BAB 5

Family Completed 25641

Sebak hati Syakillla mendengarnya. Dia tak tahu kenapa emaknya begitu membenci Raihan. Pada pandangan matanya, tiada apa yang kurang pada diri kakak iparnya itu. Selama dia tinggal di rumah abangnya, tak pernah dia melihat Raihan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri dan ibu walaupun sibuk menyiapkan baju
yang ditempah oleh jiran. Ada ketikanya dia terdengar kakak iparnya mengaji. Lancar saja sebutannya.

“Puan sihat ke, Killa?” Suara Raihan mengembalikan Syakilla dari lamunan.

“Erk... apa dia, kak?”

“Puan sihat ke?” Raihan mengulang soalan.

“Mak sihat, cuma...” Syakilla senyap seketika apabila Jamilah melintasi biliknya yang tak bertutup. Dia bangun dan menutup pintu bilik, tak mahu perbualannya ditangkap. Tambahan pula petang tadi emaknya melarangnya menghubungi Khidir.

“Cuma apa, Killa?” tanya Raihan tak sabar. Nadanya sedikit cemas.

“Tadi mak menangis...” beritahu Syakilla dengan nada perlahan.

“Kenapa puan nangis?”

“Entahlah, kak. Killa rasa mak rindukan Abang Dir kot. Bila tanya, mak tak nak jawab. Bila Killa sebut nama abang, makin teruk mak nangis.” Kedua-duanya diam seketika. Yang kedengaran hanya bunyi cicak dan cangkerik.

“Kak... Killa nak minta tolong boleh?” Syakilla kembali bersuara.

“Tolong apa, Killa?” Suara Raihan kedengan serak. Mungkin sebak mendengar apa yang diberitahu oleh Syakilla tadi.

“Boleh tak akak tolong pujuk Abang Dir? Akak ajaklah abang balik kampung. Dah tujuh tahun abang tinggalkan kampung. Manalah tahu hati mak dah sejuk dah boleh terima Abang Dir dengan Kak An balik ke...”

Syakilla yakin yang emaknya sudah dapat menerima abang dan kakak iparnya. Tujuh tahun lalu jika dia menyebut saja nama abangnya, emaknya pasti akan melenting.

Raihan mengeluh. “Kenapa bukan Killa sendiri yang pujuk abang?”

“Akak bukannya tak tahu abang tu sama degil macam mak. Kalau Killa yang pujuk, gerenti tak jalan punya.” Syakilla mengubah posisi telefon pintar ke telinga kiri. Kemudian dia bangun membuka tingkap membiarkan angin malam menerobos masuk ke dalam bilik.

“Nanti akak cuba. Mudah-mudahan hati Abang Dir lembut la. Killa bila balik KL?” Raihan mengubah soalan.

“Lusa, kak. Ingat nak tidur semalam kat rumah sana sebelum balik kolej.”

“Eh, datanglah. Pintu rumah ni sentiasa terbuka. Killa... ukuran badan puan masih sama lagi ke?”

“Haah, masih sama lagi. Tak ada bertambah dan tak ada berkurang. Akak nak buatkan baju untuk mak lagi ke?” Sejak Syakilla mendapat tawaran belajar di universiti, tiap tahun hari raya aidilfitri pasti ada saja baju raya untuk emaknya.

“Haah. Ukuran baju puan yang Killa bagi dulu tu akak masih simpan lagi. Tapi jangan risau, untuk Killa pun akak akan buatkan.”

“Thanks, Kak An... ni yang sayang akak lebih ni. Untunglah dapat kakak ipar pandai jahit. Tapi macam biasa eh, kak... Killa punya baju tak nak letak span. Lagi satu, tahun ni ingat nak suruh Kak An buatkan mini kurung. Nanti Killa WhatsApp design kat nombor akak.”

“Okey... boleh je.”

“Raya tahun lepas mak puji lagi baju tu. Mak kata cantik, jahitan kemas dan selesa bila pakai.”

“Killa jangan bagitau puan eh. Kalau puan tahu, mesti dia tak nak pakai baju tu. Yalah, akak ni bukan menantu pilihan puan. Hanya ini je cara yang akak boleh buat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai menantu.” Sayu suara Raihan.

“Killa akan cakap macam tahun dulu yang Killa beli kain untuk mak dan suruh kawan punya mak yang jahitkan.”

“Abang Dir dah masuk bilik ni. Killa cakap dengan dia ya.” Syakilla kembali duduk di atas katil sambil menunggu telefon bertukar tangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience