BAB 3

Other Completed 5710

Jeritan daripada Leo membuatkan aku terkejut. Genggaman tanganku untuk memegang hujung papan luncur sebelum mendarat terlepas dan papan luncurku sudah berada jauh daripada aku.

Tubuh yang ditarik dek daya graviti terasa dengan kasar dipaksa untuk jatuh tersembam ke ramp. Aku hampir menjerit di situ kalau bukan kerana ada sepasang tangan yang menyambutku dan kemudian aku dibawa ke dalam dakapannya. Leo terjatuh namun dipusingkan tubuhnya agar dia yang menjadi tilam mendaratku. Mulutnya yang tidak henti-henti mengaduh benar-benar meresahkan aku.

“Leo… Leo, you okay?” soalku sebak.

Leo tersenyum dalam aduhan.

“Weih, kau janganlah buat muka nazak macam ni! Aku minta maaf sebab tadi. Aku… aku tak tahu benda macam ni boleh berlaku dan aku… aku…”

“I won’t forgive you if you cry, Numa.”

Tergamam aku mendengar ugutannya dan pantas aku membawa jemari untuk memegang lekuk pipi. Basah. Menangiskah aku kerana dia yang berjasa?

Segera aku menyeka air mata yang berbaki sebelum membantu Leo untuk bangun. Agak mustahil untuk Leo boleh mendapatkan aku kerana aku sendiri nampak dia berada jauh dari ramp kerana jarak antara bar dengan vert ramp ini bukannya dekat.

Namun begitu, aku tahu dia mampu melakukannya kerana roller skates yang tersarung di kaki menambahkan kelajuannya dan aku bersyukur untuk itu. Kalau bukan kerana tindakannya yang sempat menyelamatkan aku, aku rasa mungkin tulang-tulangku sudah patah teruk dan berkemungkinan aku sudah tidak dapat bernafas di muka bumi ini lagi.

Perlahan-lahan Leo bangkit dan memegang sikunya yang terluka. Darah rancak mengalir, membuatkan aku terus mengeluarkan sapu tanganku dan aku tekapkan ke lukanya.

Dapat aku lihat bibirnya berketap, barangkali menahan kesakitan yang semestinya mencucuk-cucuk bahagian siku yang masih berdarah itu. Aku membelek pula kakinya yang sedikit calar, kesan geseran dengan permukaan ramp.

“I’m sorry, Leo. I’m sorry,” pintaku separuh merayu kerana tidak sanggup melihat keadaannya yang sungguh memedihkan hati ini. Tidak dapat aku tahan air mata daripada gugur walaupun sudah ditegah olehnya awal-awal lagi.

Tangan yang menggeletar terus sahaja digenggam erat oleh Leo yang masih mengukir senyum sebelum menggelengkan kepalanya perlahan. Air mata yang mengalir lembut sahaja dia seka. Aku langsung tidak menghalang biarpun selama ini tidak pernah ada lelaki lain yang pernah cuba menyentuh kulitku melainkan Leo.

Dialah yang pertama.

Dialah yang merasmikan semuanya.

Genggaman tangan yang hangat tidak aku balas sebaliknya Leo yang bertindak untuk mengemaskan genggaman, seolah-olah tidak mahu melepaskan tautan tangan ini lagi. Wujud rasa aneh di hati namun aku usir sahaja rasa itu sejauh yang boleh.

Sentuhannya yang hinggap di pipi sedikit sebanyak menghilangkan resah dan gelisah yang bertamu di ranting hati. Pandangan redupnya aku balas tidak berkejip walhal degupan jantung ini entah bila berubah rentaknya. Kencang. Laju. Rancak iramanya.

“Aku tak suka kalau kau menangis, Numa.”

“Aku tahu. Aku mesti nampak huduh macam badut,” aku cuba berseloroh sedangkan di dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa sebaknya aku ingin menahan tangisan sendiri. Berkali-kali aku melarang air mata daripada tumpah kerana aku tidak mahu merisaukan sesiapa lagi terutamanya Leo. “Weih, seriously. Aku minta maaf sebab hal tadi. Aku tak patut buat benda-benda macam tu padahal baru semalam aku belajar helah tu daripada Bard. Sorry, Leo…”

“Sudahlah tu, aku bukannya nak mati sekarang pun,” Leo membalas sebelum meleraikan genggaman di tangan. Wajahku dia pandang sekilas sebelum kelopak mata dia pejamkan sejenak lalu mencampakkan renungan ke arah lain. “Jomlah, competition graffiti tu dah nak tamat dah. Tadi pun kita dah janji nak skate sekejap aje dekat sini, kan? Lagi berapa minit nak habis. Nanti kalau kita lambat sampai, melenting si Bard tu sampai hujung minggu.”

Angguk.

“Biar aku pimpinkan kau,” pelawaku.

“Tak payahlah. Aku boleh skate lagi,” dalihnya walaupun keadaannya benar-benar merisaukan aku sebagai pesalah yang berhak mendapat hukuman di atas kecuaianku ketika melakukan trick aerial.

Rela dalam terpaksa aku membiarkan juga Leo meluncur menggunakan roller skates miliknya. Sesekali kulihat jemari dibawa ke bahagian pinggang, mungkin masih sakit kerana terjatuh tadi.

Dalam diam, aku menyumpah habis diriku sendiri kerana terlalu ikutkan perasaan. Kononnya mahu menunjukkan betapa hebatnya aku dalam melakukan helah susah itu namun akhirnya Leo juga yang terpaksa menjadi mangsa. Sudahnya, tiada apa pun yang dapat aku banggakan.

Papan luncur aku pegang kemas dengan bibir yang sudah berketap menahan rasa serba salah di jiwa. Kalau si Hush Puppies celup tu tahu, mati aku dikejarnya dengan parang sewa si Phantamon, watak jahat dalam game Digimon Rumble Arena. Sudahlah Leo ini rakan baiknya sejak zaman tok kaduk!

“Leo,” panggilku lemah.

“Apa?”

“Aku minta maaf!”

“Tak ada apa yang aku perlu maafkan…”

Semakin laju dia meninggalkan aku yang tidak menggunakan papan luncurku untuk menyaingi kelajuannya. Wajahnya sedikit tegang entah mengapa. Suara yang ingin aku lontarkan untuk menyeru namanya tidak mampu terkeluar dari kerongkong sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience