BAB 2

Family Completed 25641

Jamilah tak percaya. Tak mungkin gadis pilihannya berperangai begitu. “Kamu jangan nak buat ceritalah, Dir. Jangan sebab aku tak nak terima perempuan tu kau fitnah Liza. Dia tak macam yang kamu kata. Kalau betul dia mengandung, mesti dah heboh satu kampung.”

“Terpulanglah mak nak percaya atau tak. Dir pun tak suka nak buka aib orang, bukan dapat apa pun.” Lama Khidir memandang wajah menyinga Jamilah sebelum dia bangun berlutut di depan wanita itu. Kedua-dua belah tangan emaknya dipegang.

“Mak... Dir merayu sangat pada mak. Tolonglah terima perkahwinan Dir ni. Cuma An je yang Dir mahu untuk menjadi pendamping Dir. Tanpa dia, hidup Dir tak sempurna. Tanpa restu mak, masjid yang Dir bina nampak sumbing. Cacat!”

Jamilah tersenyum sinis. “Heh, pandai kamu bercakap kan, Dir. Lain kali fikir dulu sebelum kamu bernikah dengan perempuan tu. Kamu tahu aku ni macam mana kan... kalau aku tak suka, sampai bila-bila pun aku takkan suka!” Dia berjeda. “Aku nak kamu ceraikan dia sekarang jugak! Aku tak nak tengok dia jadi menantu aku. Lepas ceraikan dia,
aku nak kamu cari Liza dan kahwin dengan dia. Hanya dia je yang layak jadi menantu aku.”

Terlepas pegangan tangan Khidir. Dia menoleh sekilas pada Raihan yang turut terkejut dengan permintaan itu. “Sampai hati mak suruh Dir buat perkara yang dibenci Allah...” Sayu suaranya.

“Kamu pun sampai hati kahwin dengan anak Cina tu tanpa pengetahuan aku!” balas Jamilah. “Dan kau, anak Cina! Macam ni ke keluarga angkat kau ajar? Sanggup kau hancurkan hati seorang ibu semata-mata nak kahwin dengan anak aku! Aku pernah suruh kau jauhkan diri dari anak aku, kan? Tapi ini yang aku terima.”

Anak matanya ditujah ke wajah Raihan yang sudah teresak-esak. Meluat dia melihatnya. “Kau ingat bila kau jadi menantu aku, aku akan terima kau ke, perempuan? Jangan mimpilah!”

“An tak salah, mak. Dir yang ajak dia kahwin. Mulanya memang dia nak berpisah dengan Dir tapi Dir yang pujuk dia supaya terima Dir. Kami dah dapat restu keluarga angkat dia sebelum kami bernikah. Dir takkan sesekali ceraikan An!” Tegas Khidir bersuara.

Jamilah mengetap gigi. “Baik! Kalau kamu tak nak ceraikan dia, kamu keluar dari rumah ni! Aku tak ada anak yang bernama Ahmad Khidir lagi! Keluar sekarang!” Jamilah menolak badan Khidir yang masih melutut di depannya.

“Mak... janganlah buat macam ni. Mak tak kesian kat Abang Dir ke? Janganlah halau abang, mak...” Syakilla yang sedari tadi menjadi pemerhati mula bersuara.
Jamilah menjeling anak bongsunya.

“Kalau kamu tak nak kena halau macam abang kamu ni, baik kamu duduk diam, Killa! Kamu tu baru enam belas tahun, jangan masuk campur urusan aku! Sekolah pun aku yang tanggung tau, bukan abang kamu ni!”

“Puan... kalau puan tak sukakan saya pun tak apa, saya reda. Tapi tolong jangan buang abang. Abang satu-satunya anak lelaki puan.” Tersedu-sedan suara Raihan. “Kalau puan nak abang ceraikan saya, saya terima demi membahagiakan hati puan,” sambungnya lagi. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia terpaksa.

“Apa yang An cakap ni? Abang takkan sesekali ceraikan An la!” Khidir tak senang dengan kata-kata isteri yang baru sehari dinikahi. Dia bangun dan duduk di sebelah Raihan.

“Tapi, bang... An tak nak abang hilang keluarga. Abang ikutlah cakap puan. Isteri boleh dicari, bang tapi emak hanya satu...” pujuk Raihan.

Jamilah tersenyum sinis melihat drama di depannya. Sikit pun dia tak rasa terharu tapi dia terasa semakin meluat melihat air mata Raihan yang dirasakan seperti air mata palsu.

“Kamu dengar tu, Dir. Isteri kamu pun dah setuju untuk dilepaskan. Apa lagi yang kamu tunggu?”

“Tak! Dir takkan ceraikan An. Dir kahwin dengan dia bukan untuk diceraikan!”

Senyuman di bibir Jamilah mati. Dia mengetap gigi menahan geram.

“Abang, dengarlah cakap mak abang. Takkan abang sanggup kehilangan ibu? Berdosa, bang kalau seorang anak menghancurkan hati ibu. Abang lepaskan An ya?” rayu Raihan dengan air mata yang makin lebat membasahi pipinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience