BAB 26

Family Completed 25641

“Assalamualaikum Cik La, Abang Dir... dari mana ni?” tegurnya sebaik saja Khidir dan Jamilah keluar dari kereta.

“Waalaikumussalam. Baru balik dari bazar ramadan. Kenapa duduk luar ni?” tanya Jamilah yang sudah berdiri di sebelah Saliza. Khidir tak menjawab salam, dia terus melangkah ke boot mengeluarkan makanan yang dibeli.

“Menantu Cik La tulah. Disuruhnya Liza duduk kat pangkin ni sampai Cik La balik.” Sengaja Saliza mereka cerita, mahu menambahkan lagi rasa benci Jamilah pada Raihan.

“Siapa menantu aku? Tolonglah... dia bukan menantu aku. Aku tak ada menantu yang perangai jahat macam tu. Langsung tak ada adab biarkan tetamu tunggu kat luar.

Khidir menjeling tajam pada Saliza. “Mak percaya sangatlah apa yang dia kata tu. An tak pernah buat macam tu kat tetamu. Dir tak percaya,” ujarnya sambil menghampiri dua wanita itu. Dia pelik dengan sikap emaknya. Tengah hari tadi bukan main elok saja apabila Raihan mengajar cara menggunakan periuk noxxa. Petang ini, apabila Saliza buat cerita, mulalah perangai lama emaknya muncul balik. Pening dia memikirkan cuaca hati emaknya yang sering bertukar-tukar.

“Haaa... bagus! Bela sangat bini kamu tu. Kalau betul elok perangainya, kenapa terperap je kat rumah tu? Takkanlah Liza nak buat cerita pulak.” Bengis wajah Jamilah.

“Saliza!!!”

Tiga pasang mata memandang ke arah pintu rumah, memandang Raihan yang menghampiri mereka dengan wajah yang bengis dan merah.

Jamilah dan Khidir menayang muka pelik. Tak pernah pula Khidir melihat isterinya marah sebegitu. Kepalanya mula sarat dengan bermacam persoalan.

Wajah Saliza nampak tenang namun melihat langkah Raihan yang semakin menghampiri, cuak pula hatinya. Tambahan pula apabila teringat apa yang dibuat pada Dinie tadi.

Panggg!!!

Sebiji tamparan elok melekat di pipi Saliza hingga jatuh terduduk di pangkin dibuatnya. Turun naik nafas Raihan memandang muka tak bersalah wanita itu. Wajah Dinie yang menangis dengan lengan yang lebam dan pipi yang merah bermain di kepalanya. Dia memang pantang kalau ada orang usik anaknya. Perbuatan wanita itu benar-benar telah menaikkan suhu kemarahannya. Dia sendiri pun tak pernah memukul anaknya begitu.

Silapnya juga kerana lama sangat berada di dalam bilik air tadi. Kalau tak, mesti keadaan anaknya tidak begitu.

“Hei, yang kau tampar dia kenapa?!” Jamilah menolak bahu

Raihan. Berangin juga dia apabila tetamunya dihadiahkan dengan penampar.

Nak-nak lagi si pemberi penampar itu menantu bukan pilihannya. Mencerun mata Raihan memandang Jamilah.

“Puan tanya sendiri apa yang bakal menantu puan ni dah buat!” Tanpa sedar dia meninggikan suara.

Kecut juga hati Jamilah mendengar tengkingan Raihan. Terasa seram sejuk badannya.

“Yang kau nak tengking aku ni kenapa? Ini rumah aku tau, sedar diri tu sikit!” Sengaja dia berkata begitu, mahu menutup rasa kecut.

Raihan menarik nafas, cuba menenangkan diri. Wajahnya diraup perlahan.

Khidir meletakkan plastik berisi makanan di pangkin,kemudian dia memusingkan badan Raihan menghadapnya.

“Sayang... kenapa ni? Apa yang Liza dah buat sampai sayang marah macam ni?” Risau pula dia melihat isterinya marah-marah.

“Ma... mana a... ada Liza buat apa-apa. Raihan ni saja nak tuduh-tuduh.” Cepat-cepat Saliza membuka mulut sebelum sempat Raihan bercerita. Pandangan tajam wanita itu dibalas dengan pandangan mencerun.

“Kalau tak suka aku datang sini pun tak payahlah sampai nak tampar muka aku!” Dia bangun sambil memegang pipinya yang terasa sakit.

“Dahlah, Cik La... Liza nak balik. Orang tak suka, buat apa nak terhegeh-hegeh, kan....” Dia melangkah mahu meninggalkan laman rumah Jamilah. Takut kalau rahsianya pecah.

“Perbuatan kau ni, kalau aku buat report, silap-silap kau meringkuk dalam penjara tau!” Langkah Saliza terhenti apabila mendengar perkataan penjara.

Dadanya sudah berdebar. Cepat-cepat dia berpusing mendapatkan Raihan.

Tangan wanita itu dipegang. “Tolong, Raihan... tolong jangan buat report. Aku minta maaf... aku tak sengaja.” Dia merayu. Tak dapat diabayangkan dia meringkuk dalam penjara. Sudahlah lagi empat hari nak beraya.

“Eh, kenapa ni? Kenapa nak merayu-rayu bagai kat perempuan ni pulak, Liza? Apa yang kau dah buat sebenarnya?” Berkerut dahi Jamilah melihat Saliza sudah melutut.

Saliza tak menghiraukan pertanyaan Jamilah. Yang penting baginya sekarang, memujuk Raihan. Dia kembali memegang tangan wanita itu walau berkali-kali wanita itu menepis tangannya.

“Aku merayu kat kau, An. Tolong kesiankan aku...”

Raihan merengus. “Ooo... pandai pulak suruh kesiankan kau ya? Masa kau pukul Dinie, kau tonyoh mulut anak aku dengan mercun mancis tu, kenapa kau sikit pun tak ada rasa kesian kat dia? Kau ingat mulut anak aku tu api untuk bakar mercun ke sampai kau tonyoh-tonyoh mulut dia? Manusia jenis apa kau ni hah, sanggup dera budak macam tu? Tak ada hati perut langsung!” Dia menolak bahu Saliza yang masih melutut hingga terduduk.

Jamilah mengurut dadanya. Dia tak menyangka Saliza sanggup mendera cucunya. Padanlah Raihan marah sangat. Matanya memandang Dinie yang sudah berdiri di sebelah Raihan. Mata budak itu sedikit bengkak kerana menangis.

“Dinie, auntie minta maaf. Auntie tak sengaja pukul Dinie.” Saliza cuba mencapai tangan Dinie namun budak itu pantas menyorok di belakang Raihan.

Khidir menarik kasar lengan Saliza supaya bangun menghadapnya. Berasap hatinya apabila mendengar anaknya disakiti.

Bertambah mendidih darahnya melihat keadaan anaknya. “Berani kau sentuh anak aku ya! Apa yang dia buat kat kau sampai kau pukul dia macam tu? Cuba cakap kat aku!” Jantung Saliza sudah berdebar. Dia memandang Dinie yang masih menyorok di belakang Raihan.

“Erk... Liza... ge... geram dia tak... tak nak layan Liza.” Tergagap-gagap dia menjawab. “Liza tak sengaja pukul dia, bang. Liza tak boleh tahan marah bila dia buang mercun yang Liza bagi tu kat tanah, lepas tu halau Liza balik. Maafkan Liza, bang. Tolong jangan report polis. Kesiankan Zuqni, bang. Kalau Liza masuk penjara siapa yang nak beraya dengan dia? Dia cuma ada Liza sorang je.” Dia memegang tangan Khidir.

“Tak payah nak pegang-pegang akulah. Aku jijik dengan kau tau!” Khidir menepis kasar tangannya. “Okey... aku tak akan buat report. Tapi dengan satu syarat!”

Wajah Saliza sudah berseri-seri. “Apa syaratnya?”

“Aku tak nak kau jejakkan kaki kau kat rumah mak aku dan jangan cuba-cuba nak dekati anak aku lagi faham!”Perlahan-lahan Saliza mengangguk.

“An, Dinie, jom masuk!” Dia mengambil plastik yang diletakkan dipangkin tadi, kemudian menarik tangan Raihan.

“Kau ni kenapa bodoh sangat pukul budak kecik?” Jamilah menunjal geram kepala Saliza.

“Sakitlah, Cik La!” Saliza menggosok kepalanya.

“Tahu pun sakit. Badan cucu aku tu lagi sakit tau kena pukul dengan kau! Tengok... sekarang Khidir dah tak bagi kau datang sini.Habis rosak rancangan aku!” Jamilah merengus. “Pergilah balik! Menyampah pulak aku tengok muka kau.” Dia berlalu masuk ke rumah. Kalau dia berada di tempat Raihan, mahu dua biji penampar kot dia bagi ke muka Saliza.

Wajah Saliza bertukar bengis. Turun naik nafasnya menahan marah. “Kau kata aku ni jijik ya, Khidir?! Kau tunggu... perempuan jijik ni nantilah yang kau kena kahwin nanti. Ingat aku nak sangat ke kemaafkan kau tu, Raihan? Sikit pun aku tak hairanlah kalau kau tak nak maafkan. Aku merayu tadi pun sebab tak nak masuk penjara je! Kau orang berdua tunggu esok apa yang aku akan buat!”

Saliza mengeluarkan telefon pintarnya. Sebaik mendail nombor seseorang, dia melekapkan telefon ke telinga. “Helo... aku nak kita jalankan misi kita esok!” Usai mematikan talian, dia tersenyum sinis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience