BAB 19

Family Completed 25641

RAIHAN duduk di pangkin sambil memandang Khidir, Jamilah dan Dinie yang pergi sembahyang terawih. Semakin lama kelibat mereka hilang dari pandangan mata. Sambil memerhatikan kawasan rumah kampung pada waktu malam, fikirannya mula melayang pada peristiwa tengah hari tadi ketika mereka baru sampai ke kampung.

Raihan keluar dari kereta dengan debaran yang menggila. Dia dapat melihat wajah terkejut Jamilah memandang Khidir di bahagian pemandu. Kemudian emak mertuanya berjalan laju mendapatkan Khidir.

“Kenapa tak bagitahu nak balik hari ni?” Badan Khidir yang tinggi itu dipeluk.

“Saja nak buat kejutan.” Khidir senyum dan mengelap air mata emaknya sebaik saja pelukan dilepaskan. “Mak sihat?”

“Mak sihat. Lagi bertambah sihat bila tengok Dir balik.”Jamilah senyum lebar. “Killa pun balik hari ni tapi bas dia malam.”

“Dia ada bagitahu Dir hari tu.” Khidir menoleh ke belakang apabila terasa hujung t-shirtnya ditarik. “Dinie, nilah mak baba.” Bahu anaknya dipeluk dan dibawa menghadap Jamilah.

“Comelnya cucu opah. Mari dekat opah, sayang.” Jamilah menghulur tangan. Malu-malu Dinie bersalam dengan Jamilah. Raihan tersenyum memerhati drama jejak kasih itu. Dia kemudiannya berdiri di belakang Khidir. Kedua-dua belah tangannya terasa sejuk mahu bersalam dengan emak mentuanya. Dia dapat merasakan emak mentuanya masih
tak dapat menerimanya apabila melihat Jamilah menjeling nak tak nak saja padanya.

“Umur berapa, cu?” Rambut lurus Dinie diusap lembut.

“Enam tahun. Cantiknya rumah opah. Macam rumah Upin Ipin!”

“Haaa... kalau cantik, nanti kena selalu ajak baba balik sinilah. Bukan jauh pun Melaka-Kuala Lumpur tu.” Jamilah senyum senang. “Cucu opah ni puasa tak?”

Dinie mengangguk laju. “Puasa... setengah hari.”

“Eh... kenapa tak puasa penuh satu hari?” Dahi Jamilah berkerut.

“Mama kata Dinie ni kecik lagi. Nanti dah besar baru belajar puasa penuh satu hari. Kan, mama?” Dinie menoleh mencari muka Raihan. Raihan senyum. Dia nampak Jamilah menceber namun tangan tetap dihulur untuk bersalam. Tapi emak mentuanya hanya menyambut salamnya dengan hujung jari saja. Hatinya yang sedikit terasa cuba disadokan.

“Cikgu Dinie kan... pernah cakap kat sekolah, kalau nak bersalam kena salam betul-betul tau, opah.” Tiga pasang mata serentak memandang Dinie.

“Opah kena salam mama macam ni.” Dinie memegang tangan Jamilah dan Raihan, kemudian disatukan. “Lepas tu mama cium tangan opah, opah pulak peluk mama macam opah peluk baba dengan Dinie tadi.” Dia menyilang tangan ke badan sambil memerhati mama dan opahnya.

“Cepatlah peluk mama, opah!” Raihan dapat melihat wajah terpaksa Jamilah ketika menariknya ke dalam pelukan. Dadanya terasa sebak. Selama tujuh tahun dia dambakan pelukan seorang emak mentua. Hari ini kerana anaknya, akhirnya dia dapat merasakannya walaupun dalam keadaan terpaksa. Badannya sedikit bergetar cuba menahan tangis. Sengaja dia mengetatkan lagi pelukan apabila emak mentuanya mahu melepaskan pelukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience