BAB 12

Family Completed 25641

“ANAK baba buat apa tu?” Khidir melabuhkan duduk di sofa sebelah Dinie yang sedang leka dengan tablet di tangan.


“Tengok Upin Ipin,” jawab Dinie tanpa mengangkat muka. Khidir mengusap rambut Dinie. Matanya turut dihala pada tablet yang memaparkan Upin dan Ipin sedang berbual dengan opah. Penat bekerja hilang apabila melihat keletah anaknya yang comel dan tembam. Dinie menekan butang pause pada video dan memanggung kepala memandang babanya. “Baba ada beli bunga api tak?”

Khidir senyum mendengar pertanyaan Dinie. Anaknya ini tak habis-habis dengan bunga api. Satu hari tak bermain bunga api memang tak sah! “Ada... lepas terawih nanti kita main. Ajak mak su sekali ya...”

“Okey...” Lebar sengihan Dinie. Tak sabar dia mahu bermain bunga api dengan baba dan mak sunya. Ketika melihat ada budak bermain mercun di masjid, dia pernah terasa ingin bermain sama tapi babanya tak bagi. Bahaya katanya. Tambahan pula banyak kes orang yang cedera kerana bermain mercun.

“Jom pergi kat meja makan. Dah berbuka dah ni,” Ajak Khidir apabila terdengar laungan azan maghrib. Tablet di tangan Dinie diambil dan diletakkan di meja makan. Kemudian tangan anaknya ditarik ke meja makan.

“Baba... Melaka tu rumah siapa?” Khidir yang sedang mengunyah buah kurma terasa mahu tercekik mendengar pertanyaan Dinie. Air bandung soda diteguk rakus. Raihan memandang Syakilla yang sudah mengenyit mata. Okey... dia sudah tahu ini rancangan Syakilla. Dia mula gugup apabila Khidir memandangnya dengan pandangan, mana-Dinie-tahu? Dia cepat-cepat menggeleng kepala. Syakilla pula buat-buat tak nampak apabila abangnya beralih memandangnya. Selamba dia menyudu lauk ke pinggan bagai orang tak bersalah.

“Kenapa Dinie tanya?” Muka Khidir serius.


“Tiap kali mak su cuti, mesti mak su balik Melaka. Semalam pun mak su datang dari Melaka. Kat situ rumah siapa, baba?” Paha ayam Dinie gigit sambil memandang Khidir yang menyuap nasi ke mulut. Lambat-lambat Khidir mengunyah. Sesuap... dua suap... tiga suap nasi disumbat ke mulut. Berat mulutnya mahu menjawab. Semalam
Raihan ada menyebut pasal emaknya. Malam ini Dinie pula. Melihat wajah ingin tahu anaknya, terpaksa juga dia menjawab. “Rumah mak baba. Opah Dinie.” Bagaikan tak terkeluar suaranya.

“Rumah opah ada tak macam rumah Upin dengan Ipin?” Dinie teruja. Sempat dia mengenyit mata pada Syakilla yang menaikkan ibu jari kiri. Khidir mengangguk. Nasi di pinggan digaul perlahan. Wajah tua emaknya mula terbayang. Entah berbuka apalah emaknya malam ini.

“Baba... raya nanti kita raya kat rumah opah nak?”Khidir mengangkat muka memandang Dinie. Serentak dengan itu suara emaknya yang menghalaunya terngiang-ngiang di telinga.

“Tak boleh, sayang... kita raya kat rumah atok dan nenek je ya... nanti atok dengan nenek sedih /pulak/ kalau kita tak beraya dengan dia,” lembut dia menjawab.

“Tak nak... Dinie nak raya dengan opah jugak. Kawan-kawan kat tadika semua beraya kat kampung. Dia orang cakap...” Dinie mengerut dahi cuba mengingati apa yang diajar oleh mak sunya. “Dia orang cakap kat kampung boleh dapat banyak duit raya. Boleh tengok orang masak dodol dengan lemang. Lepas tu, raya kat kampung lagi meriah daripada kat sini. Ada baaaanyakkkk pelita!”

Kat sini pun boleh makan lemang dengan dodol jugak, sayang. Duit raya pun dapat. Kalau nak pelita, nanti baba boleh pasang pelita banyak-banyak kat luar rumah. Sama je...”

Dinie menghempas ayam goreng ke pinggan. “Tak sama!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience