BAB 9

Family Completed 25641

Raihan senyum hambar. “An ingat, bang. An tak pernah lupa apa yang puan cakap. Tapi An tak berdendam dengan puan sebab dendam tak boleh dibawak ke mana-mana. Lagipun, dia ibu mentua An. Walaupun dia tak terima An sebagai menantu, An masih menghormati dia sebagai ibu yang telah melahirkan abang. Kalau tak ada puan, mesti jodoh An bukan dengan abang.”

Terharu Khidir mendengar jawapan Raihan. Ternyata dia tak salah memilih pasangan hidup. Isterinya benar-benar seorang yang berhati mulia.

“An tahu jauh di sudut hati, abang jugak rindukan puan. An pernah nampak abang peluk gambar puan kat bilik kerja.” Wajah Khidir berubah. Dia tak menyangka perbuatannya pernah dilihat oleh isterinya.

“Semua ni berpunca dari An. Kenapalah An terima lamaran abang? Kenapalah An sanggup lukakan hati seorang ibu? An nampak muka kecewa puan bila dapat tahu kita dah bernikah. Mesti dalam luka kat hati dia tu. Kalaulah kita tak kahwin dulu, mesti puan takkan buang abang.”

Dada Raihan terasa sebak. Perlahan-lahan air mata menuruni pipinya dan wajahnya ditundukkan. Khidir terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya. Dia mengangkat dagu isterinya agar memandangnya.

“Sayang menyesal ke kahwin dengan abang?” tanyanya keras. Baru tadi dia rasa terharu dengan kemuliaan hati isterinya, kini isterinya meluahkan kata-kata yang mencucuk tangkai hatinya pula. Raihan diam. Tangisannya masih berlagu.

“Sayang, jodoh setiap manusia semuanya ditentukan oleh Allah. Sayang percayakan takdir Allah, kan?” Nada Khidir kembali lembut. Raihan mengangguk.

“Kalau sayang percaya, kenapa perlu ada rasa menyesal?”

“Sebab puan bu... buang abang kerana An. An dah han... hancurkan hati mak ab... abang...” jawab Raihan tersedu-sedan.

“Kalau dah tertulis kat sana yang jodoh abang dengan sayang, buatlah macam mana pun jodoh abang tetap /jugak/ dengan sayang. Abang tak nak dengar lagi sayang salahkan diri sendiri. Semua ni bukan salah sayang. Dah takdir kita macam ni.” Khidir menarik Raihan ke dalam pelukan. “Walaupun tak dapat restu dari mak abang, kita masih ada restu ibu dan abah sayang, kan?”

Raihan mengangguk lantas membalas pelukan suaminya. “Kalau An minta abang buat sesuatu boleh?”

Khidir merungkaikan pelukan. Air mata di pipi Raihan dikesat dengan ibu jari. “Isteri abang ni nak suruh abang buat apa? Masak untuk sahur esok ke? Boleh je... abang memang pandai masak!” Nada suaranya diceriakan.

“Kalau suruh abang masak, alamat makan lauk lori garam terbaliklah nanti.” Raihan tergelak. Dia ingat lagi ketika dia sibuk menjahit, Khidir menawarkan diri untuk memasak lauk makan malam. Apabila tiba waktu makan malam, masing-masing tak boleh menelan kerana lauk sambal ayam yang dimasak oleh Khidir terlalu pedas dan masin. Sudahnya makan di kedai saja.

“Amboi, perli nampak!” Membulat mata Khidir. “Habis tu sayang nak suruh abang buat apa, hmmm?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience