BAB 6

Other Completed 5710

Aku menoleh sekilas.

“Pandai buat trick aerials and treflip?”

Terasa mulut sudah secara rasminya menubuhkan sebuah gua bersejarah untuk dihinggapi dek nyamuk dan lalat. Mulutku ternganga dan rahangku seolah-olah mahu gugur ke tanah tatkala mendengar soalan daripada mulutnya yang memang tidak aku jangka. Sepasang mata ini memang sudah terkebil-kebil memandang wajahnya yang bersahaja tanpa riak janggal untuk membicarakan tentang dunia aku. Dunia seorang skater.

Duduk aku betulkan dan kunyahan gula-gula getah terhenti. Lagu yang dimainkan daripada telefon bimbit aku matikan sebelum tumpuanku tertumpu sepenuhnya untuk merenungnya tidak percaya.

“Macam mana tahu pasal… tu?”

“Kenapa tak boleh? Atau adik rasa disebabkan akak pakai macam ni, bermakna akak tak tahu apa-apa tentang skaters, macam tu? Adik rasa orang macam akak tak sukakan dunia adik?” tebaknya.

Ditto.

Akak ni memang boleh jadi ahli nujum.

Diam aku tidak berkutik, enggan mengulas topik yang dibincangkannya dengan lebih lanjut. Bimbang aku yang semakin terkejut dan kemudian mendapat serangan jantung koronari yang kronik. Topi di kepala aku betulkan kedudukannya supaya ‘lidah’ topi itu menghala ke belakang dan bukannya menutupi wajah sendiri. Kawasan sekeliling aku pandang tanpa sebarang riak kerana tujuanku hanyalah mahu mengelakkan diri daripada berbual-bual kosong dengan wanita itu. Sungguh, aku tidak selesa.

“Adik ni nama siapa?” tanyanya lagi. Ramah overdose betul ‘kakanda’ yang aku temui di perhentian bas ini. Sudah seperti lagu EXO-Overdose pula.

Bibirku bergigit. “Wardah Numa.”

“Unik!” pujinya ikhlas. “Macam nama bunga.”

Nama bunga? Akak ni buat lawak antarabangsa tahap seribu giga bites! Ujarannya memang boleh membuatkan usus-usus perut ini meletup kerana digeletek dek rasa lucu yang tidak bertepian. Jikalau benar pun nama aku berunsurkan nama bunga, aku rasa aku layak jadi bunga tahi ayam yang suka mengenakan orang terutamanya Syin, si Hush Puppies celup itu. Atau aku lebih sesuai jika menjadi pitcher plant, pokok yang makan ulat-ulat tu sebab perangai sendiri pun aku akui memang tak serupa perempuan Melayu terakhir idaman jejaka di dalam negara.

“Saya jadi bunga plastik ajelah, kak. Tak pun bunga kena gilis dengan lori ayam,” kataku dan ketawa sendiri. Ini namanya bukan merendah diri, tapi merendah-rendahkan diri sendiri.

Tergeleng-geleng wanita muda itu lantas dia bingkas bangun apabila bas sudah pun sampai dan berhenti di perhentian. Aku turut begitu, membawa bersama papan luncur dan menaiki anak-anak tangga bas yang ada sebelum melabuhkan duduk di sisinya, itu pun usai diajaknya berkali-kali untuk menemaninya. Papan luncur aku letakkan ke atas riba seraya pandangan mata terarah untuk merenungnya yang menyenangi kehadiranku.

“Akak…. kalau saya tanya, jangan marah.”

Senyum.

“Tanyalah, akak dengar.”

“Kenapa akak baik sangat? Akak tak rasa rimas ke bila duduk dengan orang macam ni? Saya bukan macam orang lain. Saya budak skater. Dunia kita berbeza. Akak tak rasa pelik?” Jari telunjuk aku tuding ke arah diriku sendiri. Suam terasa mata kerana layanannya yang baik dan tidak seperti orang lain yang menganggap skaters sebagai orang yang tiada masa hadapan.

Apa yang kami lakukan kebiasaannya dicaci dan dipandang remeh. Tuduhan untuk peralatan awam yang rosak dan diconteng dengan perkataan-perkataan teruk selalu dilemparkan kepada kami sedangkan kami tidak pernah melakukan kerja-kerja terkutuk sebegitu. Gagang telefon yang putus, mengapa kami yang menerima tuduhan melulu tanpa belas?

Bibirnya menguntum senyum sebelum tanganku terasa digenggam erat, bagaikan tidak mahu dia lepaskan. Dapat aku lihat dia turut menahan air mata daripada gugur sebelum jemarinya mengusap deck milikku. Tawa kecilnya terletus sebelum setitis air matanya gugur juga membasahi pipinya, menyebabkan aku semakin keliru dengan dirinya.

“Akak dah lama tak sentuh benda ni,” gumamnya sebak. “Akak dah lama tak rasa buat Ollie, buat pivot, buat flick trip dan main dekat bars to perform hippie jumps.”

“Akak… akak skate?”

Aku rasa memang hari ni jugak aku berpotensi untuk menghidap heart attack.

Angguk.

“Masa remaja dulu akak memang main benda ni sampai lebam. Tak ingat dunia nak siang ke, nak hujan ke, nak terbabas dari paksi bumi ke, asalkan akak main skateboard dan akak happy. Masa tu memang tak fikir pun apa-apa lagi sebab bagi akak, dunia ini dunia akak seorang. Biarlah orang nak cakap apa. Akak tak nak sesekali tinggalkan dunia skates sebab akak sukakannya sangat-sangat…”

Dalam diam, aku membenarkan semua yang dikata. Tidak menyangka bahawa masih wujud insan lain yang memahami dan berkongsi rasa. Selama ini aku ingatkan hanya aku perempuan malang yang terjebak dalam dunia skaters yang menagihkan diri sendiri.

“Tapi kenapa akak tinggalkan dunia tu kalau betul akak memang skater? Kenapa tak kekal dengan dunia akak sendiri dan kenapa kena berubah kalau itu semua menyakitkan?” soalku.

Dia menjongketkan bahu sebelum mengeluarkan sesuatu daripada beg tangan biru tua miliknya. Tergamam aku melihat tafsir Al-Quran yang ada di tangan sebelum dia membelek-belek helaian yang ada, memaksa aku untuk terus menatap helaiannya selagi aku mampu.

Sebak entah bila sudah bermaharajalela apabila terkenangkan jemari yang payah untuk menyentuh kitab Tuhan sedangkan di rumah, kitab itu ada di dalam almari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience