BAB 21

Family Completed 25641

HARI INI buat pertama kali dia memasak juadah berbuka untuk emak mentuanya. Sejak menjejakkan kaki ke kampung suaminya semalam, dia nekad mahu menjamah segala mimik muka menyampah yang dihidangkan oleh Jamilah dengan segugus kesabaran. Dia memandang lauk-pauk yang dimasaknya. Untuk langkah pertama, dia cuba memasak lauk kegemaran emak mentuanya. Kata Khidir, emak mentuanya suka makan lauk pajeri nanas tapi disebabkan suaminya termimpi-mimpi makan pajeri rambutan, maka terhasillah pajeri rambutan.

“Hei, kan aku kata tadi tak payah masak! Kau ingat aku suka sangat ke nak merasa air tangan kau?” Raihan terkejut mendengar suara dingin itu. Dia menoleh memandang Jamilah yang bercekak pinggang di tangga dapur. Di belakang wanita itu berdiri seorang wanita yang dia sendiri tak kenal.

“Abang Dir teringin nak makan pajeri rambutan, puan.” Tenang dia menjawab. Berubah muka Jamilah mendengar lauk yang disebut Raihan. Dia melangkah mendapatkan meja dan melihat lauk-pauk yang dihidangkan. Ada pajeri rambutan, kangkung goreng belacan dan ayam goreng. Pajeri rambutan itu dikacau-kacau. Sedikit sebanyak lauk itu berjaya menjentik seleranya walaupun bukan nenas yang menjadi menunya. Baru hari ini dia tahu rambutan boleh dimasak pajeri.

“Mana kau belajar buat pajeri rambutan ni?” Menantunya yang berwajah lembut dipandang.

Raihan senyum. “Malam tadi abang mimpi tengah makan lauk ni. Tu yang saya masak tu.” Dia perasan wanita di sebelah Jamilah menceber mendengar jawapannya. Jamilah mengerut dahi. Dir mengidam ke? Takkan la perempuan ni mengandung pulak, dia kan tengah datang bulan. Matanya beralih pada pinggan kangkung goreng belacan.

“Yang kau masak kangkung kenapa? Kau nak bagi aku sakit ke? Tak tahu ke aku tak boleh makan kangkung?”

Raihan terkebil-kebil. “Maaf, puan. Saya tak tahu puan tak boleh makan kangkung. Saya masakkan lauk lain untuk puan ya?” Dia menjeling jam. Ada satu jam setengah lagi sebelum berbuka. Pintu peti ais dibuka.

“Tak payah! Aku boleh makan geti nara yang Liza bawak ni.” Ooo... dialah Liza... Baru hari ni aku dapat tengok orangnya. Raihan menilik Saliza yang berkebaya nyonya merah dengan rambut disanggul ala-ala pelakon Korea.

“Spaghetti carbonara la, Cik La.” Saliza membetulkan sambil gelak gedik.

“Haaa... spaghetti carbonara. Hari ni tekak aku tak selera nak makan lauk ni semua. Lagi-lagi kalau kau yang masak.” Suka hati Jamilah melihat wajah keruh Raihan. “Apa kau ingat bila kau masak lauk ni semua aku akan lembut hati terima kau jadi menantu aku? Heh, jangan harap!” Keras tapi perlahan nadanya, tak mahu Dinie yang sedang menonton televisyen dengan Zuqni, anak Saliza mendengar suara tingginya.

“Liza hidang spaghetti ni ya, Cik La...” Saliza meletakkan bekas yang berisi spaghetti carbonara di atas meja, kemudian dia melangkah ke rak pinggan. Sengaja dia melanggar bahu Raihan yang berdiri di depan peti ais. Kemudian dia tersenyum sinis. Raihan memejam mata mendengar ibu mentuanya bergelak ketawa dengan Saliza. Alangkah indahnya kalau dia yang berada dalam situasi itu. Malas mahu melayan perasaan, dia mula membasuh beras.

“Mama, nak minum...” Raihan yang baru selesai menghidupkan suiz periuk nasi elektrik menoleh memandang Dinie. Kemudian dia menuang air suam lantas diberikan kepada anaknya.

“Terima kasih, mama.” Dinie meneguk laju. Lega, dahaganya hilang. Cuaca yang panas sangat membuatkan dia cepat dahaga.

“Mama, nanti tolong kopekkan rambutan eh, lepas tu simpan dalam peti ais. Dinie nak makan sejuk-sejuk.” Dia buat muka comel.


Raihan mencubit pipi gebu Dinie. “Ye... nanti mama kopekkan.”

“Dinie, auntie ada bawak spaghetti carbonara. Nanti berbuka kita makan sama-sama ya...” Dinie menoleh memandang Saliza yang baru dikenali ketika terawih semalam. “Tak naklah, Dinie tak suka carbonara. Tak sedap! Nak termuntah Dinie makan. Uwekkk...” Cepat-cepat Raihan menutup mulut Dinie apabila melihat wajah Saliza sudah berubah kelat.

“Apa pulak tak sedap. Kalau auntie yang masak, mesti sedap punya! Nanti Dinie cubalah makan dulu, kesian auntie masak penat-penat.” Saliza tayang muka kesian. Menyesal pula dia masak western food kalau dia tahu Dinie tak sukakannya. Dinie diam. Dia memandang wajah tenang Raihan, kemudian memandang masakan yang terhidang di atas meja dan kembali memandang Saliza.

“Mama laaagiii kesian. Mama pun masak penat-penat jugak. Kalau tak ada siapa yang makan lauk yang mama masak, mesti mama sedih.” Raihan senyum senang. Makin melimpah rasa sayangnya pada Dinie.

Saliza memandang Jamilah dengan muka minta simpati tapi Jamilah hanya menggeleng kepala. Dalam hati dia terasa mahu mencubit-cubit saja mulut Dinie yang suka menjawab. Orang dah bawak tu makan jelah. Huh, banyak kerenah pulak budak kecik ni! Tak tahu langsung jaga air muka orang!

“Mama, nak air lagi.” Muk dihulur pada Raihan.

“Kenapa tak ajar Dinie puasa penuh satu hari, Cik La?” Saliza mengerut dahi memandang Jamilah.

“Si Zuqni tu baru tujuh tahun dah puasa penuh satu hari tau. Setakat ni belum pernah tinggal lagi.” Dia tayang wajah bangga sambil menjeling Raihan yang sibuk melayan Dinie.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience