BAB 23

Family Completed 25641

TOK! TOK! TOK!

“Dir, bangun, Dir! Khidir memisat mata apabila pintu biliknya diketuk kuat, disusuli suara Jamilah. Gebar diselak, dengan langkah terhuyung-hayang dia membuka pintu.

“hmmm... kenapa, mak?” Matanya terpejam apabila disimbahi cahaya lampu di luar bilik.

“Kamu tahu tak dah pukul berapa sekarang? Dah pukul lima dah ni. Satu apa pun tak masak lagi. Apa kita nak makan untuk sahur ni?” Terus tercelik mata Khidir.

“Lailahaillallah... mak tak kunci jam ke?”

“Kunci... tapi mak tak sedar pulak jam bunyi.” Ini semua gara-gara dia tidur lewat, leka melihat Khidir bermain helikopter kawalan jauh di laman rumah. Entah pukul berapa dia masuk tidur.

“Bini kamu mana?” Dia memanjangkan leher melihat ke dalam bilik anaknya. Elok saja Raihan tidur sambil memeluk Dinie di atas katil. “Membongkang lagi? Mentang-mentang dia tak boleh puasa, sedap je dia tidur ya! Bagus betul bini kamu tu. Kalau menantu lain tengah sibuk memasak untuk sahur kat dapur, bini kamu /pulak /buat tak kisah /je /orang dalam rumah ni entah sahur ke tak.”

Raihan cepat-cepat bangun apabila mendengar suara emak mentuanya memetir. Telefon pintar dicapai tapi apabila ditekan-tekan, telefon itu tak mahu hidup. “Maaf, puan. Telefon saya habis bateri. Tapi semalam memang saya ada kunci jam kat telefon ni.” Takut-takut dia memandang emak mertuanya. Dinie disebelahnya masih lena. Langsung tak terganggu dengan suara itu.

“Ah, alasan kau /jelah!/ Takkan tak boleh cas bateri telefon tu. Ke kau memang malas nak bangun masak?”

“Dir baru teringat semalam Dinie ada main game kat phone An. Salah Dir jugak, mak sebab tak kunci jam kat phone Dir. Jangan marah An ya, mak...” Khidir memegang bahu Jamilah.

Jamilah merengus. “Ni apa yang kita nak makan ni? Nasi semalam pun habis. Lauk adalah. Takkan nak makan lauk je kot! Nak tanak nasi sekarang, mahunya habis sahur nanti baru masak nasi tu. Haish... ada menantu serupa macam tak ada menantu. Tak boleh harap!” Dia menjeling Raihan yang tayang muka serba salah.

Syakilla yang keluar dari bilik kelam kabut mendapatkan emaknya. “Mak, kenapa tak kejutkan Killa sahur? Tengoklah dah pukul berapa dah ni. Nasib baik Killa tersedar.”

“Haaa... yang ni lagi sorang tak boleh diharap. Tahunya nak tunggu orang kejut baru nak bangun! Elok sangatlah perangai tu.” Sinis Jamilah menjeling Syakilla yang menguap.

“Isy, mak ni... pagi-pagi dah membebel. Dahlah, Killa nak pergi makan. Layan mak membebel nanti tak sempat sahur.” Berlenggang Syakilla berjalan ke dapur.

“Kamu nak makan apa kat dapur tu? Batu? Mana ada nasi. Mak terlambat bangun.” Langkah Syakilla terhenti. Dia berpaling memandang Jamilah dengan muka tak puas hati.

“Kamu nak pergi mana tu?” tegur Jamilah apabila melihat Raihan keluar dari bilik sambil membawa periuk nasi yang pernah ditolak semasa anak dan menantunya sampai ke kampung hari tu.

“Nak pergi masak nasi.”

“Kamu ingat sekarang ni dah pukul empat ke nak masak nasi? Besarkan sikit mata tu tengok jam. Dah pukul lima lima minit tau! Jamilah bercekak pinggang.

“Saya tahu, puan. lima minit je masak nasi guna periuk noxxa ni. Insya-Allah sempat nak sahur.” Raihan menggosok perlahan badan periuk tekanan itu.

Jamilah menceber. “Boleh percaya ke? Mana ada nasi yang masak lima minit je.”

“Kalau puan tak percaya, jom ikut saya.” Raihan berlalu ke dapur diikuti Jamilah. Sebaik saja memasukkan beras dan air, dia menunjukkan cara untuk menggunakan periuk. Kemudian dia memanaskan lauk semalam yang masih berbaki. Lima minit kemudian semua sudah menghadap makanan. Jamilah memandang Raihan yang sedang menyuap nasi ke mulut Dinie yang nampak mengantuk. Dari tadi menantunya masih belum menjamah sebutir nasi.

“Kenapa kau tak makan sekali? Kejap lagi dah nak habis waktu. Biarlah Dinie suap sendiri.” tegurnya sambil mencedok pajeri rambutan ke dalam pinggan.

“Saya makan lambat sikit pun tak apa, puan. Saya cuti puasa lagi. Esok dah boleh puasa kot.” Raihan senyum. Jamilah meneguk air masak. Leka dengan kecanggihan periuk
tekanan noxxa itu tadi membuatkan dia terlupa yang Raihan masih belum boleh puasa.

“Mana kau beli periuk tu? Mesti mahal, kan?” Matanya memandang periuk yang diletakkan di tengah meja makan.


“Kawan saya yang jual. Harga sebenar nak dekat lapan ratus tapi dengan saya dia jual murah sikit. Enam ratus je.” Terbeliak mata Jamilah. Benda canggih, harga pun boleh tahan canggih!

“Mesti guna duit anak aku, kan?” Sinis dia bertanya. Heh, kalau setakat hadiahkan aku tapi guna duit anak aku, tu hadiah dari anak aku. Perasan pulak kata hadiah dari dia. Dan dia terkedu apabila Raihan menggeleng.

“Saya guna duit sendiri. Duit hasil menja...” Kata-kata Raihan terhenti. Kalau aku kata tu duit hasil menjahit, mesti puan syak semua baju raya yang Killa bagi tu aku yang jahit. Eh tak boleh... tak boleh... Dia menarik nafas sebelum menyambung. “... saya beli periuk tu guna duit hasil kerja saya sendiri. Satu sen pun tak ada guna duit abang.” Usai Dinie menghabiskan nasi, dia menyenduk nasi untuk dirinya pula. Sesekali dia memandang Jamilah yang sudah diam tak terkata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience