BAB 31

Family Completed 25641

“OPAH buat apa tu?” tanya Dinie yang masuk ke bilik Jamilah yang tak berkunci.

“Opah tengah cuba baju raya ni hah. Mak su hadiahkan. Cantik tak baju raya opah?” Jamilah memusing badannya menayang baju kurung biru di depan Dinie yang sudah duduk di atas katil.

Tiap kali raya aidilfitri menjelang, pasti Syakilla akan membelikannya baju. Sepasang baju kurung, sehelai lagi jubah. Tak sangka, pandai betul anaknya mengambil hatinya. Pernah dia mahu memberi duit tempahan tapi anaknya tak mahu terima. Bukannya apa, dia takut anaknya tak cukup duit belanja. Tambahan pula bukannya murah upah menjahit sekarang.

“Cantik! Opah Dinie cantik sangat. Tapi macam pernah nampak je baju tu.” Dinie mengerut dahi cuba mengingat. Dagunya digaru perlahan.

Membuntang mata Jamilah. “Pernah tengok kat mana? Ke Dinie pernah nampak orang kat luar yang pakai? Yalah, kat kedai kan banyak kain corak macam ni.” Dia memandang cermin, menilik dirinya. Selepas ini dia mahu mencuba jubah kuning cair pula. Senyuman tersungging di bibir.

“Haaa... baju nilah yang Dinie nampak kat rumah. Mama yang jahit baju kurung tu dengan jubah.”

Mati terus senyuman Jamilah. Dia berpaling memandang Dinie. “Mama Dinie pandai menjahit ke?” Dahinya berkerut tak percaya.

Dinie mengangguk laju. “Ramai orang datang rumah suruh mama jahitkan baju. Baju pengantin pun mama pandai jahit tau, opah.” Bangga dia bercerita tanpa sedar muka Jamilah sudah bertukar bengis.

“Dinie... Dinie...”

Suara Fatin kedengaran di luar rumah. “Dinie nak pergi main dululah, opah. Atin dah panggil. Bye, opah.” Cepat dia keluar, tak sabar mahu bermain.

Hati Jamilah sudah membengkak. Tak sangka selama tiga tahun ini Syakilla menipunya. Baju kurung itu ditanggalkan dengan kasar dan disumbat ke dalam plastik. Empat pasang baju raya yang lepas-lepas juga turut disumbatkan. Kemudian dia keluar dari bilik mendapatkan Syakilla dan Raihan yang sedang mengemas rumah di ruang tamu. Plastik tadi dicampak kasar.

Terkejut Raihan dan Syakilla. Kedua-duanya memandang Jamilah dan beg plastik yang berisi baju di atas lantai.

“Kenapa ni, mak? Mak tak suka ke baju yang Killa bagi tu?” tanya Syakilla pelik.

“Kamu tak payah nak menipu lagilah, Killa. Aku dah tahu semuanya!” Mencerlung matanya memandang Raihan dan Syakilla yang nampak gugup.

“Tahu apa ni, mak? Killa tak fahamlah.” Takkanlah mak tahu yang baju tu Kak An yang jahit kot? Syakilla telan liur.

Jamilah menuding jari pada plastik itu. “Tu... baju tu semua perempuan tu yang jahit, kan?” Jari telunjuknya beralih ke muka Raihan.

“Dinie bagitahu aku tadi yang perempuan tu tukang jahit! Baju yang kamu bagi tadi perempuan tu yang jahit. Kenapa kamu tipu mak?”

Syakilla melabuhkan duduk di kerusi. “Kalau Killa bagitahu, mesti mak tak nak terima. Mak kan tak suka Kak An. Apa-apa yang datang daripada dia semua mak tak nak terima. Sebab tu Kak An suruh Killa cakap yang baju tu semua Killa yang bagi.” Dia pandang Raihan yang menunduk.

“Kak An cakap, hanya dengan cara ni je dia dapat jalankan tanggungjawab sebagai menantu mak. Hati dia senang bila tengok gambar mak pakai baju-baju yang dia jahit.”

Dada Jamilah terasa ketat. Sebak mendengar jawapan Syakilla. Memang dulu dia tak sukakan Raihan tapi kini hatinya sudah berubah.

Kalau menantunya sendiri yang memberi sendiri baju itu, sudah tentu dia akan terima. Tapi kini, egonya melarang dia mengambil baju itu. Sudah dicampak, malulah kalau diambil balik. “Aku tak nak baju ni semua. Aku tak suka! Lagi-lagi bila dapat tahu perempuan tu yang jahit.”

Plastik itu dicapai dan dia berlalu ke dapur. Air mata yang hampir gugur dikesat perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience