BAB 15

Family Completed 25641

SEKEJAP lagi shift kerja Khidir akan tamat. Dia berehat sebentar di bilik rehat usai menjalankan pembedahan ke atas pesakitnya. Wajahnya diraup. Duduk sendirian begitu membuatkan dia teringat kembali perbualannya dengan seorang mak cik yang dijumpai di tepi surau hospital. Selesai menunaikan solat zohor, Khidir terpandangkan seorang
wanita tua yang lebih kurang sebaya emaknya sedang menangis di bangku tepi surau. Dia melabuhkan duduk di sebelah wanita itu.

“Mak cik...kenapa menangis ni? Ada ahli keluarga mak cik dimasukkan kat hospital ni ke?” Wanita itu memanggung kepala. Dia teragak-agak mahu menjawab.

“Saya doktor kat hospital ni. Nama saya Khidir. Nama mak cik siapa?” Khidir tersenyum ramah.

“Nama mak cik Jumaah. Panggil Cik Ah je, doktor,” jawab Jumaah. “Anak lelaki Cik Ah dimasukkan kat hospital ni semalam.” Air matanya bagaikan tak mahu berhenti.


Khidir mengangguk. “Anak Cik Ah sakit apa?”


“Buah pinggang anak Cik Ah rosak sebab kena tikam dengan perompak malam semalam. Dia satu-satunya anak tunggal Cik Ah. Hati ibu mana yang tak sedih bila tengok anak terlantar sakit macam tu? Walaupun dia pernah buat silap pada Cik Ah tapi Cik Ah tak pernah sumpah dia. Hari-hari Cik Ah doakan kesejahteraan hidup dia dengan isteri.”


Khidir menghulur sapu tangan apabila melihat air mata Jumaah mengalir lagi. Kata-kata wanita itu telah meningkatkan graf ingin tahunya. Teragak-agak dia mahu bertanya. “Erk... boleh saya tahu apa yang anak Cik Ah dah buat?” umaah diam. Dia kalau boleh tak mahu membuka aib anak lelakinya. Tapi disebabkan rasa sedih dan terkilan, dia terlepas cakap pada doktor muda itu.

“Maaflah kalau saya ni nampak macam menyibuk tapi kalau Cik Ah tak nak cerita pun tak apa, saya tak paksa.” Khidir tersenyum malu. Lama Jumaah memandang Khidir. Rasanya tak salah dia bercerita kepada doktor muda itu. Sekurang-kurangnya segala rasa sedihnya akan berkurang. Dia menarik nafas sebelum bercerita.

“Sebenarnya Cik Ah datang dari rumah orang-orang tua.” Khidir tersentak. Dia tak menyangka ada anak yang sanggup menghantar ibunya ke rumah kebajikan. Duduknya diselesakan untuk mendengar cerita Jumaah.


“Anak Cik Ah hantar kat sana sebab isteri dia tak suka Cik Ah.” Jumaah menarik nafas menenangkan rasa sedih. Mulutnya sudah tercebik-cebik menahan tangis. “Katanya Cik Ah ni menyusahkan. Suruh basuh pinggan, pinggan pecah. Suruh masak lauk, dikatanya Cik Ah nak bakar rumah sebab terlupa nak tutup api. Padahal Cik Ah dah pesan kat
menantu suruh tengok-tengokkan lauk kat dapur sebab Cik Ah nak solat. Tapi anak Cik Ah marah Cik Ah. Dia tak nak dengar langsung alasan Cik Ah.” Dia berjeda.


“Satu hari tu... Cik Ah bagi makanan kat kucing kesayangan menantu tapi tiba-tiba kucing tu terlepas keluar dari sangkar. Cik Ah cuba kejar kucing tu yang keluar dari pagar rumah tapi Cik Ah terjatuh. Bila anak dengan menantu balik rumah, dia orang marah Cik Ah. Dia orang langsung tak kesian bila Cik Ah bagitahu yang Cik Ah jatuh.” Jumaah
teresak.. “Hati ibu mana yang tak sedih bila tengok anak sendiri lebih risaukan isteri yang menangis sebab kucing hilang berbanding emak kandung sendiri. Cuba doktor cakap, antara emak dengan binatang peliharaan mana lagi penting?”


Khidir tersentak apabila disoal begitu. “Emak...” Sebut saja perkataan itu membuatkan dia teringat pada emaknya. Kemudian teringat pada Raihan dan Dinie yang beria-ia mengajaknya balik ke kampung. Khabar emaknya pun dia tak tahu. Dia tak pernah bertanya pada Syakilla walaupun hatinya kuat mahu mengetahui keadaan emaknya.
Jumaah senyum segaris.

“Tapi anak Cik Ah sanggup dengar cakap isteri dia. Isteri dia suruh hantarkan si tua ni kat rumah orang-orang tua pun dia sanggup. Tak sangka baik sangat anak Cik Ah tu, doktor. Disebabkan kucing kesayangan isteri hilang, si tua ni...” Tangan kiri ditepuk-tepuk ke dada.

“Si tua ni yang dah jaga dia dari kecik hingga ke besar ni pun sanggup dibuangnya. Dia kata selagi kucing tu tak balik ke rumah, selagi tu dia tak akan jemput Cik Ah balik ke rumah dia.” Dia teresak-esak lagi. “Cik Ah pernah merayu suruh dia hantar ke kampung tapi dia tak nak. Dia takut orang kampung cakap dia anak yang tak pedulikan ibu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience