BAB 22

Family Completed 25641

“Itulah... masa Khidir kecik dulu pun dia tak pernah puasa setengah hari. Sepatutnya dari sekaranglah kena ajar anak tu puasa penuh. Ini tidak... diikutkan je apa yang anak nak. Huh!”

“Bukan saya tak nak ajar Dinie puasa penuh tapi dia kecik lagi. Cuaca sekarang panas sangat, bukan macam zaman dulu.” Raihan memandang Dinie yang sudah berlalu.

“Kalau paksa jugak anak puasa penuh, nanti takut dia jatuh sakit pulak.” Turun naik nafas Jamilah mendengarnya.

“Kau jangan nak mengajar akulah! Aku lebih dulu makan garam tau! Selama ni tak pernah pun Khidir dengan Killa tu jatuh sakit sebab puasa penuh. Dia orang pun main kat luar jugak petang-petang macam Dinie tu!”

“Haah... saja nak sakitkan hati Cik La la tu. Macamlah Cik La tak pandai jaga anak!” Saliza memanaskan lagi keadaan yang suam-suam kuku.

“Dahlah, kau pergilah naik atas. Sakit hati aku tengok muka kau! Tak payah nak buat air tu, biar aku yang buat. Nanti entah apa yang kau letak dalam air. Silap-silap kau letak julap sebab bengang dengan mulut aku.” Raihan menunduk. Perlahan-lahan dia mengorak langkah. Kalau dia menjawab pun bukannya dapat meredakan keadaan.

“Sedap ke lauk yang dia masak, Cik La?” Panjang leher Saliza memandang lauk-pauk di atas meja.

“Entah... aku tak pernah pulak merasa air tangan dia. Alah... lauk dia biasa je tu. Kamu punya lagi luar biasa. Tak pernah lagi aku makan geti nara tu.”

“Spaghetti carbonara...”

“Hmmm... samalah tu. Susah benau nak menyebutnya. Kamu datang ke mari ni maknanya kamu setujulah dengan rancangan aku tu ya?” Tangan Jamilah mencapai teko kaca lantas membancuh air teh O. Saliza tersipu-sipu. Badannya dipusingkan ke kiri dan ke kanan ala-ala perempuan gedik nampak lelaki kacak. Kemudian dia mengangguk.

“Eh, tu macam suara Abang Dir je, Cik La...” Pendengarannya ditajamkan apabila sayup-sayup terdengar suara Khidir di ruang tamu.

“Dia baru baliklah tu. Tadi katanya nak jalan-jalan tengok kebun.” Jamilah mengacau air yang sudah dimasukkan gula. Teruja pula Saliza mahu naik ke atas. Kelam-kabut dia menarik tangan Jamilah yang sedang mengangkat teko.

“Jom, Cik La kita naik. Sekarang nilah kita kena mulakan misi kita tu.”

“Eh, kamu ni tak reti sabar ke? Tak nampak aku tengah pegang teko panas ni? Karang jatuh pecah teko ni siapa yang nak kemas?” Jamilah menjeling geram.

“Sorry...” Saliza tersenyum malu. Dia tak sabar mahu berjumpa Khidir yang semakin kacak di matanya. Ketika balik dari terawih semalam, sekejap sangat dapat jumpa. Kali ini dia nekad takkan mempersiakan peluang yang dia ada. Anaknya sudah lama mendambakan kasih sayang seorang ayah. Apabila melihat layanan lelaki itu pada Dinie, dia yakin lelaki itu boleh menerima Zuqni seperti anak kandung sendiri. Lagipun dia tak kisah bermadu.

Sampai saja di ruang tamu, Saliza dan Jamilah terpaku melihat wayang di depan mata. Dia dan wanita tua itu saling berpandangan. Takat didih cemburunya sudah meninggi. Ikutkan hati mahu saja dia menarik rambut Raihan yang tak menyedari kehadiran mereka. Mana nak perasan kalau kedua-duanya sibuk sangat membuat kerja! Yang paling buat dia sakit hati apabila melihat anaknya dan Dinie yang sekejap-sekejap menjeling pasangan itu.

Jamilah pula mengurut dada yang terasa panas. Tajam matanya memandang Raihan yang duduk di kerusi yang membelakanginya dengan muka menghadap wajah Khidir yang duduk di lantai. Tangan kiri wanita itu memegang erat tengkuk anak lelakinya. Dia memejam mata, kemudian menarik nafas. “Ahmad Khidir! Apa yang kamu buat tu? Tak malu ke buat sup lidah depan budak-budak? Sekarang ni kan bulan puasa, tak tahu ke benda tu boleh batalkan puasa?!”

“Aduh!” Khidir yang terkejut mendengar jerkahan Jamilah menekup bibirnya yang terasa pedih. Saliza terus berlalu ke dapur dengan perasaan kecewa. Khidir dan Raihan memandang Jamilah yang sudah menjegilkan mata. Kedua-duanya masih terkejut. Bukan mereka tak tahu maksud apa yang wanita tua itu maksudkan.

“Apa mak ni? Bila masa pulak Dir dengan An buat sup lidah?” Khidir menjawab dengan tangan yang masih menekup ke mulut.

“Tadi tu apa? Bini kamu tu siap pegang tengkuk kamu. Bini kamu tu memang gatal kan? Tengah bulan puasa pun nak goda kamu. Kalau diri sendiri tu tak boleh puasa, jangan nak membatalkan puasa anak aku pilak! Malulah sikit depan budak-budak. Jangan nak rosakkan akhlak cucu aku pulak!” Kecik besar, kecik besar saja Jamilah lihat Raihan.

Entah apa malanglah anak aku dapat isteri macam ni. Kalau kahwin dengan orang Melayu kan senang, tak adalah buat perangai tak senonoh macam ni. Huh!
Khidir dan Raihan berpandangan. Kedua-duanya sudah ketawa. Dan ketawa Khidir paling kuat sampai terasa senak perutnya. Perutnya dipegang. Jamilah mencekak pinggang. Tak puas hati apabila kata-katanya tadi bagaikan gurauan kepada Khidir dan Raihan. “Kenapa kamu ketawa? Soal hukum ni boleh pulak kamu gelak-gelakkan, ya?”
Raihan menarik nafas usai habis ketawa.

“Puan dah salah faham ni. Sebenarnya...”

“Apa pulak salah faham?” Jamilah pantas memotong kata-kata Raihan.

“Ingat aku ni buta ke? Depan mata aku tadi aku nampak apa yang kau buat tau!” Jamilah mengetap gigi.

“Mak... tadi tu An cuma sapukan minyak gamat kat tepi bibir Dir ni hah.” Khidir menunjukkan tepi bibirnya yang sedikit bengkak dan merah. “Masa kat kebun tadi Dir kena gigit kerengga.” Merah padam wajah Jamilah. Baru dia perasan kesan bengkak di tepi bibir anaknya. Malu pula dia menuduh tanpa usul periksa.

“Nak sapu minyak gamat pun sapu /jelah, /yang tangan tu pergi pegang tengkuk Dir macam tengah tuttt tu buat apa?” Suaranya sudah mengendur.

“Abang Dir ni asyik elak-elakkan muka dia, tu yang saya pegang tengkuk dia. Lepas tu bila puan sergah tadi saya terkejut, terus tertonyoh kat kesan bengkak tu. Tu yang abang menjerit.” Raihan menjawab dengan senyuman yang bersisa di bibir. Ini lawak yang paling kelakar yang betul-betul buat dia tak tahan nak ketawa. Gara-gara mahu sapukan minyak di tepi bibir suaminya, emak mertuanya boleh tersalah sangka yang dia dan suaminya sedang bercium! Adoilaaa...

“Opah, sup lidah tu apa?”

Makin bertimpa-timpa rasa malu Jamilah apabila mendengar pertanyaan Dinie. “Kamu budak lagi, jangan masuk campur bila orang tua bercakap. Tengok tv tu! Karang orang lain berbuka makan nasi, kamu berbuka makan tv.” Cepat-cepat dia berlalu ke dapur. Khidir dan Raihan ketawa lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience