•BAB 23•

Romance Completed 27023

SISA air matanya cepat dibersihkan dari muka apabila kereta yang dipandu Lila semakin hampir menuju ke rumahnya.

Wajah berseri mama menyambut kepulangannya petang itu sebaik kereta memasuki garaj rumah.

Keluar saja dari kereta, lirikan mata Lila terus jatuh pada cangkul mini di tangan mama dan pasu berisi tanah yang baru digembur di tepi kolam renang.

“Mama buat apa?” soalnya berbasa-basi dengan suara yang sedikit serak. Lila pantas berdehem. Menghilangkan curiga di wajah mama yang mula bertandang.

“Alihkan bunga kertas tu hah. Kakak, suara kenapa? Macam tak sihat aje?” Tangan mama sudah dilarikan ke wajah Lila, dan tapak tangan mama menekup dahi puterinya. “Biasa aje tak panas pun.”

Lila menarik senyum segaris. “Kakak okeylah,” jawabnya sambil mengusung beg ke dalam rumah, sementara mama mengekorinya di belakang setelah cangkul plastik berwarna kuning itu ditinggalkan di luar rumah.

“Kakak nak makan dulu ke?” suara mama bertanya apabila melihat Lila sudah mengambil tempat di depan meja makan.

Lila tahu yang mama sedang pelik melihat perlakuannya. Kerana kebiasaannya, dia akan naik ke bilik dan membersihkan diri terlebih dulu sebelum turun menjamu hidangan.

Dan seperti selalunya, Lila akan tunggu sampai ayah pulang dari tempat kerja untuk makan malam bersama.

Namun soalan mama itu dibiarkan tidak berjawab. Sebaliknya dia cuma mengangguk dengan wajah tertunduk, merenung ke dalam tudung saji di atas meja.

“Mama masak ayam cili api dengan sayur taugeh goreng aje,” kata mama sambil menekan butang pada oven. “Bawah tudung saji tu ada pulut kuning dengan kari, kak. Che Anom hujung simpang tu ba-”

“Mama.” Lila mendongakkan muka sebaik saja celoteh mama mengendur. “Bila majlis kakak?”

Kening mama terangkat bersama kelopak mata yang dikecil-kecilkan. “November 12th. Why?” Sebelum sempat Lila mengatakan apa-apa, mama sudah bercekak pinggang di tepi meja makan, dan menyambung, “Kakak jangan cakap nak tangguh ya. Mama dah susah-susah book dewan tau.”

“Kakak.. nak tukar tarikh.”

Mama pantas menggelengkan kepala. “No!” tegasnya. Tahu sangat yang anaknya itu pasti mahu melambat-lambatkan hari perkahwinan yang sudah lama dirancang. “Kakak tahu kan tak elok bertunang lama-lama ni.”

“I know. Sebab tu kakak nak cepatkan.”

Biji mata mama serta-merta terbeliak dengan hidung yang kembang-kempis. “A-apa... ulang sekali lagi?” soalnya. Takut dia tersalah dengar.

“Kalau tak sempat nak edar kad jemputan, kakak nak nikah aje dulu boleh kan?” Lila terus menyoal tanpa menghiraukan perubahan ketara di wajah mama. Dia sudah tidak peduli kerana keputusannya sudah bulat.

Dikecewakan dua lelaki membuatkan Lila semakin sedar yang dirinya tidak layak di samping mereka. Apa pun alasannya, dia sudah serik memperjudikan nasib pada sesuatu yang belum pasti. Mulai detik ini, dia hanya akan menjaga apa yang sudah menjadi haknya. Titik.

“Kakak jangan nak bergurau dengan mama boleh tak?!”

Lila menggelengkan kepala bersama senyuman nipis. “Telefon menantu mama. Kita buat akad minggu depan.”

Habis itu,  mama terus jatuh pengsan.

••••••••••••••••••••••••••••••••••••••

seminggu kemudian...

SEJAK Lila memenangi Anugerah Pasangan Terbaik di Malam Gala ke-20 hampir seminggu yang lalu, berita tentang pertunangannya terus tersebar di setiap jabatan.

Malah menjadi kisah paling sensasi dalam sejarah Hotel Zenith apabila nama Kael Fikri turut terbabit sama dalam pembikinan ‘drama’ tidak rasmi itu. Lebih-lebih lagi setelah berita perpindahan Lila ke cawangan hotel mereka di Johor Bahru diketahui umum.

Ya, dia sudah pun setuju menerima pelantikan baru dari Tan Sri Khairi itu. Selepas ini, Lila Rose bakal menyandang jawatan Pengurus Hotel di sana. Hanya satu tangga di bawah sebelum dia bergelar Pengurus Besar Hotel Zenith yang selama ini dia impikan. Ya, mungkin suatu hari nanti.

“Cik Lila.”

Lila menoleh pada gadis awal 20-an yang sedang menghulurkan tin minuman cincau ke arahnya. Pantas dia mengukirkan senyuman sebelum air cincau dari mesin ‘gedegang’ itu disambut.

“Thank you, Kiki.”

Lila menggoncang tin minuman sejuk itu sambil mengenyitkan mata pada Kiki atau nama sebenarnya Nur Sakinah, sebelum penutup minuman itu ditarik.

Kiki, gadis sebaya Lili itu merupakan lifeguard wanita pertama di hotel ini, dan baru sahaja melapor diri lima hari yang lalu.

“Welcome.” Kiki menjawab dalam nada ceria sebelum berlalu ke mejanya yang terletak di satu sudut pejabat.

Air cincau di dalam tin minuman itu cuma berbaki separuh apabila Pak Man tiba-tiba menerjah masuk ke dalam pejabat kawalan kecemasan itu dengan mata meliar mencari wajah Kiki.

Grand entry betul Pak Man.

“Kiki, ada guest cari kau dekat tepi kolam,” Pak Man memberitahu.

Kiki terus melompat dari kerusinya dan berdiri di hadapan tuan penyelianya. “Lelaki ke perempuan, Pak Man?”

“Lelaki.”

Air muka Kiki langsung berubah. “Ini mesti si poyo semalam tu lagi kan? Seriously? Berapa lama lagi dia ada dekat hotel ni? Urgh!”

Pak Man menayang gigi. “Dia minat dekat kau kot, Kiki. Nasib kaulah nak. Dah, cepatlah pergi sana.”

“Tak naklah saya!” Kiki memeluk tubuh sambil menapak ke mejanya semula. “Pak Man suruh ajelah Hanif yang settle. Tak kuasalah saya nak melayan si poyo tu!” bebelnya tak puas hati.

Pak Man berdecit. “Kiki. Pergi.” Suara Pak Man kedengaran tegas. “Lagipun ada perempuan dengan budak tu. Mungkin adik dia ke makwe dia ke tak kisahlah. Yang penting kita buat kerja kita.”

Selepas mendengar ‘ceramah’ Pak Man itu, Kiki terpaksa mengalah. Sepantas kilat dia meninggalkan pejabat dan berjalan lambat-lambat menuju pesisir kolam renang.

Pak Man menggelengkan kepala. “Budak ni...” gumamnya rendah.

“Biasalah Pak Man. Budak-budak.”

Bahu Pak Man tersentak. Automatik kepalanya menoleh ke arah set sofa warna ungu yang tersedia di dalam ruang pejabatnya itu. “La, Cik Lila rupanya! Terkejut saya dibuatnya!”

Lila tergelak geli hati. “Sorry, Pak Man. Tapi saya dah lamalah duduk dekat sini. Pak Man tu yang masuk tak pandang kiri kanan.”

“Ye ke?” Pak Man menggaru topi hitam di atas kepalanya. “Kiki la ni punya pasal,” katanya sambil melabuhkan punggung di salah satu sofa. “Cik Lila buat apa dekat sini?”

“Saya jumpa Kiki tadi. Meeting ringkas.”

Pak Man terangguk-angguk. Tak sampai seminit kemudian, Pak Man tiba-tiba merenung Lila penuh makna dengan senyuman meleret-leret hampir mencecah telinga. Mengerikan sungguh.

“Eh-eh Pak Man ni kenapa tengok saya macam Musang Berjanggut tu?”

“Pak Man dengar, Cik Lila nak kahwin. Betul ke?”

Lila ketawa rendah. “Mana Pak Man dengar cerita-cerita pasal saya ni?”

“Mak Minah kamu la yang cerita dekat Pak Man semalam.”

Lila pura-pura terkejut. “Mak Minah?” Dia langsung teringatkan wanita bertubuh gempal yang merupakan housekeeper paling tua dan senior di hotel ini. Itulah pengarang jantung Pak Man; isterinya.

Kepala Pak Man terangguk-angguk.
Lila melepaskan nafas pendek. “Semua orang macam percaya betul dengan cerita tu.”

“Cik Lila macam tak tahu. Gosip yang paling orang percaya dalam dunia ni selepas gosip artis, adalah gosip di tempat kerja,” ujar Pak Man meyakinkan. “Jadi, sebenarnya sahih ke tidak berita ni, Cik Lila?”

“Betul kot.” Lila menjawab ringkas. Kemudian, dia ketawa rendah.

“Bila majlisnya?”

“Minggu depan, akad. Sandingnya bulan depan,” beritahu Lila yang sudah terbiasa bersikap terbuka dengan Pak Man. Dia sudah lama menganggap lelaki itu sebagai ayah nombor duanya.

Berkenaan majlisnya. Sepatutnya Lila bakal menikah minggu ini seperti yang dia cadangkan pada mama minggu lalu. Namun niat baiknya itu terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan atas permintaan keluarga pihak lelaki.

Pada mulanya, ayah dan mama memang tak bersetuju dan mempersoalkan tindakan Lila yang tiba-tiba mahu mempercepatkan tarikh pernikahannya.

Mengamuk sakan mama sebaik saja tersedar dari pengsan. Nasib baik ada ayah dekat situ yang tolong selamatkan keadaan.

Dan ayah dan mama akhirnya mengerti dan mengalah, hanya setelah Lila menunjukkan surat pelantikan dari Tan Sri Khairi itu.

Sempat jugalah mama tuduh dia bersekongkol dengan Tan Sri Khairi sebab nak lari dari Adam Arif setelah berkahwin nanti.

Yelah bakal menantu kesayangan mama itu kan pensyarah universiti di Kuala Lumpur. Dia pula bakal bertugas di Johor Bahru. Satu hubungan jarak jauh yang sangat mengusarkan mama nampaknya. Hah. Takut Misi Timang Cucu dia tak berhasil la tu!

Walaupun tuduhan mama itu kurang berasas, tidak dinafikan yang Lila gembira dan bersorak dalam diam dengan adanya peluang itu. Sekurang-kurangnya dia dan bakal suami tidak akan tinggal sebumbung pada awal perkahwinan mereka nanti.

Mungkinkah kerana dia masih belum dapat menerima tunangnya? Atau mungkin kerana perasaannya pada ‘orang itu’ masih belum pudar sepenuhnya. Ya. Unfortunately.

“Bakal suami Cik Lila tu pun memang betullah orang Johor?”

Automatik kening Lila berkerut pada soalan Pak Man kali ini. “Gosip mana pula ni Pak Man?”

Pak Man menayang sengih. “Bukan ke? Habis semua orang dah sibuk bercakap.”

“Inilah sebabnya kita tak boleh percaya sangat dengan gosip artis, Pak Man. Apalagi gosip tempat kerja.” Lila memulangkan paku buah serpih.

“Saya yang sebenarnya kena pindah Johor tu, Pak Man,” ucapnya berterus terang. Lagipun, Pak Man berhak tahu. Inilah juga salah satu sebab dia melawat pejabat Pak Man hari ini.

Pak Man bungkam untuk beberapa saat. Nampak betul terkejutnya di situ. Jangan pengsan macam mama minggu lepas sudahlah. “Bila, Cik Lila?”

“Minggu depan terakhir saya dekat sini.”

Lelaki keturunan Jawa itu terkebil-kebil merenungnya. Sepatah kata pun tak terkeluar dari bibir Pak Man, jauh sekali ucapan tahniah.

“Saya dinaikkan pangkat,” kata Lila selepas itu sambil cuba menarik senyuman. Namun, jelas sekali hambar.

Dia cuma ingin menunjukkan pada Pak Man yang dia okey. Dia terima, dan dia akan baik-baik saja di tempat baru nanti.

“Saya... tak tahu nak kata apa. Kalau ini disebabkan Encik Kael, Pak Man rasa tak patut dia buat Cik Lila macam ni,” luah Pak Man yang tiba-tiba beremosi.

Lila kabur. Tak mengerti. “Apa maksud Pak Man?”

“Pak Man nampak Encik Kael dan tunang Cik Lila bergaduh dalam tandas lelaki. Masa Malam Gala tempoh hari.”

••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••

Tamat bab 23

#Mr. X

bersambung... ^^,

A/N: sorry network prob kadang2 so susah nak upload. Enjoy btw. ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience