BAB 20

Family Completed 25641

“Tak payah nak terharu sangatlah! Aku buat semua ni sebab Dinie. Aku tak nak dia fikir aku ni jahat sangat. Dah, lepaskan aku!” bisik Jamilah keras di telinga Raihan.
Raihan mengelap sisa air mata sebelum melepaskan pelukan. Kemudian dia mengeluarkan sekotak periuk Noxxa dari /boot/ dan dihulur pada Jamilah.

“Saya ada belikan periuk untuk puan. Macam-macam boleh dimasak dengan periuk ni. Lagi satu, kalau masak apa-apa, dia cepat masak.” Wajahnya dimaniskan, cuba menunjukkan yang dia ikhlas memberi hadiah itu.

“Tak payahlah, kat rumah tu banyak dah periuk. Nanti tak muat pulak nak sumbat kat dapur tu. Kau simpan /jelah /kat rumah kau. Tak pun bagi ibu dengan abah kau tu. Tak payah susah-susah nak bagi aku. Nak menyemakkan lagi dapur aku tu.”

Raihan menunduk. Pedih hatinya mendengar penolakkan Jamilah. Periuk itu dibeli dengan duit hasil menjahit. Memang dia mahu menghadiahkan kepada emak mentuanya apabila Khidir kata emak mentuanya suka memasak. Untuk ibunya memang sudah lama dibelikan.

“Mak, penat-penat An belikan mak periuk tu tau. Tak baik tolak.” Khidir memujuk lembut.

“Mak tak minatlah periuk-periuk ni semua, Dir. Bukannya mak guna. Nanti kalau simpan je boleh ternak habuk kat dapur tu. Jom, cu ikut opah masuk. Kat luar ni panas. Makin bertambah panas cuaca ni bila orang suka paksa-paksa.” Jamilah menarik tangan Dinie melangkah ke rumah. Raihan memegang tangan Khidir apabila melihat suaminya mahu menjawab lagi.

“Abang kan baru berbaik dengan puan. Please jangan menjawab lagi. An tak nak puan makin benci dengan An bila abang bela An.”

“Tapi mak buat sayang terasa. Tak boleh ke mak terima je hadiah tu? Abang terkilan sangat. Abang ingatkan bila mak boleh terima abang dengan Dinie, mak akan terima sayang sebagai menantu. Tapi macam ni pulak mak layan sayang. Abang tak fahamlah dengan mak ni.” Khidir menyandar di badan kereta. Wajahnya kusut.

“An akan cuba bersabar dan hormat dia sebagai wanita yang telah melahirkan abang. Kalau abang sayang An, An nak abang biarkan je apa yang mak abang buat pada An. Anggap je abang tak nampak dan tak dengar apa-apa. An tak nak abang masuk campur. Boleh ya, bang?” Jari kelengking kanan Raihan hulur pada Khidir.

“Tapi takkan abang nak tengok /je /isteri abang kena marah dengan mak?” Khidir tak puas hati. Jari kelengking Raihan langsung tak disambut.

“Hati abang tak cukup kuat nak tengok sayabg bersedih apatah lagi menangis. Kalau mak marahkan An sebab memang betul An yang salah, bolehlah abang diam. Tapi kalau mak sengaja nak cari salah An sebab mak tak sukakan An, itu abang tak boleh terima.”

“Tak apa, bang. An sanggup terima semuanya asalkan abang dengan puan tak bermasam muka lagi. An lagi tak sanggup tengok abang rindukan puan dari jauh dan An tak nak pisahkan abang dengan mak abang lagi. Lagipun, puan benarkan An beraya kat sini pun dah cukup bagi An. Janji dengan An yang abang takkan buat apa-apa ya?” Sekali lagi Raihan menghulurkan jari kelengking. Khidir mengeluh kuat. Rambutnya diramas kasar.

“Demi An. Please, abang...” Dan Raihan tersenyum puas apabila Khidir dengan muka terpaksa mencangkukkan jari kelengking mereka.

“Assalamualaikum, Kak An. Buat apa duduk kat pangkin malam-malam ni?” Menungan Raihan terbarai apabila Syakilla memberi salam. Dia senyum sebaik saja adik iparnya duduk di sebelahnya. “Waalaikumussalam. Saja akak ambil angin.”

“Mana yang lain?” Syakilah memanjangkan leher meninjau ke pintu rumah yang terbuka.

“Yang lain semua dah pergi terawih, akak /pulak /cuti.”

“Macam mana drama jejak kasih tadi?” Teruja Syakilla hendak tahu. Raihan terbayangkan wajah gembira Jamilah.

“Puan gembira bila tengok Abang Dir balik. Sejak dari sampai tadi asyik tak berenggang dengan Dinie. Maklumlah cucu sulung kan...” Dia tayang senyum bahagia. Syakilla mengerut dahi mendengar panggilan puan yang meniti di bibir Raihan.

“Mak okey ke dengan Kak An?” Melihat anggukan Raihan makin menambahkan lagi rasa curiganya. “Kalau dah okey, kenapa Kak An masih panggil mak puan? Hmmm?”

“Erk...” Terkulat-kulat Raihan mahu memberi alasan.

“Mak tak boleh terima Kak An lagi, kan?” Syakilla menggaru dahi. Kalau Raihan hanya diam maknanya betullah sangkaannya. “Killa tak fahamlah dengan mak ni. Entah apa yang mak tak puas hati lagi dengan akak.” Raihan senyum. Ayat Syakilla sebijik sangat dengan ayat suaminya tadi.

“Kak An ni punyalah baik, kenapa mak tak boleh terima akak sebagai menantu?” sambung Syakilla lagi.

“Tak apalah, Killa... akak okey. Akak yakin satu hari nanti puan mesti boleh terima akak. Akak kena banyak bersabar dan cuba ambil hati puan sementara akak masih ada kat kampung ni. Manalah tahu lama-lama nanti hati puan lembut ke kan...” Raihan mengusap lembut bahu Syakilla, cuba meredakan kemarahan adik iparnya.

“Killa nak minum? Akak buatkan air ya?” Sengaja dia menukar topik, tak mahu adik iparnya larut dalam emosi.

“Boleh /jugak, /kak. Tolong buatkan Killa air sunquick mixed berries eh. Killa nak mandi dulu. Panas.” Syakilla bangun mengangkat beg namun dia tak jadi melangkah.

“Lauk berbuka tadi ada lagi tak, kak? Lapar balik la pulak. Iftar tadi makan kuey teow tomyam /je./” Dia menggosok perut.

“Ada... puan masak asam pedas ikan pari, sambal tempoyak udang, goreng kobis dengan ayam goreng untuk Dinie.” Pertama kali merasa air tangan emak mertua memang membangkitkan selera makannya. Masakannya sendiri memang tak boleh lawan masakan Jamilah yang sedap. Kecur liur Syakilla mendengarnya.

“Uish... semuanya lauk kegemaran Abang Dir! Habislah nanti semua makanan kegemaran Abang Dir je yang mak masak ni.”

Raihan ketawa. “Jom kita masuk dalam. Killa mandi, nanti akak panaskan lauk.”

“Terima kasih, kak.” Syakilla melangkah naik ke rumah bersama Raihan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience