FAIL itu dicampak kasar ke atas meja kerjanya. Lila mengurut dahi seraya memejamkan mata.
“Cik Lila..”
“Apa lagi yang tak kena kali ni?” Lila cuba bertanya dengan lembut walaupun ini sudah masuk kali keempat kertas kerjanya ditolak. Dia tak mungkin melepaskan amarah pada pekerja tidak bersalah itu.
“Encik Kael nak anggaran sumber ni dibuat semula. Dikurangkan maksud-”
“Kurangkan!?” Lila menjerit. “Dia dah gila ke apa!?” matanya tajam merenung Rita yang sudah menggeletar berdiri di hadapannya.
Serta-merta akal waras Lila mengingatkan diri. Dia melepaskan keluhan panjang, “Sorry, Rita. Saya tak sepatutnya marah awak.”
“Tak apa, Cik Lila.” Gadis muda itu tersengih malu.
“Okey, nanti saya semak balik. Awak boleh keluar dulu.”
Selepas membetulkan beberapa bahagian penting yang diarahkan pengurus hotel gila kuasa itu, kertas kerja tersebut kembali diserahkan kepada Rita untuk dihantar ke tingkat tiga puluh.
Apa nak jadi dengan hidup dia?!
Pagi, Creepy Mr. X! Petang pula, Bossy Kael Fikhri! Dan Malam, The Great Adam Arif!
Lila melepaskan nafas perlahan-lahan. Cuba mempraktikkan yoga yang pernah dia belajar dulu.
Sabar, Lila...
Apabila Rita muncul di depan matanya bersama kertas kerja yang... sekali lagi ditolak, Lila tahu yang dia sudah tidak mampu bersabar lagi.
Fail di tangan Rita terus dirampas sebelum dia meluru ke tingkat tiga puluh. Sejurus tiba, pintu pejabat Kael diterjah tanpa salam, dan masuk tanpa izin. Apa yang Lila ingat selepas itu, fail di tangannya sudah melayang ke dada Kael dengan kertas bersepah-sepah di atas lantai.
“Lila, terkejut I!”
Lila menjulingkan mata. “Apa yang you nak I buat sebenarnya, Encik Kael?” soalnya dengan penuh formaliti.
“I nak you.”
Wajah lelaki itu direnung tajam. Lila tidak menafikan yang Kael adalah seorang pemuda yang tampan. Memiliki bentuk badan yang tegap dan menggiurkan kebanyakan gadis-gadis kota. Sempurna di mata, dan lengkap dari segala aspek duniawi. Bodohlah dia jika menolak lelaki seperti Kael yang benar-benar menginginkannya.
Cuma masalahnya adalah hati.
“Encik Kael dah lupa ke kita dekat mana sekarang ni? So, I would like to keep it professional.” Nada Lila monoton tanpa niat mahu mengalih topik perbincangan mereka – kertas kerja.
Kael merapati Lila, sebelum duduk di atas meja memerhatikan gerak geri gadis itu. “I know you still love me. Please, don’t deny your feelings, baby.”
Lila makin panas hati apabila baru tersedar sesuatu. “Jadi ini tujuan you tolak semua cadangan kertas kerja I? To lure me here? That was one stupid act, Kael! You’re too childish!”
Kael ketawa. Terhibur dengan lawaknya sendiri, mungkin? “Lain kali jangan hantar Rita. I cuma nak you, Lila.”
“I’ll proceed with the first one, then.” Putus Lila sambil berjalan ke arah pintu. Menghadap muka lelaki itu hanya membuat hatinya bertambah sakit.
Sejengkal lagi hujung jari kanan Lila hendak menyentuh pintu, pergelangan tangan kirinya direntap kasar sehingga tubuhnya melantun ke belakang terus ke dalam pelukan Kael.
“Lepas!”
“Tak boleh ke you maafkan I, Lila?” mata coklat Kael redup menusuk pandangan. Kalau Lila tersalah sangka, mungkin dia akan fikir yang Kael sedang merayunya dengan tulus.
Malangnya, Lila tak mungkin tertipu dua kali.
Pegangan Kael direntap, dan dada lelaki itu ditolak kuat. “Kalau you pegang I lagi, I akan bawa perkara ni ke HR, dan lepas tu Tan Sri dan semua orang akan tahu perangai jijik you, Kael. Ingat tu!”
••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••
LILA tak terus pulang ke rumah sebaik sahaja waktu bekerjanya tamat pada jam enam petang. Sebaliknya, arah kakinya dibawa ke Taman Jublee yang terletak di atas bumbung hotel.
Jeritan kanak-kanak menyapa telinga sejurus Lila keluar dari pintu lif. Dua buah kolam renang; satu dewasa dan satu kanak-kanak nampak meriah dengan pengunjung pada petang ini.
‘Patut pun, hari ini Jumaat.’ Desis Lila di dalam hati.
“Cik Lila!” Seorang lifeguard senior yang mesra dipanggil Pak Man menegurnya.
Sebuah pelampung oren yang tergantung pada bahu lelaki tua itu diperhatikan. “Macam mana situasi dekat sini Pak Man?”
“Terkawal, Cik Lila. Tak ada masalah. Ini spot check mengejut ke apa ni, Cik Lila?” Pak Man tersengih, menampakkan barisan giginya yang masih lengkap.
“Ish... bukanlah. Saya baru aje habis kerja, Pak Man.”
Pak Man terangguk-angguk. “Ni Cik Lila... saya ada satu permintaan la. Boleh tak saya nak minta dengan Cik Lila? Sebab budak HR yang baru tu sombong sikit la. Mentang-mentanglah kita ni buruh kontrak aje.”
Lila tiba-tiba rasa nak tergelak mendengar celoteh Pak Man dengan wajah geram berkerut-kerut yang ditunjukkan. Tambah lagi dengan slanga Jawa Pak Man yang mantap. Lucu bebenor.
“Kenapa Pak Man?” Lila memang sedia maklum dengan karakter Wanda, ketua sumber manusia yang agak kaku dan kurang mesra itu. Tetapi dia tahu yang wanita itu seorang yang pandai bersikap adil dalam membuat keputusan.
“Pak Man nak minta budak seorang. Lifeguard perempuan.”
“Perempuan?”
Pak Man laju menerangkan, “Macam yang Cik Lila tahu, penjaga kolam dekat sini semua lelaki. Kadang-kadang tu ada customer wanita yang tak pandai berenang minta instructor yang sama jenis, tapi kita tak boleh nak bagi."
"Bila ada situasi cemas terjadi pun golongan wanita yang banyak complain pada Pak Man sebab lifeguard lelaki terpegang sana-sini yang tak sepatutnya,” tambah Pak Man lagi sambil menggaru kening.
Pak Man berdecit sebelum kembali meneruskan bebelan. “Pak Man dah ada jumpa Puan Wanda tu, tapi dia kata hotel sibuk dengan pemilihan untuk jawatan lain yang lebih penting. Pak Man fahamlah kes kami ni tak berapa penting, tapi.... itulah.”
Lila diam memikir. Memang pun sekarang ini hotel sedang membuka kekosongan untuk beberapa jawatan penting seperti sous chef, akauntan, pengurus penyelenggaraan, pelayan lelaki dan pembantu pemasaran.
Tetapi tak sampai hati pula Lila mahu menolak permintaan Pak Man setelah mendengar luahan hati lelaki lewat 40-an itu.
“Tak apa, Pak Man. Nanti biar saya jumpa Wanda sendiri.”
“Terima kasih, Cik Lila!”
Lila tak dapat menyembunyikan tawanya melihat riak gembira pada wajah tua itu. Enam tahun lepas, mungkin kedut pada raut Pak Man itu tidak sejelas itu.
Enam tahun lepas, pada hari pertama dia memulakan kerjaya di Hotel Zenith, Pak Man adalah orang pertama yang dia jumpa di lobi hotel.
Orang ‘kurang penting’ di mata pekerja lain yang menjadi tempat luahan perasaan Lila setiap petang pada tiga bulan terawal dia di sini.
Selepas itu, sekali-sekala pasti dia akan datang menemui Pak Man di atas bumbung ini. Waktu itu, dia cuma seorang agen tempahan di bawah Jabatan Pemasaran, bukan Penolong Pengurus Hotel – orang nombor tiga paling berkuasa – seperti sekarang.
Rakan sekerja yang sama-sama dengan Lila pada ketika itu ialah Gina – agen penyambut tetamu dan Yooni – pelatih spa di bawah Jabatan Pengemasan. Dan cukup dua bulan dia di sini, muncul Kael anak pemilik hotel yang mula-mula ditugaskan hanya sebagai Pembantu Sumber Manusia. Selepas hampir tiga tahun perkenalan mereka, cinta Lila mula berputik buat Kael.
{} *imbas kembali
{ “Lila Rose, I love you.”
“Alright.”
“Maksudnya?” riak Kael nampak gusar, namun dia tetap belum mahu bangun dari posisinya yang sedang melutut.
“I love you too.” }
Lila duduk di salah satu bangku di Taman Jublee yang agak tersorok ke belakang dan dekat dengan penghadang besi bangunan. Bangku yang lain sudah dipenuhi dengan beberapa pasangan dan ahli keluarga.
Air mata yang bergenang diseka perlahan dengan hujung jari. Lila tak pernah terfikir yang kisah tiga tahun lalu itu masih berbekas di hatinya sehingga mampu membuat dia menangis lagi.
Dia ingat dia dah lama lupakan.
Dua tahun, dan kau masih simpan gambar dia, Lila. Kau sangkut dekat dreamcatcher pulak tu. Bodohlah...
{ “Kael, tolong I.” }
Lila tak mungkin lupa suara manja menggoda Yooni di dalam bilik pejabat Kael yang ketika itu sudah memegang jawatan sebagai ketua HR di Hotel Zenith.
{ “It’s okay, girl. Jangan menangis, I ada sini. You’ll be alright..”
Pintu yang sedikit renggang itu terus ditolak Lila dengan perasaan marah membuak-buak. Dan alangkah terkejutnya dia pada ketika itu melihat Kael dan Yooni yang sedang erat berpelukan.
Seperti tidak mahu melepaskan antara satu sama lain.
Waktu itu, Lila mahu bersangka baik atau fikir perkara-perkara positif yang mungkin telah berlaku. Namun akal warasnya lebih dulu menolak hipotesis karut dari sandiwara mereka sehingga memaksa dia menyimpulkan keputusan itu sendiri.
Lila patut pergi tampar muka Kael waktu itu, tetapi dia tak buat dan sebaliknya hanya mampu mengucapkan, “We’re over.” }
Cuma tiga hari. We were a couple for only three days. Lila melepaskan tawa perlahan. Mentertawakan kebodohan sendiri kerana telah jatuh cinta pada lelaki ‘buaya’ seperti Kael.
Sampai sekarang pun, Lila masih tidak tahu apa yang terjadi di antara mereka hari itu. Selepas kejadian di pejabat Sumber Manusia itu, Yooni terus meletakkan jawatan walaupun ketika itu dia mempunyai peluang yang cerah untuk memegang jawatan sebagai Housekeeping Manager.
Mungkin jika Yooni masih di sini, gadis dari Pahang itu yang berada di atas kerusinya sekarang sebagai Penolong Pengurus Hotel. Dan mungkin Yooni akan jauh lebih cekap berbanding dia bekerja di sisi Kael.
Seminggu selepas Yooni pergi, Lila sudah memberikan Kael peluang yang cukup untuk membela diri. Namun tidak sepatah kata pun yang keluar dari bibir lelaki itu. Masih mahu membela Yooni. Maka tidak ada sebab untuk Lila menarik balik keputusannya.
We’re officially over, that day...
“Surprisingly, awak tak balik lagi Cik Lila?”
Lila menoleh ke sisinya dan seperti yang sudah dia jangka, Mr. X yang berdiri di situ.
••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••
Tamat Bab 5
#Mr. X ©
Karya Y Zatt
Share this novel