BAB 17

Family Completed 25641

RAIHAN pelik melihat Khidir mundar-mandir di ruang tamu. Muka macam orang ada masalah pun ada! Mata pula sekejap pantang telefon pintar, sekejap menyentuh skrin telefon dan sekejap mengetuk perlahan telefon itu ke dahi. “Abang kenapa? Macam orang gelisah je. Ada yang tak kena dengan pesakit kat hospital ke?” Setahunya Khidir akan berasa sedih jika dia gagal menyelamatkan pesakitnya. Tapi ketika balik kerja petang tadi tak ada pula suaminya bercerita pasal mana-mana pesakit.

Langkah Khidir terhenti. Terus dia memandang Raihan yang sedang berdiri di pintu masuk. Sedari tadi isterinya memerhatikan anak mereka bermain dengan anak jiran di luar rumah. “Abang nak telefon mak tapi berdebar pulak,” jawabnya jujur. Tentang kisah Jumaah tadi langsung tak diceritakan pada isterinya. Biarlah cerita itu hanya antara
dia dan wanita tua itu saja. Dia menjeling jam di dinding. Baru pukul 10.30 malam.

Raihan menoleh ke luar rumah. “Dinie, jangan main lama sangat. Kejap lagi masuk tau!”

“Okey, mama,” jawab Dinie yang sedang bermain pop! Raihan mendapatkan suaminya dengan wajah ceria. Dia bersyukur hati suaminya telah terbuka.

“Syukur alhamdulillah... abang tarik nafas dan selawat banyak-banyak, lepas tu telefon puan, ya... An nak ke dapur, minum air. Sebaik saja kelibat Raihan hilang ke dapur, Khidir menarik nafas, berselawat di dalam hati dan menghubungi emaknya. Kemudian dia melabuhkan duduk di sofa.

“Helo, assalamualaikum...” Mendengar suara itu membuatkan jantung Khidir berdegup laju. Liurnya ditelan berkali-kali sebelum menjawab salam.

“Wa... waalaikumussalam, ma... makkk...” Tersekat-sekat suaranya. Dadanya disumbat dengan rasa sebak apabila terdengar suara tersedu-sedan di hujung talian. “Mak apa
khabar?” Talian masih lagi senyap.

“Mak marahkan Dir lagi, ya?” Makin pedih hati Khidir apabila emaknya langsung tak menjawab. Dia mengeluh. Tak apalah, maaf kalau Dir mengganggu mak. Salam ramadan, mak.”

“Dir anak mak...” Khidir tak jadi mahu mematikan talian. Air matanya turut mengalir apabila mendengar suara serak emaknya. Selama tujuh tahun, dapat juga
dia mendengar suara wanita yang paling dirindui.

“Mak apa khabar? Dir rindu sangat kat mak.” Raihan yang mencuri dengar di belakang sofa yang diduduki Khidir turut mengalirkan air mata.

“Mak sihat, Dir... mak pun rindu Dir. Kenapa Dir tak pernah telefon mak? Sibuk sangat ke kerja doktor tu sampai langsung tak balik jenguk mak?”

Khidir mengemam bibir menahan rasa sebak. “Mak yang tak bagi Dir jejakkan kaki kat kampung. Mak halau Dir, sebab tu Dir tak balik.” Dia berpaling apabila terasa ada tangan menyentuh bahunya. Dia menggenggam tangan isterinya lantas dibawa duduk di sebelahnya. Dia hanya membiarkan Raihan mengesat air matanya. Ikon loud speaker disentuh, mahu memberi isterinya mendengar sama.

“Memang dulu mak marah sangat tapi lama manalah marah seorang mak kepada anak? Dulu mak terlampau ikutkan rasa marah sampai sanggup buang anak sendiri. Tapi bila tak tengok Dir depan mata, mak rasa sunyi... rasa rindu dengan gurauan Dir. Tiap hari mak akan check telefon rumah, takut kalau telefon tak berfungsi nanti Dir tak dapat telefon mak.”

Khidir memegang dadanya yang terasa pedih. Dia menyesal sebab terlalu mengikutkan hati yang merajuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience