BAB 25

Family Completed 25641

DARI jauh Saliza nampak Dinie sedang bermain masak-masak di pangkin bersama Fatin, anak jiran sebelah. Dia melajukan langkah mendapatkan kanak-kanak yang leka bermain dengan alatan permainan memasak. “Dinie main apa tu?” Ramah dia bertanya.

“Main masak-masak.” Dinie mengacau daun yang sudah lunyai di dalam mangkuk.

“Pandainya Dinie masak. Masak apa tu? Nampak macam sedap je...” Sekali lagi dia cuba memancing perhatian budak itu. Bahu budak itu diusap perlahan.

Dinie mencampak bunga raya yang dicarik-carik ke dalam kuali mainan. “Ini namanya nasi goreng sardin resepi mama. Sedap tauuuu...bukan macam spaghetti auntie yang tak sedap tu. Uwekkk!” Dia buat gaya nak muntah.

Terhenti terus usapan Saliza. Giginya diketap geram. Pandai pulak budak ni kutuk masakan aku. Nak je aku ketuk kepala dia.Haish... sabar, Liza... sabar... senyumannya dikoyakkan kembali.Matanya meliar memandang sekeliling laman. Kereta Khidir tiada di situ.

“Opah dengan yang lain mana?”

“Baba bawak opah pergi bazar ramadan, mak su pergi berbuka dengan kawan, mama pulak tengah mandi,” jawabnya tanpa memandang Saliza.

“Nah, auntie minum air ribena yang Atin buat ni.” Fatin meletakkan cawan mainan di depan Saliza. Kemudian dia menunggu reaksiwanita yang berpura-pura minum itu.

“Sedap tak, auntie?”

“Sedap... pandai Fatin buat air.” Saliza berpura-pura senyum.

“Eee... auntie Liza tak puasa! Eee... tak malu, dah besar pun tak puasa.” Dinie menjauhkan duduknya dari Saliza. Saliza tersentap mendengar kata-kata Dinie. Tak pasal-pasal dia dicop tak puasa.

“Auntie puasalah. Ni kan mainan punya, saja auntie nak main sama Dinie dengan Fatin.” Dalam hati mahu saja dia cubit-cubit mulut celopar budak kecik itu. Entah manalah budak ni belajar jadi celopar macam ni. Ugh! Menyakitkan hati betul! Dinie kembali menghadap permainan, tak menghiraukan Saliza.

Dia tak sukakan wanita itu sejak Zuqni memberitahu yang wanita itu sukakan babanya. Saliza kembali mengukir senyum. Rasa menyampahnya dibuang jauh-jauh. Dia merapatkan diri pada Dinie.

“Dinie suka main mercun tak?

Ni auntie ada beli mercun mancis untuk Dinie. Kita main nak?” Dia mengeluarkan mercun mancis dari plastik yang dibawanya. Kata Jamilah,Dinie suka bermain bunga api. Saja dia membeli mercun mancis untuk mengambil hati budak itu.

Dinie menolak mercun yang dihulur. “Tak naklah, baba tak bagi main mercun. Bahaya. Nanti baba marah.”

Saliza buat muka monyok. “Alah... jomlah main dengan auntie. Kesian auntie tak ada kawan. Kita main sama-sama ya?” Dia memusing badan Dinie menghadapnya.

Dinie menepis tangan Saliza di bahunya. Wajahnya dicemberutkan tanda tak suka diganggu. “Tak nak... Dinie nak main dengan Atin. Auntie pergilah balik. Dinie tak suka auntie kacau baba.”

Amboih, menghalau pulak dia. Tapi mana dia tahu aku suka baba dia? Saliza mengerut dahi memandang Dinie yang kembali bermain. Alang-alang dia dah tahu, baik aku tanya. “Dinie suka tak kalau auntie jadi mama Dinie?”

“Tak suka! Dinie tak suka mak tiri. Mak tiri jahat macam mak tiri Cinderella!” jawab Dinie tanpa memandang Saliza yang sudah mengetap gigi.

Saliza menarik nafas. “Eh, tak semua mak tiri jahat macam mak tiri Cinderella tau. Auntie ni baik... auntie sayang Dinie sama macam auntie sayang Zuqni. Kalau Dinie sayang auntie, jom kita main mercun ni sama-sama.” Dia mengeluarkan sebatang mercun mancis dari kotaknya. “Bukannya bahaya pun mercun ni. Tak payah takutlah, auntie ada.”

“Janganlah... nanti baba marah. Nanti baba tak bagi Dinie main bunga api lagi!” Dinie merampas mercun itu lantas dicampak ke tanah.

“Auntie pergilah balik. Sibuk je kacau kita orang.” Dia menolak badan Saliza.

Saliza terkejut. Mendidih darahnya dengan sikap biadap Dinie. Sabarnya sudah tak mampu ditahan lagi. Kecik besar, kecik besar saja dia melihat budak itu.

“Kau ni kenapa kurang ajar sangat hah?! Dari semalam kau sakitkan hati aku kan!” Dia mencubit lengan budak itu.

“Auuu... sakitlah, auntie. Janganlah cubit Dinie.” Wajahnya sudah tercebik-cebik menahan tangis.

“Kau ingat aku suka sangat ke dengan kau hah, budak mulut jahat?!” Bibir Dinie dicubit geram.

“Sakit!!! Mama!!!” jerit Dinie kuat namun tiada langsung bayang Raihan yang muncul. Mungkin mamanya belum selesai mandi. Dia sudah menangis.

“Jeritlah panggil mama kau. Ingat aku takut?” Pipi Dinie pula menjadi mangsa tamparan. Fatin menarik-narik tangan Saliza yang nampak bengis.

“Auntie, janganlah pukul Dinie. Dia sakitlah!”

“Kau diamlah, Fatin! Kalau tak nak kena cubit baik kau duduk diam-diam kat situ!” Matanya dijegilkan pada Fatin membuatkan budak itu diam ketakutan.

Saliza menarik tangan Dinie yang mahu lari. Dia masih belum puas melunaskan rasa marahnya. “Mana kau nak lari hah? Aku belum habis lagi dengan kau!” Dia menunduk mengutip mercun yang dicampak oleh Dinie tadi. Kemudian dia mengeluarkan kesemua isi mercun.

“Kau sombong sangat tak nak main mercun yang aku beli ni kan... nah, kau makan ni!” Dengan kasar dia menonyoh mercun itu ke mulut Dinie yang dikatup rapat.

Dinie sedaya upaya mengelak. Bibirnya yang terkatup rapat terasa sakit apabila Saliza mencengkam kuat rahangnya. Dalam hati dia berdoa mamanya cepat selamatkannya.

“Aduh!” Pegangan Saliza terlepas apabila Fatin menggigit kuat lengannya. Lengannya dibelek.

Dinie mengambil kesempatan melarikan diri masuk ke rumah.Dia mahu mencari mamanya.

“Kurang ajar punya budak! Berani kau gigit tangan aku ya!”Dia menjegil mata memandang Fatin yang sudah takut-takut.

“Sini kau, aku nak tonyoh mercun ni kat mulut kau pulak.” Kelam kabut Fatin belari balik ke rumah apabila Saliza mendekatinya.

Saliza membelek lagi lengannya yang berbekas gigitan. “Nasib baik tak berdarah. Kemudian dia menjeling ke pintu rumah Jamilah yang sudah ditutup.

“Mesti mengadu kat mama dialah tu. Budak cengang!” Baru saja dia mahu berlalu dari situ, kereta Khidir masuk ke laman. Dia menunggu dengan muka yang diceriakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience