BAB 16

Family Completed 25641

Khidir menggeleng kepala. Rasa kasihannya melimpah apabila mendengar cerita wanita itu. Dia tak menyangka dia dapat mendengar sendiri kisah anak derhaka versi realiti. Selama ini dia hanya tengok cerita di televisyen saja.

“Semalam, sebelum keadaan dia jadi macam sekarang, dia datang jumpa Cik Ah. Masa tu Cik Ah ingatkan dia datang sebab nak jemput Cik Ah balik tapi rupanya dia suruh Cik Ah tukar nama tanah kepada nama dia.” Jumaah mengesat air mata. “Bila Cik Ah menolak, dia marah. Dia kata yang dia tak akan jenguk Cik Ah sampai bila-bila. Kalau Cik Ah mati nanti, jangan telefon dia. Sedih hati Cik Ah ni, doktor. Pagi tadi menantu Cik Ah datang merayu supaya Cik Ah selamatkan suami dia sebab buah pinggang dia tak sepadan dengan anak Cik Ah. Dia minta maaf dengan Cik Ah, dia kata dia menyesal dengan apa yang dia pernah buat dulu.” Jumaah senyum.

“Kalau menantu Cik Ah tak merayu pun Cik Ah akan tetap selamatkan anak Cik Ah. Dia anak Cik Ah... tak ada emak yang bencikan anaknya walaupun macam-macam yang anak dia buat.” Jumaah berjeda.

“Sekarang Cik Ah tengah tunggu keputusan pemeriksaan. Cik Ah harap sangat yang buah pinggang Cik Ah sesuai dengan dia. Dia muda lagi... ada isteri yang perlu dia jaga dan mungkin kalau ada rezeki nanti akan ada anak pulak.”Khidir kembali teringatkan emaknya.

“Mak doktor masih hidup?” Jumaah memandang wajah keruh Khidir. Khidir mengangguk perlahan.

“Jagalah emak baik-baik. Jangan guriskan hati dia. Masa emak masih hidup nilah anak-anak kena hargai dia. Emak hanya seorang, tak boleh ditukar ganti. Lagipun orang tua ni tak harapkan lebih... cukup sekadar anak-anak ingat pada dia. Kalau dia jauh, selalulah telefon dia kat kampung. Bukan sekadar masukkan duit bulan-bulan.”

“Tapi kes saya ni lain sikit, Cik Ah. Mak saya tak restu perkahwinan saya.” Khidir mula menceritakan krisis yang menimpa keluarganya.

“Cik Ah rasa doktor kena telefon mak doktor. Dalam tempoh tujuh tahun ni, mesti mak doktor rindukan doktor. Cik Ah pun pernah rindukan anak dan menantu Cik Ah... mesti mak doktor pun rasa benda yang sama. Tambahan pulak doktor dah ada anak, mesti dia tak sabar nak jumpa satu-satunya cucu dia.”


Khidir mengemam bibir. “Nanti saya cuba fikirkan.” Sedikit sebanyak, kata-kata Jumaah berjaya mencuit hatinya.

“Jangan fikir-fikir lagi, doktor. Sekarang bulan Ramadan, bulan untuk menyucikan hati dan bulan untuk bermaaf-maafan. Baliklah ke kampung. Cuba rendahkan ego. Jernihkan balik apa yang keruh. Tak salah pun doktor sebagai anak memulakan langkah. Lagi lama doktor biarkan, sampai ke sudah masalah doktor tak selesai.”

“Dir, kau tak balik lagi ke?” Khidir tersentak apabila Safuan yang melangkah masuk ke bilik rehat itu menegurnya. Hilang terus sesi luahan rasa antara dia dan Jumaah yang berlegar di fikirannya tadi. Jam tangan dikerling. Waktu kerjanya sudah tamat.

“Nak baliklah ni.” Dia bangun merenggangkan urat yang terasa lenguh. Dia nekad mahu menghubungi emaknya sebaik saja balik ke rumah nanti. Tak salah kalau dia mencuba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience