BAB 33

Family Completed 25641

JAMILAH menarik keluar helikopter kawalan jauh yang Khidir simpan di atas kabinet dapur. Kemudian dia membawa ke laman rumah. Apabila mendapat mimpi yang dia sedang bermain helikopter mainan dengan seorang kanak-kanak lelaki, terus dia terasa mahu bermain helikopter kawalan jauh lewat malam itu juga. Memandangkan semua penghuni di dalam rumah sudah nyenyak tidur, bolehlah dia bermain dengan aman.

Dia berdiri agak jauh sedikit dari pangkin, berhampiran dengan jalan raya. Helikopter itu mula dimainkan seperti yang diajar oleh Khidir. Makin suka hatinya apabila melihat helikopternya makin naik ke udara. Leka dia bermain sampai tak sedar Raihan sedang memerhati di pangkin.

Raihan senyum. Ketika mahu masuk ke bilik sebaik saja minum air di dapur tadi, dia pelik melihat pintu rumah ternganga. Manalah tahu ada perompak ke yang masuk. Musim raya ni memang banyak kes pecah rumah.

Sudahlah perempuan saja yang ada dalam rumah itu. Apabila dia meninjau ke luar, dia nampak Jamilah sedang mendongak ke langit. Ingatkan apalah yang emak mentuanya sedang buat, rupanya sedang bermain helikopter kawalan jauh. Memandangkan rasa mengantuknya sudah hilang, dia memilih untuk duduk di pangkin, melihat emak mentuanya bermain.

Pom! Pom! Pom!

“Ooo... cantik berseri-seri... tua dan muda berpakaian serba baru... ooo... sungguh meriahnya... miskin kaya pun turut bergembira.

Menjelang hari raya, berakhirnya puasa...” Alat kawalan jauh jatuh terhempas ke tanah sewaktu Jamilah melatah sambil menyanyi lagu raya. Siap dengan pakej berjoget sekali apabila terdengar bunyi mercun yang kuat.

Raihan yang melihat sudah ketawa tapi dikawal nada ketawanya supaya Jamilah tak sedar kehadirannya di situ. Latahan emak mertuanya kali ini memang menggeletek urat perutnya.

“Yang aku nyanyi lagu raya ni dah kenapa?” Jamilah menggaru kepala.

“Tak guna betul budak-budak ni. Tengah malam pun sibuk nak main mercun. Terkejut aku dibuatnya. Nasib baik tak ada orang nampak aku berjoget!” Alat kawalan jauh dicapai, dia mendongak ke langit mencari helikopternya. Tapi dia pelik apabila helikopter itu terbang menuju ke arahnya.

Alat kawalan jauh ditekan. Dia belum puas bermain lagi tapi banyak kali dicuba pun alat kawalan jauh itu seperti tak berfungsi.

Helikopter itu pula masih terbang menuju ke arahnya. Makin lama makin hampir. Dia yang sudah cuak mula membuka langkah. Nak mampus kalau berdiri lagi kat situ? Silap-silap dia boleh mati!

Lariannya cuba dilajukan lagi mahu menuju ke rumah. Sekejap-sekejap dia pandang ke belakang. Peluhnya pula makin melimpah. Dia pernah terbaca ada seorang kanak-kanak mati terkena bilah helikopter kawalan jauh. Dia tak mahu mati lagi sebelum meminta maaf pada Raihan. Dia mahu mendengar sendiri menantunya mengatakan yang dia sudah memaafkannya.

Bayangan Raihan mula berpusu-pusu masuk ke laman minda. Ternampak kembali muka sedih menantunya apabila dia tak mahu memasakkan nasi impit goreng.

“Maafkan mak, An... ya Allah, selamatkanlah aku,” ucapnya perlahan. Dia memejam mata apabila helikopter hampir merempuh kepalanya. Sempat dia mengucap dalam hati. Tiba-tiba dia terasa lengannya ditarik ke kanan dan dia jatuh mengiring ke tanah.

Jamilah membuka mata. Dia bersyukur yang dia masih diberikan peluang untuk bernafas. Dia nampak helikopter itu hancur terhempas ke tangga rumahnya. Kemudian dia memandang orang yang telah menyelamatkannya.

Raihan!

Muka Raihan berkerut. Ari-arinya tiba-tiba terasa sakit.

Mungkin kerana terjatuh ke tanah. “Puan tak apa-apa? Suaranya tertahan.

Dia lega apabila melihat gelengan Jamilah. “Arghhh!” Perutnya dipegang. Rasa sakit itu terasa mencucuk.

“Kenapa ni?” Jamilah risau.

“Sakit, puan...” Air mata Raihan mengalir keluar.

Pandangannya mulai kabur dan dia sudah tak ingat apa-apa lagi.

“Ya Allah, darah!” Jamilah cuak apabila terpandangkan darah yang mengalir di celah kaki Raihan yang berbaju kelawar lengan panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience