BAB 11

Family Completed 25641

“JOM masuk, Killa... panas kat luar ni.” Raihan mengajak Syakilla masuk ke rumah sebaik saja kereta Khidir meninggalkan kawasan perumahan itu untuk ke tempat kerja.

“Akak dah cuba pujuk abang ke?” tanya Syakilla sambil melabuhkan duduk di sofa. Beg pakaiannya di letakkan di tepi.

“Dah.” Raihan mengeluh lemah.

“Tak jalan ke?” tebak Syakilla apabila melihat wajah muram kakak iparnya.

“Abang Killa tu keras hati sangat. Akak dah tak tahu nak tambah perasa apa untuk lembutkan hati dia.” Raihan mengeluh lagi mengenangkan peristiwa kelmarin.

“Elsa... nanti kita nak balik kampung baba tau. Kampung baba kita kat Melaka. Mama cakap nak /bawak/ kita jumpa opah. Mesti opah baik macam nenek kan...” Dinie menggoyangkan kepala anak patung di tangannya. Syakilla dan Raihan memandang Dinie yang sedang duduk di atas permaidani sambil bermain dengan anak patung Elsa. Sayu hati Raihan apabila melihat wajah teruja Dinie yang betul-betul berharap dapat berjumpa dengan opahnya. Maafkan mama, sayang... mama tak dapat nak tunaikan janji untuk beraya kat Melaka. Syakilla mengerut dahi cuba memikirkan sesuatu. Kemudian dia tersenyum.

“Dinie, sini duduk kat mak su...” Dia menepuk sofa di sebelahnya. “Dinie betul-betul nak jumpa opah ke?” tanyanya sebaik saja Dinie duduk di sebelahnya. Dinie mengangguk laju.

“Opah tu orang dia macam mana, mak su?”

“Opah tu macam opah Upin Ipin. Baik macam opah dia orang jugak.”

Bersinar-sinar mata Dinie mendengarnya. Wajah opah drama kartun Upin dan Ipin sudah terbayang di ruang mindanya. “Opah kenal Dinie tak, mak su?” Syakilla menggeleng kepala. Raihan hanya mendengar saja perbualan dua orang itu. Dinie mengerut dahi.

“Kenapa tak kenal pulak?” Dia menayang muka tak puas hati.

“Kan Dinie tak pernah balik kampung, macam mana opah nak kenal Dinie.” Syakilla menggosok bahu Dinie perlahan.

“Ooo... nanti Dinie, mama dengan baba nak balik kampung bolehlah opah kenal Dinie kan, mak su...” ujar Dinie polos.

Syakilla menggeleng kepala. “Opah takkan dapat kenal Dinie sampai bila-bila.” Dia berpura-pura sedih.

Dinie sudah bercekak pinggang. “Kenapa pulak?”

“Baba Dinie tak nak beraya kat kampung.”

“Kenapa /pulak /baba tak nak? Mama kata mama nak ajak baba kan, mama?” Dinie mengalihkan pandangan pada Raihan. Raihan terkulat-kulat, tak tahu mahu menjawab apa.

“Baba busy. Baba Dinie kan doktor... pesakit-pesakit kat hospital perlukan baba.” Syakilla bermain dengan rambut anak patung Elsa di tangan Dinie.

“Busy? Habis tu pergi rumah atok dengan nenek tak busy pun?” Tak berkelip mata Dinie memandang Syakilla.

“Rumah atok dekat je... rumah opah jauh sangattt... kena naik kereta.”

“Alaaa... tak bestlah macam tu!” Dinie menyandarkan badan sambil menyilang tangan ke dada. “Dinie nak /jugak /kenal dengan opah. Elsa pun nak kenal jugak, kan?” Dia menggoyangkan anak patungnya.

“Kalau Dinie nak balik kampung, Dinie kena ikut cakap mak su. Boleh?” Syakilla menjungkit kening. Kemudian dia memandang Raihan dan mengenyit mata tanda umpannya mengena. Raihan senyum dan menggeleng kepala.

“Boleh! Apa dia, mak su?” tanya Dinie tak sabar. Syakilla membisikkan sesuatu ke telinga Dinie. “Boleh tak?” Dinie mengangguk laju.

“Dah, pergi main sana.” Dia menolak bahu Dinie supaya bermain di bawah.


“Apa yang Killa suruh Dinie buat?”


“Ada laaa...” Syakilla sengih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience