BAB 13

Family Completed 25641

Khidir dan Raihan terkejut. Syakilla pula tak berkelip mata memandang Dinie. Ini macam dah terover sangat budak Dinie ni berlakon. Rasanya aku tak ada suruh dia tinggikan suara. Dia menggaru kepala.

“Dinie nak raya dengan opah kat kampung jugak. Tak nak kat sini. Kat sini tak best!” Nafas Dinie sudah turun naik. Raihan nampak wajah Khidir sudah berubah merah. Dia mahu menegur anaknya tapi Syakilla menahan. Membuat isyarat suapaya menunggu. Mencerlung mata Khidir.

“Kenapa degil sangat ni?! Kalau baba kata kita raya kat sini, kita tetap akan beraya kat sini! Dah, makan nasi tu. Depan rezeki tak baik buat perangai!”

Dinie terasa mahu menangis apabila Khidir meninggikan suara. Tapi dia tak akan mengalah selagi tak buat babanya bersetuju untuk balik ke kampung. Tangan dicelup ke mangkuk basuh tangan, kemudian dia meninggalkan meja makan.

“Nur Dinie Rahizar... nak ke mana tu? Habiskan nasi dulu!” Melengking suara Khidir.

“Tak nak! Baba tak nak balik kampung... Dinie tak nak kawan baba! Baba jahat, baba marah Dinie.” Dengan suara serak Dinie menahan tangis. Pertama kali kena marah, dia memang berasa sedih. Dia berlari laju menaiki tangga. Khidir mengeluh. Dia menopang tangan kiri ke dahi.

“An duduk makan. Biarkan dia nak merajuk ke apa.” Dia bersuara apabila Raihan mahu berdiri. Raihan kembali duduk. Dia risaukan Dinie yang hanya makan dua suap nasi sahaja. Tak pernah-pernah anaknya merajuk begitu. Dulu kalau anaknya merajuk, nasi tetap dihabiskan. Lagi-lagi apabila ada ayam goreng, lauk kegemaran anaknya. Memang dua pinggan akan ditambah.


“Kecik-kecik lagi dah pandai nak mogok. Haihhhh...” Khidir menggeleng kepala.

“Dinie tu ikut perangai Abang Dir la. Dulu masa mak tak bagi abang pergi melastik burung kat hutan dengan Abang Ejam dengan Abang Manan... bukan Abang Dir pun merajuk sampai tak nak makan ke?” Syakilla mengecilkan mata. Raihan tersengih mendengar cerita Syakilla. “Ya ke, Killa? Abang tak pernah cerita pun.” Sengihannya makin melebar apabila melihat wajah Khidir bertukar merah menahan malu.

“Haah, Kak An... hari-hari mak masak lauk kegemaran abang sebab nak pujuk abang tapi langsung tak jalan. Dia tahan jugak tak nak makan. Tapi rupa-rupanya tengah-tengah malam dia pergi melantak kat dapur.” Tersembur ketawa Raihan.


“Sudah... tutup cerita lama. Makan cepat, kejap lagi nak sembahyang maghrib. Tengok jam tu dah pukul berapa dah ni.” Khidir menyuap suapan terakhir. Mengenangkan kisah lama membuatkan dia rindu dengan air tangan emaknya. Mak... Dir rindu kat mak... dia menarik nafas menahan sebak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience