BAB 7

Family Completed 25641

RAIHAN menarik selimut hingga ke paras dada Dinie. Rambut anaknya dielus perlahan. “Dinie suka tak kalau dapat balik kampung?” tanyanya.

“Kita ada kampung ke, mama?” Mata Dinie yang mengantuk mula segar.

“Ada... dekat Alor Gajah, Melaka. Mata Dinie terbeliak. “Haaa... kat situ ada gajah ke?”

Raihan ketawa. “Mana ada gajah, tu cuma nama tempat jelah. Dinie suka tak kalau dapat jumpa opah?

“Opah tu siapa?” Dinie mengerut dahi.

“Opah tu mak baba. Dinie nak tengok dia tak?”

“Kenapa opah tak pernah datang sini tengok Dinie?”

Raihan kematian kata. Dia tak tahu hendak memberi jawapan apa. Seboleh-bolehnya dia tak mahu menceritakan perkara sebenar kepada Dinie yang masih kecil dan tak tahu apa-apa.

“Erk... opah bukannya tak nak datang sini. Kalau dia datang sini, siapa nak jaga ayam-ayam dia kat kampung tu?”

“Bawaklah sekali ayam-ayam tu kat sini.” Dinie memeluk erat anak patung di sisinya.

“Kalau /bawak/ kat sini, mana ada reban nak letak ayam-ayam tu...” Tenang Raihan menjawab.

“Peti ais ada... letak jelah dalam peti ais,” jawab Dinie polos.

“Ya Allah budak ni!” Raihan mencubit pipi montel Dinie. Tak dapat dia membayangkan ayam yang masih hidup diletakkan di dalam peti ais.

“Ayam yang hidup mana boleh letak dalam peti ais, matilah dia nanti.”

“Kalau ayam tu mati mama masaklah sup. Dinie suka makan sup ayam yang mama masak. Sedap!” Dinie menaikkan ibu jarinya. Tergeleg-geleng kepala Raihan.

“Dinie, ayam yang dah mati macam tu dipanggil bangkai tau. Haram bagi orang Islam makan bangkai. Makanan haram ni akan menimbulkan mudarat dalam diri kita. Kat akhirat nanti akan dicuci dengan api neraka.” Dia berjeda. “Kalau kita nak makan ayam, kita kena sembelih dulu ayam tu hidup-hudup. Kalau kita letak ayam yang masih hidup kat dalam peti ais dengan sengaja, tu namanya menyeksa haiwan. Berdosa seksa haiwan macam tu. Allah tak suka.”

“Tapi kalau kita makan ayam tu bukan menyeksa haiwan jugak ke, mama? Allah tak marah ke?” Dinie kembali mengerut dahi.

“Allah tak marah, sayang... ayam tu merupakan makanan harian kita dan memberi tenaga pada tubuh badan kita. Hanya ayam yang disembelih je yang halal dimakan. Dinie nak masuk neraka ke makan ayam yang tak disembelih?”

Dinie menggeleng kepala laju. “Tak naklah, mama. Takut...” jawabnya pantas.

Raihan senyum. “Dinie nak balik kampung jumpa opah tak?”

“Nak! Bila kita nak balik kampung, mama? Tak sabar nak main dengan ayam.” Wajah Dinie sudah berseri-seri.

“Nanti mama tanya baba dulu. Kalau baba kata okey, baru boleh beraya kat kampung. Dah, sekarang Dinie tidur.” Raihan membetulkan kembali selimut di badan Dinie lantas menepuk perlahan tubuh kecil itu. Apabila melihat anaknya sudah lena, dia mengucup dahi anaknya dan melangkah keluar dari bilik.

“Dinie dah tidur?” tanya Khidir sebaik saja Raihan melabuhkan duduk di sebelahnya.

“Dah...” jawab Raihan sepatah. Lama dia memandang Khidir yang leka membaca. “Abang...”

“Hmmm...” sahut Khidir tanpa mengalihkan pandangan dari buku di tangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience