepekatan malam di jalan raya. Terasa jemariku digenggam erat oleh Along sebelum dia memandangku lama.

Wajahku diusapnya penuh kasih sebelum kami berjalan menuju ke rumah dengan lafaz basmalah yang meniti kemas di bibir masing-masing.

“Numa…”

“Ya, Along?” sahutku.

“Jangan leraikan hubungan persahabatan tu lagi,” tegurnya lembut dan aku sekadar mengangguk akur.

Sedar di mana titik khilafku sendiri dalam melakukan perubahan kerana hidup ini bukan semata-mata kena berbakti kepada Tuhan. Ada banyak lagi benda yang perlu dilakukan dengan manusia sejagat. Akan aku gunakan peluang kedua yang Dia berikan dengan sebaik-baiknya.

Kini, Selvi, Zita dan Kak Inn turut menjadi sahabat yang paling aku sayangi. Kerana jasanya dan ramahnya Kak Inn, aku mampu menggapai reda Ilahi. Batas pergaulan masih aku jaga antara mereka semua termasuklah Syin dan Leo.

Aku tahu kita perlu bijak memilih kawan tetapi usahlah terlalu memilih kerana yang hanyut pun mahu tersadai di daratan untuk bernafas semula. Seandainya diri ini sudah mampu memimpin, usahakanlah sekadar yang termampu untuk saling menasihati ke arah kebaikan agar dapat bertemu di pintu syurga.

Soal jodoh?

Biarlah Tuhan yang menentukan takdir diri ini kerana jika itulah ketetapan yang dia mahukan, bila memang saatnya tiba, ada seseorang yang berjaya mengetuk pintu hatiku, maka aku percaya itulah khalifah utusannya yang dikirimkan kepadaku sebagai satu amanah dan tanggungjawab. Dan bila memang ia juga bukan jodohku walau saat itu aku cinta sebenar-benarnya cinta, tiadalah dayaku selain terus berdoa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience