LILA terperanjat besar. Mata hitam Pak Man ditenung bagai nak tembus. “Biar betul?” soalnya tidak percaya.
Kalau benarlah cerita Pak Man ini, mengapa Mr. X langsung tidak menceritakan apa-apa kepada dia malam itu?
Ah, Lila tersebut lagi nama orang itu sedangkan dia sudah berjanji pada dirinya untuk segera melupakan lelaki yang bukan haknya.
Alang-alang Lila sudah menyentuh tentang Mr. X, baru dia teringat yang sudah hampir seminggu berlalu sejak pertengkaran mereka di basement itu terjadi. Dan sejak itu juga lelaki itu telah menghilangkan diri dan tidak pernah muncul lagi di hadapan matanya.
Tambahan, Lila juga tidak pernah cuba mencari memandangkan memang itu pun yang dia harapkan dari Mr. X. Biarpun jauh di sudut hati Lila, dia mula menyesali tindakan kasarnya terhadap lelaki itu.
“Nasib baiklah Pak Man kebetulan ada dekat situ. Kalau tak mesti dah bertumbuk dua orang tu.”
“Lepas tu apa jadi?”
“Pak Man pun tak tahu apa yang Encik Kael tu marah sangat,” kata Pak Man siap menggelengkan kepala. “Ha, tapi lepas tunang Cik Lila tu bagitahu yang Cik Lila dan dia akan bertunang esok, Encik Kael terus tumbuk pintu dan keluar dari tandas.”
Lila ternganga. Suaranya hilang terus pada saat dia sibuk membayangkan keganasan Kael di dalam fikirannya.
Tak lama kemudian, satu akal terlintas di benaknya. Lila tertanya-tanya sendiri sama ada pernah atau tidak dia memberitahu Mr. X tentang majlis pertunangannya.
Macam... tak pernah. Ke... ada?
Bila masa?
Lila cuba mengingati semula setelah dia beransur meninggalkan pejabat Pak Man. Dia kembali ke ruang biliknya di tingkat 24.
Dua puluh minit kemudian, Lila mula tak senang duduk di atas kerusinya. Tapak tangannya sudah basah akibat terlalu gelisah. Dia menggigit kuku ibu jari sebelah kirinya sambil berjalan mengelilingi meja kerja.
Puas dia memastikan hal ini dengan Pak Man tadi, tetapi jawapan penjaga kolam renang itu tetap sama.
Sampai merajuk orang tua tu sebab Lila tak sengaja menuduh pendengaran Pak Man sudah ‘tamat tempoh’. Nasib baik rajuk Pak Man tak panjang.
Masalah sekarang ni, Mr. X, atau nama sebenarnya, Abdul Karim.
Pertemuan secara tak sengaja di antara dia dan Mr. X di Jalan TAR itu kembali berputar di dalam kepala.
“Saya cari butang baju melayu.”
Suara Mr. X bergema di dalam telinga. Okey, tak ada yang pelik pun dekat situ. Mr. X itu lelaki. Walaupun Hari Raya lama lagi, tak ada salahnya lelaki itu nak membeli butang baju melayu, betul tak? Mungkin dia nak guna untuk pergi sembahyang Jumaat.
Okey. Diterima.
Selepas melalui beberapa siri pertemuan yang sengaja atau tidak disengajakan, Lila sendiri yang memperkenalkan Mr. X sebagai bakal tunangnya di Malam Gala itu.
Bakal. Bermakna mereka belum pun bertunang lagi. Sebab memang waktu itu majlis pertunangannya jatuh pada keesokkan harinya. Dia ingat lagi mama sampai telefon suruh dia cepat-cepat balik ke rumah.
Lila langsung terimbas semula perselisihannya dengan Kael beberapa hari sebelum Malam Gala itu berlangsung.
“Hujung minggu ni I akan bertunang dengan dia.”
Bererti, selain daripada keluarga Lila, hanya Kael seorang saja yang tahu bila masanya majlis pertunangan dia akan berlangsung.
Jadi sekarang, terangkan macam mana Mr. X boleh tahu dan begitu yakin sekali berdialog serupa itu dengan Kael? Sebab lelaki itu boleh baca minda? Ah, merepek!
Tetapi seperti ada benarnya juga.
Kalau difikirkan secara logiknya, terlalu banyak maklumat peribadi Lila yang Mr. X tahu. Contohnya, jawatan dia... jenama minyak wangi dia... adik dia... umur dia... hari lahir dia... dan sekarang tunang dia!
Tak pelik ke?
Walhal Lila, satu perkara pun tak tahu tentang lelaki itu kecuali namanya. Itu pun entah betul ke tidak Abdul Karim. Sebab Lila pun langsung tak ada bukti kalau nak membawa kes ini ke mahkamah. Dia tak terfikir pula nak meminta kad pengenalan Mr. X waktu itu.
“Cik Lila?”
Lila tersentak, dan pantas kepalanya tertoleh ke pintu. “Ya, Rit- oh Wanda!” Jelas yang dia sedikit terkejut dengan kemunculan wanita itu di gawang pintunya. Dia ada temujanji dengan orang Sumber Manusia ke hari ini?
“Boleh saya masuk?”
“Silalah,” jemput Lila sambil duduk semula di atas kerusi empuknya. “Ada apa ya?”
Wanda terus mengeluarkan sampul surat berwarna putih, lalu diletakkan di atas meja, di hadapan Lila. “Ini pakej percutian yang Cik Lila menang hari tu. Saya dah uruskan dengan syarikat pelancongan kita. Tinggal Cik Lila dan tunang pilih tarikh aje bila nak pergi nanti.”
“Oh.”
“Saya cadangkan Cik Lila pergilah dalam masa terdekat ni. Sebab kalau nak tunggu hujung tahun, takut full dan tak selesa,” pesan Wanda gaya perunding pelancongan yang bijak bestari.
Lila terangguk-angguk sambil menarik isi sampul surat itu. Satu saat, matanya terpaku pada nama yang tertera di atas sehelai kertas itu. Betul-betul di bawah namanya.
Mr. Adam Arif Bin Abdul Karim (850714 – 14 – 5123)
“Mana awak dapat nombor kad pengenalan tunang saya ni, Wanda?” Lila mendongakkan muka mencari mata Pengurus Sumber Manusia itu.
“Oh itu... saya cuma ambil dalam sistem komputer kita.”
Dahi Lila automatik berkerut. “Maksud awak?”
Wanda membuka mulut ingin menjawab, namun kembali ditutup apabila gagal memahami pertanyaan Lila itu. “Maksud Cik Lila tu.. apa?” soalnya semula dengan mata yang terkebil-kebil memandang.
Lila serta-merta berdiri. Nampak hilang sabar. “Maksud saya... you just type his name in there, click enter and pooff! keluar semua maklumat peribadi dia?”
“Y-yeah.. that’s what I mean. Why, Cik Lila?”
That's impossible, but...
“Is he-” Lila memejamkan mata untuk beberapa ketika sebelum kembali merenung Wanda. “Is he one of our guests here?” dia menyambung sekali lagi.
Wanda mengangguk seperti burung belatuk. “Of course. Cik Lila tak tahu ke?”
Pada pertanyaan Wanda itu, Lila terus menghempas tubuh dengan kasar di atas kerusi. Dia menyanggah kepala di atas meja menggunakan siku. Jari-jemarinya dikepal dan dilekapkan ke dahi. Lila mula berfikir. Berfikir dan terus berfikir.
Tentang kebarangkalian siapa sebenarnya Abdul Karim itu. Kerana percaya atau tidak, dia mula musykil dengan identiti lelaki itu.
“I thought Cik Lila tahu sebab lama juga conference dekat Dewan Topaz tu berlangsung. Hampir seminggu...”
Lila mengangkat muka. “What kind of conference?”
“I don’t quite know, but it was educational thing. Most participants and committees were either researchers or universities professors.”
Lila menelan liur. “What?”
“Yes.”
Membaca riak Wanda yang nampak sangat berkeyakinan itu membuatkan Lila semakin resah. Dan takut. Dia terus bangun, berjalan melepasi Wanda dan berlari menuju lif yang membawanya ke tingkat paling bawah.
Tiba di hadapan kaunter pertanyaan, dia bersyukur kerana bukan wajah Mazlin yang menyapanya.
“Nurin.”
“Ya, Cik Lila. Boleh saya bantu?” agen penyambut tetamu berkulit hitam manis itu bertanya dengan ramah.
Lila mengambil nafas, sebelum dilepaskan perlahan. “Awak tahu hari lahir saya? Tolonglah cakap awak tahu, please.”
Nurin terus tergelak rendah. “Kenapa ni, Cik Lila? Mestilah saya tahu sebab saya yang jadi lookout Chef Zeroy hari tu. Tolong cover masa dia bawa masuk troli makanan dari Rubi.”
“Are you sure?” Lila menagih kepastian.
“Sangat-sangat pasti, Cik Lila.”
“Kalau awak yang jaga kaunter masa tu, tentu awak yang bagitahu lelaki pan asia tu pasal birthday saya kan?” Lila cuba menjerat Nurin dengan soalan seperti itu. Sengaja semata-mata untuk membongkar identiti sebenar Mr. X.
Dan demi melihatkan raut kebingungan Nurin itu, Lila sudah separuh pasti dengan hipotesisnya.
“Lelaki pan asia yang mana pula ni, Cik Lila?”
“Maksud awak tak ada sesiapa masa tu yang tanya dekat kaunter pasal saya atau pasal Chef Zeroy yang nampak macam tengah seludup makanan?”
Nurin ketawa dengan penyataan Lila itu. “Of course, Cik Lila. Our mission accomplished. Clean and clear.”
“Fine, okay.” Lila mengemam bibir. Sedaya upaya mengawal dirinya daripada bertukar ‘hijau’.
“Now, Nurin, saya nak minta tolong awak tengokkan seorang guest ni dalam sistem. Can you do that?” Dia cuba bersuara dalam nada biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hanya Tuhan saja yang Maha Tahu apa yang Lila rasakan ketika ini.
Nurin langsung mengambil tempat di hadapan komputernya. “Nama guest tu, please?”
“Abdul Karim.”
Tak sampai dua minit, Nurin sudah mengangkat muka sambil menggelengkan kepala. “Tak ada pun guest nama tu, Cik Lila. Cik Lila salah orang agaknya sebab yang ada dekat sini cuma berbinkan Abdul Karim. Nama dia Ad-”
“Adam Arif?” Lila memintas laju sambil mengetap gigi. Buku lima yang disorokkan di belakang badan sudah dikepal-kepal.
Hipotesisnya sudah seratus peratus tepat.
“Ya, Adam Arif.” Nurin mengangguk pasti.
“Alright. Thanks, Nurin. I really appreciate that,” ucap Lila dengan senyuman palsu menghiasi bibirnya, sebelum dia kembali ke pejabatnya dalam langkah longlai.
Dia rasa dikhianati.
•••••••••••••••••••••••••••••••••••••
Tamat Bab 24
#Mr. X
bersambung...
Share this novel