BAB 27

Family Completed 25641

TANAH perkuburan itu dihujani dengan air mata. Entah berapa banyak air matanya keluar sejak anaknya menghembuskan nafas terakhir. Segala ucapan takziah dan kata-kata semangat diterima dengan perasaan sebak.

Dia duduk di depan kubur anaknya dan menangis lagi. Bagaikan terbayang-bayang keletah anaknya yang ceria. Dia menyesal membiarkan anaknya tapisemuanya sudah tak berguna. Mungkin ini balasan untuk dia kerana telah menyakiti hati wanita itu.

“Maafkan mama, sayang. Semuanya salah mama. Mama menyesal. Mama menyesal sangat!” Tanah yang basah itu dipegang.

Jamilah pegang bahu wanita itu. Dia turut berasa sedih dengan apa yang menimpa. “Sudahlah tu, jangan menangis lagi. Nanti tak tenang dia kat sana.”

Dia mengesat air mata. “Tenanglah anak mama kat sana. Tunggu mama, ya?”

Jamilah menarik wanita itu bangun. “Jomlah kita balik, Dir dah lama tunggu kat kereta.”

Wanita itu akur. Sebaik saja masuk di bahagian penumpang belakang, kereta Khidir meluncur meninggalkan kawasan tanah perkuburan.

Saat ini dia terasa kosong. Raya tahun ini pasti sudah tak seindah dulu. Kakinya melangkah keluar sebaik saja kereta berhenti di depan rumah.

“Boleh kita bercakap sekejap?” Matanya memandang wanita yang berada di dalam kereta. Dia bersandar di badan kereta sementara menanti wanita itu keluar dari bahagian sebelah pemandu.

Jamilah dan Khidir hanya menjadi pemerhati dari dalam kereta.Bibirnya bergetar. Air matanya kembali merembes keluar. Dia menekup muka dengan tangan kanan, cuba menahan rasa sedihnya. Angin petang yang bertiup belum cukup untuk menghilangkan rasa sedihnya.

“Sabarlah... Allah lebih sayangkan dia.” Raihan menepuk perlahan bahu Saliza. Siapa sangka, Zuqni yang petah berbicara itu sudah tiada lagi di dunia. Masih terdengar pujian budak lelaki itu apabila merasa lauk pajeri rambutan yang dimasaknya. Walaupun perangai Saliza menjengkelkan tapi dia tak pernah membenci budak itu.

Saliza menjatuhkan tangan memandang wajah tenang Raihan.

“Mungkin ni balasan aku. Dia ambil anak aku sebagai pengganti sebab aku ni jahat sangat.”

Jamilah menurunkan tingkap kereta, mahu mencuri dengar apa yang dibualkan.

“Tak baik cakap macam tu, Liza. Tak ada istilah macam tu dalam hukum Allah. Dia ambil anak kau sebab dah memang ajal Zuqni. Jangan fikir yang bukan-bukan.”

“Tapi aku memang jahat, An. Cik La suruh aku pura-pura goda Abang Dir sebab nak sakitkan hati kau tapi....” Saliza berjeda.

Wajah Jamilah berubah merah. Dari ekor mata dia nampak Khidir memandangnya. Dalam hati sudah berdebar, takut anaknya marah apabila rahsianya terbongkar. Tapi anaknya itu biasa saja.

“... tapi aku sengaja nak ambil kesempatan nak rampas abang Dir dari kau. Sepatutnya malam karang aku rancang kena tangkap khalwat dengan dia. Bila dah kena tangkap nanti, mesti Cik La akan paksa Abang Dir khawin dengan aku sebab tak nak malu. Dan kau pulak mesti minta cerai sebab kecewa dan tak sanggup bermadu. Tapi... lain yang aku rancang, lain pulak yang jadi. Heh!” Dia ketawa dalam tangis.

Wajah Raihan berubah terkejut. Tipulah kalau dia tak marah tapi melihat wajah kesal Saliza, sedikit demi sedikit rasa marah itu mencair. Lagipun rancangan wanita itu belum dijalankan dan telah dibatalkan pun.

“Belum sempat aku nak jalankan rancangan aku, Tuhan dah ambil orang yang aku sayang.” Saliza merenung jauh ke depan. Terbayang wajah Zuqni yang meninggal disebabkan stroke haba. Puas anaknya merayu mahu minum air tapi dia tak melayan. Dia suruh bertahan sampai waktu berbuka. Akibatnya, anaknya tidur buat selama-lamanya.

Dada Jamilah sudah berombak. Dia melangkah keluar dari kereta dan menolak Saliza hingga jatuh ke tanah. Dia mahu menampar wanita itu tapi Raihan menahan badannya.

“Tak guna punya perempuan! Berani kau nak perangkap anak aku, ya?! Lepaskan aku, aku nak ajar sikit perempuan tak guna ni!” Dia meronta namun makin kuat menantunya memeluknya dari belakang.

“Sabar, puan. Dia baru kehilangan anak. Janganlah buat macam ni.”

Khidir cepat melangkah keluar usai mematikan talian telefon. Dia langsung tak dengar apa yang dikatakan Saliza apabila mendapat panggilan telefon dari hospital tempatnya bekerja. “Kenapa kecoh-kecoh ni, mak?”

“Eee... lepaslah!” Pelukan Raihan terus terlerai dari belakangnya. “Kamu tahu, Dir... perempuan ni nak perangkap kamu. Malam nanti dia nak guna cara kotor untuk paksa kamu kahwin dengan dia. Hesy... mak pun tak tahulah macam mana selama ni mak boleh berkenan kat perempuan macam ni. Harap muka je nampak baik tapi perangai tak semenggah! Agaknya betullah apa yang Dir pernah bagitahu mak tujuh tahun dulu. Si Zuqni tu memang...”

“Mak... tak baik bukak aib orang yang dah tak ada.” Khidir mencantas kata-kata emaknya. Di bulan yang mulia ini dia tak mahu memanjangkan cerita tambahan pula orang di dalam rumah Saliza sudah menjenguk keluar. Ada yang sudah mula berbisik.

Saliza mengesot memeluk kaki Jamilah.

“Liza minta maaf, Cik La... memang dulu Liza lamar Abang Dir sebab Liza mengandung. Bila Abang Dir tolak lamaran tu, Liza lari dari kampung sebab tak nak mak dapat malu bila perut Liza dah membesar nanti. Sebab tu Liza cakap kat mak yang Zuqni ni anak angkat tapi akhirnya mak Liza tahu jugak status Zuqni bila dia terjumpa surat beranak Zuqni. Mak meninggal sebab terkejut.”

Wajah emaknya yang kecewa terbayang. Jamilah menepis kakinya. Tak sudi tangan Saliza yang kotor menyentuhnya.

“Liza minta maaf, Cik La. Liza janji tak akan ganggu rumah tangga Abang Dir dengan An lagi.” Saliza memaut lagi kaki Jamilah. Dia sedia terima segala makian wanita itu.

Jamilah menolak lagi badan Saliza. “Pergi jahanam dengan maaf kau tu. Kau ingat senang ke aku nak maafkan kau? Nasib baik anak aku tolak lamaran kau. Kalau tak, sia-sia je anak aku jadi pak sanggup.” Jijik dia mahu memandang muka wanita itu.

“Puan, tak baik berdendam. Liza dah betul-betul menyesal dengan perbuatan dia. Maafkanlah dia.”

Tajam Jamilah memandang Raihan. “Kau jangan nak pujuk-pujuk akulah! Kalau anak aku tak kahwin dengan kau, tak adalah aku nak pujuk dia suruh berlakon suka kat anak aku. Sampai sekarang aku masih tak anggap kau sebagai menantu. Nak tahu sebab apa?”

Raihan menelan liur yang terasa kesat. “Sebab kau anak Cina!” Jamilah terus berjalan kaki balik ke rumah. Tak mahu dia naik satu kereta dengan Raihan. Khidir meraup rambut ke belakang.

“Sayang dengar apa yang mak cakap tadi, kan? Macam ni ke sayang nak suruh abang diam? Abang kecewa dengan mak. Sikit pun dia tak pernah berubah.” Bayangan emaknya yang semakin hilang dipandang dengan wajah kecewa.

“Hati An lagi kecewa, bang. Tapi An tak boleh mengalah lagi. An akan cuba sampai puan benarkan An panggil dia mak.” Air mata Raihan tumpah. Memang perit menjadi seorang Raihan tapi lagi perit jika dia menghentikan perjuangannya. Dia yakin ada pelangi yang tersembunyi di sebalik keperitan itu.

“Malam ni kita balik KL. Abang dapat call dari hospital tadi. Dr. Pui Yee yang cover kerja abang terpaksa ambil emergancy leave. Nenek dia meninggal.” Raihan geleng kepala.

“Jangan degil boleh tak? Abang tak yakin mak akan berubah.”

“Abang baliklah seorang. An tetap dengan keputusan An. An dengan Dinie akan tunggu abang kat sini. Tunggu sampai abang selesaikan kerja. Lagipun abang dah janji dengan puan nak beraya kat sini. Lagi tiga hari je nak raya.”

Khidir mengeluh. Kadang-kadang Raihan punya degil pun boleh tahan. Mahu tak mahu dia terpaksa akur. “Jomlah kita balik rumah, dah petang ni.” Dia melangkah masuk ke dalam kereta.

“Aku balik dulu, Liza...” Raihan hulur salam tapi Saliza menariknya ke dalam pelukan.

“Terima kasih, An... terima kasih sebab maafkan aku. Kau memang seorang yang baik. Sesuai sangat dengan Abang Dir. Memang kau orang berdua diciptakan untuk bersama. Aku doakan hati Cik La lembut untuk terima kau.”

Raihan senyum dan membalas pelukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience