BAB 23 :
Menantu Abah
Raisha terjaga. Segalanya gelap. Matanya telah ditutup. Dia juga rasa tangannya diikat ketat. Raisha panik. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Badannya digerakkan ke kiri ke kanan. "Tolongg!!" jeritnya sekuat hati.
"Echa? Echa kau ke tu?"
Raisha berhenti menjerit. Ada suara disisinya. "Ye, kau siapa?" soalnya. Kepala ditoleh ke sisi walaupun matanya tak dapat melihat gerangan yang menegurnya.
"Aku Ami. Kau okay ke Echa?"
Dengar sahaja nama Ami ditelinganya Raisha terus menjerit. "Ami! Kita dekat mana ni!? Kenapa mata kita kena tutup!?"
"Shhhh!" kedengaran keras suara Ami menyuruhnya diam. "Aku pun tak tahu kita dekat mana." jawab Ami.
"Ma.. Macam mana kau boleh ada dekat sini Ami?"
"Farhan.."
"Korang cakap pasal aku ke?" kata-kata Ami dipintas.
Keduanya terdiam.
"Ye, aku ada dekat depan korang ni. Cakaplah."
Kedengaran bunyi tapak kasut seseorang mendekati mereka.
"Kenapa tak nak cakap?" telinga Raisha disapa bunyi bisik dari suara Farhan.
Ya. Baru sekarang dia ingat. Dia dalam keadaan terikat disebabkan Farhan. Lelaki itu telah memerangkapnya."Kau nak apa haa!? Lepaskan aku!" jerkah Raisha.
"Kau sebenarnya nak apa ha?" jerit Ami pula.
Usai Ami habis berkata, ikatan kain pada mata mereka dibuka serentak.
Raisha terus menoleh ke arah Ami. "Ami.." panggilnya dengan muka yang penuh ketakutan.
"Ye Echa. Semua akan okay. Akan okay." Ami cuba mengurangkan ketakutan dalam diri Raisha walaupun hati dia sendiri dalam ketakutan yang teramat sangat saat ini.
"Hei? Tak kan tu je? Tadi bukan korang nak cakap sesuatu ke?" Farhan bergerak ke hadapan.
Raisha tidak membalas. Matanya meliar ke sekitar rumah atau bangunan? Ah! Dia sendiri pun tak tahu tapi ia berbentuk seperti sebuah bilik yang besar. Dalamnya cuma ada mereka bertiga. Dia, Ami dan juga lelaki durjana itu.
"Lepaskan kitaoranglah!" jerit Ami.
"Kenapa kau buat macam ni Paan? Apa salah kitaorang?" soal Raisha pula. Sungguh dia tak faham kenapa Farhan lakukan semua ini? Ambil gambarnya kemudian ikat dia pula? Apa sebenarnya yang lelaki itu mahukan?
Farhan ketawa kecil mendengar soalan Raisha. Dia mundar mandir di hadapan mereka berdua. "Takde. Kau tak buat salah Echa. Aku cuma...." Farhan berhenti berjalan. Dia berdiri betul-betul di hadapan Raisha. "Aku cuma.. Nak duit.." sambungnya sambil tersenyum sinis.
"Jadi kau culik kitaorang sebab nak duit tebusan? Eh Paan, kau sendiri tahu family aku macam mana. Abah tak ada duit!"
"Oh? Takde duit?" Farhan mempamer riak wajah terkejut. Matanya bulat. Mulutnya ternganga memandang Raisha.
Raisha rasa mahu saja ditendang lelaki itu sekarang. Sangat-sangat menyakitkan hati tatkala lelaki itu memberi reaksi sebegitu.
"Hahahahahahahahaha." bergema suara ketawa Farhan ke segenap inci bilik. "Kalau abah takde duit. Apa kata kau yang bagi aku duit?"
"Aku mana ada duit! Kau gila ke ha!"
"Shh.. Shh.." Farhan mendekati Raisha. Dia membelai wajah gadis itu sebelum dipegang erat wajah Raisha supaya memandang matanya. "Kau bakal bagi aku duit. Lepas kau.... Dijual...."
Dada Raisha berombak. Nafasnya kencang turun naik. Air matanya kembali mengalir. Dijual? Dia akan dijual? Matanya menatap mata Farhan. Tegarnya lelaki ini menghancurkan kehidupan seseorang semata-mata kerana duit.
"Babi kau Farhan! Kau binatang!" Ami cuba menendang Farhan dari tempat duduknya namun apalah sangat yang boleh dilakukan dengan keadaan dia yang terikat.
"Hahaha hey korang. Cerialah sikit. Korang akan mengembara jauh tahu. Free pula tu. Bukan senang."
Ami merenung tajam. Rasa amarahnya membara. Kelakiannya tercabar dengan setiap tindak tanduk Farhan.
"Tapi tu lah. Sayang... Aku ingat nak bawa kakak kau sekali Echa tapi tiba-tiba kena halau pula."
Raisha mengangkat mukanya. 'Kak Iza. Maknanya Paan rapat dengan Kak Iza untuk ini.'
"Sayang.. Badan kakak kau tu sedap. Kalau jual tu. Berjuta aku dapat. Hahaha."
"Sial! Kau memang jantan tak guna Paan! Kau memang tak guna! Menyesal aku percayakan kau!!"
"Phhhuuiihh!" Ami meludah ke arah Farhan. Tepat terkena wajah lelaki itu yang berada berdekatan dengan Raisha.
Farhan mengesat air ludah Ami yang berada di mukanya. Hatinya hangat. "Kau ni!" dia memegang kolar baju Ami. Tangan sudah digenggam penumbuk.
Namun Ami tak gentar. Dia balas pandangan mata Farhan tajam. Dia mengetap bibir. Dia tak peduli. Dia mahu lepaskan rasa amarahnya.
"Paan.. Kau tak ingat abah Paan?" Raisha bersuara perlahan. Diiringi dengan esak tangisnya. "Kau tak ingat abah Paan?" soal Raisha sekali lagi.
Farhan terpaku. Tangannya yang tadi dikepal keras kini sudah semakin longar.
"Apa agaknya abah rasa nanti bila tahu anak kesayangan dia buat macam ni?"
Genggaman pada kolar baju Ami dilepas. Farhan menjarakkan diri.
Raisha memandang Ami. Nampak seperti Farhan akan termakan dengan pujukannya. Ami mengangguk. Memberi isyarat supaya Raisha meneruskan kata-katanya.
"Kau anak abah. Kau memang anak kesayangan abah." pujuk Raisha.
Farhan mengelengkan kepalanya laju. "Tak. Aku takde abah. Aku bukan anak abah." balas Farhan. Mindanya terbayang wajah Pak cik Oshman namun cepat-cepat dipadamkan bayangan itu. Dia tak mahu kerjanya terganggu. Dia tak mahu bersimpati.
"Kalau kau bukan anak abah kenapa abah sayang kau lebih dari aku. Abah belikan kau macam-macam. Abah dengar cakap kau. Kau memang anak abah Paan. Abah sayang kau Paan." Raisha menganggukkan kepalanya.
"Tak..! Tak..!" Farhan berlari ke arah dinding. "Aku bukan anak abah! Bukan anak abah! Aku takde bapa!" tangannya penumbuk-numbuk kuat dinding konkrit di hadapannya. Darah mula terlihat pada dinding tersebut. Tangan Farhan berdarah tapi lelaki itu seperti tak peduli. Seolah-olah tak merasa kesakitan di tangannya.
Tiba-tiba Raisha terdengar bunyi pintu dibuka. Dia berpaling ke belakang. Ada empat orang lelaki bertubuh gempal datang mendekati mereka. Raisha panik. Matanya beralih ke arah Farhan semula. "Kau ada bapa Paan. Kita satu keluarga. Abah aku. Abah kau. Abah kita. Kita keluarga Paan." Raisha terdesak untuk memujuk Farhan. Dia tak mahu. Tak mahu dijual! Dia tak mahu menjadi hamba abdi di negara asing dan dia tak nak jadi pemuas nafsu lelaki hidung belang diluar sana. Dia tak nak!
Dua lelaki menarik kasar badan Ami. "Bangun cepat!" arah salah seorang lelaki disisi Ami.
"Ami!" Raisha makin ketakutan. Dia tak mahu berpisah. Kalau ada Ami disisinya mungkin dia akan punya kekuatan. Dia tak mahu sendiri. "Ami!" jeritnya lagi. Lengannya sudah dipegang dua lelaki yang lain.
Badan Ami diheret pergi. "Takpe Echa. Jangan takut. Aku ada." balas Ami. Kepalanya ditoleh ke belakang. "Aku ada Echa. Aku ada." katanya lagi sebelum Raisha hilang dari pandangannya.
"Ami! Ami!" lengan Raisha ditarik keras. Dia juga dipaksa bangun dengan kasar. Anak matanya memandang semula ke arah Farhan yang masih menghadap dinding. "Paan! Ingat abah Paan! Ingat abah!" dia diheret pergi. "Ingat Kak Iza! Ingat mak! Kita keluarga Paan! Keluarga!" jerit Raisha buat terakhir kalinya sebelum dia keluar dari bilik yang menempatkan dia tadi.
***
"Masuk!" badan Raisha ditolak kasar masuk ke dalam sebuah kontena. Dia terdorong ke depan. Dia dapat lihat beberapa orang gadis yang lebih kurang sebaya dengannya berada di dalam kontena tersebut. Tapi dia hanya nampak sebahagian sahaja, itu pun kerana bantuan cahaya daripada luar sebelum semuanya menjadi gelap selepas pintu ditutup kasar. Bunyinya bingit.
Raisha ketakutan. Tangannya yang sudah dibuka ikatan mula memeluk tubuh. Benaknya terbayang wajah ibunya,abahnya dan juga Raizah. Betapa dia menyesal pergi mengikut lelaki yang membawanya ke neraka seperti ini. "Mak... Echa takut" rintihnya.
"Echa.."
Raisha memandang sekeliling. 'Tu suara Ami! Ye memang suara Ami!' Tangannya mula meraba-raba dalam kegelapan. Entah beberapa kali dia terlanggar manusia di hadapannya.
"Echa sini."
Sekali lagi suara itu menyapa gegendang telinganya. Ia seperti berada di kawasan paling hujung kontena. "Ami..?" panggilnya. Dia perlukan suara Ami untuk dijadikan penunjuk arah.
"Aku dekat sini Echa. Dekat hujung."
Raisha bergerak ke kanan. Dia pegang dinding kontena. Perlahan-lahan kakinya berjalan sambil tangannya meraba-raba dinding kontena sebagai panduannya. "Ami.. Cakap sesuatu."
"Kau dah dekat Echa. Aku dengar kau dah dekat. Depan sikit lagi."
Raisha menurut. Dia terus berjalan sehingga kakinya terlanggar seseorang. "Ami?" Tiba-tiba tangannya ditarik ke bawah. Raisha terduduk disebelah orang yang dia terlanggar tadi.
"Aku dekat sini."
Suara Ami menyapa telinganya. "Ami? Kau ke tu!?" Raisha meraba muka Ami. Untuk kepastian. Mana tahu orang lain pula. Dalam keadaan gelap mereka ibarat orang buta yang disuruh mencari jalan pulang tanpa bantuan.
"Iye Echa. Aku ni. Aku." Ami pegang tangan Raisha daripada terus meraba mukanya.
"A.. Aku takut Ami."
Suara Raisha kedengaran sayu. Ami juga dapat rasakan tangan gadis itu mengigil. "Sudah. Jangan takut." tangannya menarik Raisha dalam pelukkan. "Apa pun jadi aku akan jaga kau. Aku janji. Aku akan jaga kau Echa." pujuk Ami bagi mententeramkan jiwa Raisha. 'Semoga kita dapat jumpa ibu bapa kita lagi. Ya Allah semoga ada sinar hari esok.'
Share this novel