BAB 29

Family Completed 25641

Usai mematikan talian, Syakilla terkocoh-kocoh berlari ke dapur. “Mak, tolong buatkan air sejuk campur garam dengan gula. Abang Dir cakap tu ubat untuk keracunan makanan. Kak An muntah sebab makan kuih raya tadi.”

“Eh, mak makan kuih raya elok je, tak ada muntah pun. Kamu dengan Dinie pun okey je.” Jamilah mengerut dahi.

“Abang Dir cakap Kak An memang tak boleh makan kuih raya. Dahlah, mak pergilah buat air tu, lepas tu bagi Kak An minum. Killa nak pergi kedai kejap. Jom, Dinie... ikut mak su.” Syakilla menarik tangan Dinie.

“Kamu nak pergi kedai malam-malam ni nak buat apa? Kamulah pergi bagi dia minum air. Apa pulak mak?” Jamilah tak puas hati.

“Abang Dir suruh beli air 100 plus, bagi Kak An minum. Mak tolonglah bagi Kak An minum air garam tu dulu.” Syakilla terus naik ke atas bersama Dinie.

Mahu tak mahu terpaksalah Jamilah membuat air itu. Kemudian dia melangkah ke bilik Raihan.

“Bangun... minum air ni.” Dingin suaranya mengejutkan menantunya yang sudah memejam mata. Apabila melihat menantunya susah hendak bangun, dia membantu mendudukkan wanita itu di kepala katil.

“Dir suruh aku bagi kau minum air ni. Minumlah.”Terharu Raihan menyambut muk itu. Air disisip perlahan dan mukanya berkerut menahan rasa masin.

“Jangan nak kerut-kerut muka tu. Minum sampai habis supaya rasa mual tu hilang.”

“Tak sedappp...” Raihan mengerut lagi mukanya. Tekaknya tak boleh terima air itu.

“Dah nama pun ubat, mestilah tak sedap! Habiskan, lepas tu boleh tidur.” Ini kali pertama dia tahu yang air garam mampu memulihkan keracunan makanan. Nasib baik mereka belum pergi ke hospital lagi. Selesai minum, dia membaringkan Raihan. Tiger balm dicapai di meja lampu dan dilumur pada leher dan dahi menantunya. Kemudian kepala wanita itu dipicit perlahan.

“Dah tahu tak boleh makan kuih raya kenapa makan jugak? Sekarang tengok, siapa yang sakit?” Dia membebel.

“Saya teringin. Sebenarnya, dari umur tiga tahun saya tak boleh makan kuih raya. Tiap kali makan, mesti pergi hospital sebab keracunan. Bila dah umur dua puluh lapan ni saya ingatkan dah boleh makan tapi muntah jugak.” Mata Raihan sudah layu.

“Hmmm... kembang jarak kembang jagung, badan sakit sendiri tanggung!” Raihan ketawa mendengar pantun Jamilah. Memang sekarang dia sendiri yang menanggung sakit. Tapi dalam keadaan begini, dapat juga dia merasa urutan emak mentuanya. Ada hikmah rupanya dia jatuh sakit malam ini.

“Ada rasa nak muntah lagi ke?” tanya Jamilah perihatin.

Suara pun kedengaran lembut.Raihan menggeleng. Penangan air garam itu betul-betul berkesan.

“Tidurlah. Killa balik dari beli air 100 plus untuk kau minum nanti aku kejutkan.” Jamilah membetulkan selimut di badan Raihan.

Tangannya kembali lincah memicit kepala menantunya. Makin lama dia memandang Raihan, makin hatinya jatuh sayang. Tapi dia sengaja berpura-pura marah, sengaja mahu menguji tahan kesabaran menantunya melayan kerenahnya. Dia rasa belum masanya lagi untuk dia mengaku yang dia sudah menerima menantunya.

Tanpa disedari, Syakilla dan Dinie mengintai di sebalik pintu bilik. Sempat dia merakam, mahu menghantar video itu ke WhatsApp abangnya. “Dinie, malam ni tidur dengan mak su jelah. Biar opah jaga mama ya?” Rasanya air 100 plus itu sudah tak diperlukan lagi.

Dinie mengangguk dan mengikut Syakilla masuk ke bilik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience