BAB 30 :
Menantu Abah
"Angin bayu membawa diriku..
Sepintas lalu ku terkenangkan mu..
Memori silam meresap malam..
Kenangan bersama tersimpan selamanya.."
"Walaupun kau pergi jauh dari diri ini.."
Raisha menoleh. Bibirnya mengukir senyuman bahagia melihat gerangan yang menyambung nyanyiannya. Lelaki itu melabuhkan punggung disebelahnya."Cintaku masih bersemadi di hati.. Keyakinan kita kan kembali.. Menghidupkan je janji bara cinta.."
"Kita bersama mengejar mimpi..
Terpisah sementara ku pasti..
Suatu hari nanti cinta kita bersemi..
Kembali menerangi mekar di taman hati..Walaupun jauh pandangan mata.. Ku yakin kau kan tetap setia..
Begitulah ku jua keikhlasan di jiwa..
Dan cintaku hanyalah untukmu.." harmoni suara mereka berdua menyanyikan bahagian korus bersama.
"Hahahaha." Raisha menutup mulutnya. Tak mahu ketawanya kuat kedengaran.
Farhan hanya tersengih sambil matanya memandang wajah Raisha yang sedang gelak. Manis. Lagi-lagi ditambah dengan cahaya bulan yang menyinari membuatkan wajah gadis itu berseri-seri.
"Tak sangka kau tahu lagu tu." kata Raisha dengan tawa masih bersisa. Gembira mungkin kerana dapat nyanyi berduet dengan jejaka yang dah mengambil tempat dihatinya itu.
"Mestilah tahu. Kau yang nyanyikan." balas Farhan. Matanya masih tak lepas memandang Raisha.
Raisha yang perasan dirinya direnung terus tersipu-sipu malu. Tangannya mula memeluk tubuh. Mengawal rasa gabra yang datang akibat ditenung Farhan. Matanya meliar ke mereta tempat. Malu untuk menoleh ke arah Farhan sekarang ni.
Farhan ketawa kecil melihat gelagat Raisha yang konon-konon cool padahal dalam hati nak meletop. "Kau buat apa dekat luar ni?" soalnya.
"Err takde pape. Saja je. Duduk-duduk tengok langit, tengok bulan." ujar Raisha. Matanya melirik naik ke atas. Bibir tersenyum secara semulajadi. "Paan." panggilnya.
"Ye."
"Terima kasih." ucap Raisha tanpa memandang wajah Farhan.
"Untuk apa?"
"Sebab kau ubah fikiran. Kau selamatkan aku. Tak sangka aku ni penting juga bagi kau." jelas Raisha sambil tersengih.
"Eh eh kau ni kuat perasankan? Siapa cakap aku selamatkan kau sebab kau penting?"
Muka Raisha berkerut mendengar bicara dari Farhan. "Habis tu sebab apa?"
"Sebab.." Farhan keluarkan sesuatu dari poket seluarnya. "Sebab ni." benda itu disua ke muka Raisha.
"Loket?" soal Raisha sambil tangannya mengambil loket yang Farhan sua ke mukanya.
Farhan mengangguk. "Aku dapat dari Iza."
"Wait.. Dari Kak Iza? Bila dia bagi kau?" soal Raisha. Hatinya kecewa. Farhan bukan datang sebab dia tapi datang sebab Raizah. Mungkin salah dia juga sebab terlampau perasan.
"Hari terakhir aku jumpa dia." Farhan menghela nafasnya kuat. "Aku pun tak tahulah aku dapat jumpa dia lagi ke tak. Kalau kau dah balik nanti Echa kau kirim salam dekat dia ye. Aku rindu nak tengok wajah dengan kulit sawo matang dia tu."
Raisha diam. Hatinya bagai dirobek-robek bila Farhan mengatakan rindu kepada kakaknya. Apa kurangnya dia?
"Haih.. Apalah yang dia tengah buat sekarang en. Rindu tak dia dekat aku?" sambung Farhan lagi. Matanya memandang Raisha sekilas. Gadis itu tertunduk diam. Cemburu barang kali atau sedang menahan sakit hati. "Hey, kenapa?" sengaja dia menyoal.
Raisha mengeleng laju. "Takde pape. Emm jadi kau selamatkan aku sebab Kak Izalah?"
"Emm boleh dikirakan macam tu tapi tak seratus peratus."
"Maksud kau?"
"Cuba kau buka loket tu. Tengok apa isi dalam dia." arah Farhan.
Raisha menurut. Dia buka loket tersebut. Ada gambar Raizah dan.. Sekeping nota? Muka Raisha berkerut. Kalau letak dalam loket boleh dikira nota ke? Tulisan yang kecil menyebabkan dia terpaksa mengecilkan matanya dan mendekatkan loket tersebut pada mukanya.
"Ayat dia dalam nota tu buat aku tersedar. Buat aku ingat kebaikan keluarga kau buat pada aku. Betapa sayangnya abah pada aku. Aku terbayang wajah abah kecewa bila tahu akulah penyebab anak dia hilang. Aku tak sanggup Echa."
Anak mata Raisha memandang ke arah Farhan. "Kenapa perlukan nota dari Kak Iza? Masa kau dapat tangkap aku dulu, aku pernah merayu minta lepaskan. Tapi kau tak peduli pun. Kau sanggup tengok aku kena tarik dengan orang-orang kau. Kau biar aku kena kurung dalam kontena yang panas. Kau biar aku ketakutan dengan Ami. Sekarang kau cakap dengan aku , kau selamatkan aku sebab nota kecil ni je?" ujar Raisha penuh emosi. Dia seperti melepaskan geram yang ditahan.
"Kau tak faham Echa."
"Apa yang aku tak faham? Apa yang aku tak faham?"
Farhan melepaskan satu keluhan kecil. "Hati manusia ni sukar dimengerti. Kadang-kadang diri sendiri pun tak tahu dan tak faham kehendak hati. Aku sendiri keliru Echa masa tu." jelas Farhan.
"Heh, keliru. Kau cakap jela yang kakak aku ni memang istimewa dalam hati kau!" Raisha baling loket yang berada di tangannya ke arah Farhan. Dia bingkas bangkit dan masuk ke dalam semula.
Farhan hanya berdiam diri. Diambik loket yang dicampak oleh Raisha.
"Perempuan ni memang rumitkan?"
Kepalanya serta merta ditoleh. Entah bila Ami duduk disebelahnya. "Sebab kita lelaki." balas Farhan.
"Hahaha apa kau cakap ni? Memanglah kita lelaki tak kanlah pondan kot."
"Maksud aku, kita lelaki. Sebab tu kita rasa perempuan ni rumit. Cuba kalau kita ni perempuan. Mungkin kita akan lebih faham apa dia orang rasa." jelas Farhan. Loket Raizah sudah disimpan kembali ke dalam poket.
"Herm. Mungkin. Tapi aku tetap rasa perempuan ni rumit." Ami tak mahu mengalah.
"Bukan ke kau selalu di keliling perempuan?"
"Memanglah. Tapi dia orang cuma sekadar peminat. Bukan seseorang yang istimewa."
"Kau ada yang istimewa?" soal Farhan.
"Mungkin ada. Mungkin."
"Kenapa mungkin?"
"Sebab aku tak nak letak harapan tinggi."
Bait ayat Ami membuatkan Farhan membisu. Begitu juga dengan Ami. Dia tidak meneruskan bicaranya. Buat seketika mereka berdua hanya mengamati dada langit malam. Cuba merungkai rasa dihati yang melemaskan.
"Kalau korang dapat balik nanti." kata-kata Farhan berhenti seketika. Dia menarik nafas panjang sebelum berkata kembali. "Tolong jangan dakwa Zul. Dia tak bersalah. Aku yang pujuk dia supaya jadi spy aku."
Ami pandang Farhan pelik. "Kau ni cakap macam kau tak kan balik je. Kita balik sama-sama. Kita belajar sampai berjaya. Kita bina hidup baru. Kau, Echa, aku, Zul dan Raja. Kita semua."
Farhan mengelengkan kepalanya. "Tak. Lepas semua ni berakhir kita tak kan jumpa lagi. Anggap je aku cuma satu igauan mimpi ngeri korang."
"Apa kau merepek ni gila? Kau kan satu poli dengan kitaorang. Mestilah jumpa." balas Ami.
"Kau tak faham lagi ke Ami? Aku bukan student poli. Nama aku tak pernah wujud pun dekat poli tu and kau kena tahu peluang aku untuk hidup lepas aku selamatkan korang sangat tipis. Jadi aku tak rasa aku dapat balik dengan selamat."
Ami merenung Farhan tajam. Kata-kata Farhan menyebabkan dadanya bagai dipukul dengan kuat. Terasa sakit, terasa marah, terasa tak puas hati. "Tak." Ami pegang bahu Farhan. Dicekam kuat. "Kau akan selamat! Tak kiralah betapa tipis pun peluang yang ada kau akan selamat! Kau perlu hidup!"
"Untuk apa!?" jerkah Farhan. Untuk apa Ami begitu inginkan dia teruskan kehidupan kalau hidupnya sering diselubungi dengan ketakutan. Buat apa? Biarlah dia mati di medan perjuangan yang dia pilih.
Ami terdiam seketika. Genggaman tangan pada bahu Farhan dilepaskan. Mukanya tunduk sebelum dia berkata "untuk Echa. Kau perlu teruskan untuk Echa."
"Tak Ami. Aku tak layak untuk Echa. Echa perlukan lelaki yang macam kau. Kau yang layak untuk dia. Bukan aku."
"Tapi Echa sukakan kau. Sedarlah wei. Dalam hati Echa tu cuma ada kau. Aku ni cuma sekadar kawan. Kawan baik."
"Tak kisahlah. Yang penting lepas ni aku nak kau jaga Echa baik-baik. Dia tu bendul. Semua dia percaya." Farhan ketawa paksa. Dia cuba berjenaka untuk menghilangkan tekanan antara mereka berdua.
Namun Ami hanya membisu. Dia masih tundukkan wajahnya.
"Sudahlah." bahu Ami ditepuk. "Kita lupakan je benda ni. Esok kita gerak balik poli." ujarnya seraya bangkit. Kakinya perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam. Farhan berhenti seketika. Dia berpaling. Ami masih termenung diluar. Helaan nafas berat dibuat. "Kau tak kan faham Ami."
Share this novel