BAB 32

Family Completed 25641

“Raya nanti nak pakai baju apa kalau mak buang baju tu? Lagi dua hari nak raya ni mana ada orang yang ambil tempahan dah.” Tanya Syakilla yang turut mengekor Jamilah ke dapur.

“Tak ada baju raya pun aku tak kisahlah! Baju lama ada, aku boleh pakai.” Plastik yang sudah diikat kemas dicampak di tepi tong sampah.

“Puan...”

Lamunan Jamilah tentang kisah semalam terbang melayang. Dia pandang Raihan yang berdiri di sebelahnya. “Haaa... nak apa?!” Garang dia bertanya, mahu menutup rasa malu apabila ditangkap ketika mengelamun.

“Tu... nasi impit dah masak.” Raihan memuncungkan mulut ke arah periuk noxxa. Dari tadi dia perasan Jamilah asyik termenung. Tak tahu apa yang mengganggu fikiran emak mentuanya. Dia berlalu ke meja makan, menyambung mengupas bawang.

Jamilah meletakkan nasi impit ke dalam penapis besar lantas diletakkan di atas meja makan. Kemudian dia mengambil kelapa yang sudah digoreng, mahu menumbuk untuk dijadikan kerisik. Sambil menumbuk, matanya memandang plastik yang dicampak semalam. Masih tak ada siapa yang usik.

“Puan... nanti boleh tak masakkan nasi impit goreng untuk saya?” Tangan Jamilah yang laju menumbuk kelapa terus terhenti. Dia memusing kepala memandang Raihan yang masih leka dengan bawang.

“Abang Dir cakap, puan masak nasi impit goreng sedap. Teringin pulak saya nak merasa. Selama ni saya tak pernah tahu pun pasal masakan tu.” Nasi impit di atas meja dipandang. Ada lagi lima jam sebelum berbuka. Dia berharap Jamilah menunaikan keinginannya.

“Kau ingat kau tu anak raja ke nak suruh aku masakkan untuk kau?” Jamilah terus menumbuk kelapa. Sekali lagi egonya menghalang dia bersetuju dengan keinginan Raihan.

“Nak bermanja dengan aku konon... pergilah bermanja dengan mak angkat kau kat KL tu. Suruh dia masakkan untuk kau. Jangan nak menyusahkan aku pulak! Elok aku sihat sebab esok nak raya, terus jatuh sakit sebab melayan kerenah kau!” Tak semena-mena air mata Raihan mengalir. Entah kenapa dia berasa sangat sensitif hari ini. Terasa pedih mendengar kata-kata Jamilah. Dia sedar siapa dirinya. Memang dia bukan menantu pilihan.

Kerana menikahinya, Khidir dihalau dari rumah tujuh tahun dulu. Dia sudah tak tahu macam mana lagi mahu mengambil hati emak mertuanya.

Mungkin dia sudah gagal. Jamilah nampak Raihan mengelap air mata. Sengaja dia mengeraskan hatinya. Memandangkan esok sudah raya, dia berniat mahu memohon maaf esok saja. Raya tahun ini dia terasa mahu makan rendang air tangan menantunya tapi mulutnya berat mahu meminta.

“Mak ni, bukannya berat pun permintaan Kak An. Suruh masakkan nasi impit goreng je pun. Tak adanya mak nak jatuh sakit.” Syakilla menyampuk. Dia bukan sengaja mahu mencuri dengar, tapi dia terdengar ketika mahu turun ke dapur tadi.

Batu lesung dihentak kasar. “Kalau kamu kesian sangat kat dia, kamu jelah yang masakkan untuk dia!” Jamilah menjegil memandang Syakilla yang berdiri di sebelahnya. Kehadiran anaknya itu tepat pada masanya. “Tak ada mood aku nak memasak. Kamu berdua masaklah sendiri.

Aku nak pergi buang sampah. Semak mata aku ni tengok plastik baju tu tak berbuang!” Dia melangkah mendapatkan tong sampah.

“Ek eh... mak ni nak marah-marah pulak. Esok nak raya, tak baik marah-marah. Nanti Pak Cik Sudin kedai runcit tu takut nak masuk meminang.” Syakilla ketawa. Sengaja dia mahu menceriakan suasana dapur yang muram. Bukan dia tak tahu Pak Cik Sudin sukakan emaknya. Tiap kali dia pergi kedai asyik bertanyakan emaknya.

“Aku tonyoh mulut kamu dengan sampah ni kang... cakaplah merapu lagi!” Jamilah tak suka dikenenkan dengan sesiapa. Dia selesa dengan hidupnya sekarang.

“Si Sudin pekak tu nak dikenankan dengan kita? Hesy, tak kuasa aku dah tua-tua ni nak naik pelamin. Rumah kata pergi, kubur kata mari.” Dia berlalu dari dapur.

Raihan turut ketawa. Terubat sikit rasa kecewanya mendengar lawak Syakilla. Sayu matanya memandang plastik yang berisi baju di tangan kiri Jamilah.

“Kak An jangan sedih-sedih eh, nanti Killa masakkan nasi impit goreng untuk akak.” Syakilla mengusap bahu Raihan.

“Tak apalah, Killa. Akak dah tak terasa nak makan.” Yang tekak dia mahu hanya air tangan emak mentuanya, bukan orang lain.Entahlah, tekaknya makin mengada-ngada pula sekarang.

“Abang Dir jadi ke balik esok?” Syakilla menukar topik. Dia menyambung tugasan yang emaknya tinggalkan tadi.

“Jadi... lepas subuh dia geraklah balik sini.” Masing-masing terus larut dengan kerja memasak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience