BAB 25

Other Completed 5710

Terangguk-angguk kepalanya mengiakan. “Along pun perasan juga. Yang azan tadi tu bunyi dia tak sama macam yang sebelum-sebelum ini. Tapi rasanya yang azan sedap tu yang jadi imam tadi.”

“Along kenal ke? Kawan Along ya?” tekaku. Aci main redah ajelah. Tak akan nak mengaku kawan aku? Mahu kena gelak terguling-guling dek abang sendiri.

Geleng.

“Budak lagi lelaki tu. Baya-baya kau rasanya…”

Aku berpura-pura terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan padahal sudah kuduga Along akan berkata begitu. “Betulkah dia sebaya dengan Numa? Macam tipu aje Along ni,” aku menyoalnya lagi seolah-olah memang kagum sungguh tahap kebabom dengannya.

“Buat apalah Along nak menipu. Tambah dosa kering aje…”

“Siapa nama dia?”

“Haih… nak dijadikan calon suami ke? Along pun mengidam nak ada adik ipar. Lepas tu bolehlah merasa dapat timang anak buah yang comel,” sakat Along lantas mencucuk-cucuk lenganku.

Aku menepis dengan bibir yang kugigit geram. Dasar tak sedar umur tu lebih tua daripada aku yang awet muda ini. Sepatutnya dia yang berkahwin dan memberikanku anak saudara terlebih dahulu! Ini dimintanya aku untuk menjadi isteri orang? Memang taklah! “Along jangan nak mengada-ngada dengan Numa, ya. Along yang patut kahwin dulu, bukan Numa!”

Along ketawa kecil.

“Langkah bendul, apa salahnya?”

“Tak ada maknanya.”

“Ada maknanya tu,” sampuk Along nakal sebelum menarik hidungku sedikit kuat. Berkerut-kerut wajah ini menahan geram lantas aku mencubit lengannya sekadar membalas dendam.

Tatkala aku menoleh ke belakang, aku terkedu dengan satu susuk tubuh yang berdiri betul-betul di pintu masuk masjid. Yang lain sudah lama beredar pergi dan ada yang masih kekal di dalamnya. Biarpun dari kejauhan, aku masih dapat meneka bahawa sepasang mata itu berair.

Bard…

Baru sahaja kaki ini berpatah balik dan mahu menghampirinya, Bard sudah pun masuk semula ke dalam apabila ditegur dek pak imam. Aku kaku di situ dan buntu untuk memberikan reaksi apa. Bahuku disentuh lembut dek Along yang mungkin hairan dengan tindakanku yang menuju ke masjid semula.

Aku sekadar menghadiahkan sengihan sebelum menggelengkan kepala tanda tidak ada apa-apa yang perlu dia risaukan. Kaki kuorak semula untuk ke rumah dengan Along tetapi hatiku kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang ingin Bard sampaikan kepada aku tadi.

“Numa…”

Aku tersentak.

“Termenungkan apa tu?”

“Err… tak ada apa-apalah, Along. Lambat sangat lif ni,” aku menyalahkan Encik Lif yang tak bersalah pula sedangkan aku baru sahaja menekan butang yang ada. Tidak mahu dia tahu tentang perasaanku yang bercampur-baur kini.

Along merenungku tidak percaya.

“Numa, cakaplah. Apa yang tak kena ni?” tekanya lagi.

“Apa yang tak kenanya? Semua okey aje.”

“Ini mesti ada kena-mengena dengan budak tadi, kan? Daripada pagi tadi Along nak tanya kau tapi Along takut Along yang tersilap pandang. Kenapa mata kau bengkak? Kau menangis ke malam tadi?”

Nafasku boleh kuibaratkan bagai tersekat di celah-celah kerongkong. Kebetulan, lif tiba tepat pada masanya untuk aku meloloskan diri daripada terpaksa menjawab soalan maut Along. Cepat-cepat aku masuk ke dalam perut lif dan menekan butang ‘buka’ agar Along dapat masuk ke dalam sebelum pintunya tertutup rapat. Sengaja aku membetulkan telekung yang masih tersarung di kepala, tidak mahu Along mencelah untuk aku memberikan jawapan yang jelas. Bengkak di mata barangkali boleh membesar kembali kerana hadir air mata yang muncul entah dari mana punca utamanya.

Ya Rabbi… buangkan rasa ini andai ia berdosa.

*****************

“Numa!”

Selvi yang menghampiri membuatkan aku yang sedang berada di kaunter mengerutkan dahi. Baru sahaja selesai menerima bayaran daripada pelanggan yang membeli dua pasang kasut. Aku sekadar membalas senyumannya apabila dia mengukirnya untukku tetapi aku tidak faham renungan matanya yang tampak agak nakal dan lain macam.

“Ada apa ni, Selvi? Excited semacam?”

“You ada boyfriend, kenapa tak beritahu I?”

Ah, sudah! Hari itu Zita, hari ini dia pula mengungkit soal teman lelaki padahal aku bukannya pernah bercinta dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Kepala aku gelengkan perlahan untuk menafikan kenyataan palsu itu. “Of course no. Saya mana ada couple dengan lelaki. Tak berminat.”

“Alahai… malu pulak cik kak seorang tu!” Zita mencelah.

Kuajo. Inilah namanya kawan.

“Serius, tak ada langsung tau!”

“Habis tu, ini apa? Tak akan just for friends forever, right? Hope you’re happy, Numa. I’ll always pray for you,” usik Selvi lalu menghulurkan aku sekuntum bunga mawar untukku.

Sungguh, aku tergamam menerima kuntuman tersebut kerana bagiku aku memang tidak layak untuk menerimanya daripada sesiapa. Lambat-lambat jemari mencapainya dan spontan menghidu haruman yang ada di kelopak demi kelopak yang ada.

Warna merahnya yang terang dan lembut di mata ini membuatkan wajahku terasa merah padam menahan rasa segan. Kuntuman itu aku letakkan di sisi beg sebelum kad kecil yang diikat bersama-sama reben keemasan aku baca perlahan-lahan supaya detak jantung ini tidak terlalu kencang dan rancak berdegup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience