BAB 24 :
Menantu Abah
Tiger berjalan masuk ke sebuah bilik. Tangannya memulas tombol pintu dengan kasar. Sebaik melangkah masuk, matanya pula menangkap satu jasad yang berada di dalam bilik tersebut. Tersadai di atas lantai yang berselerak dengan surat khabar lama. "Woi. Kau kenapa?" soalnya sambil mengambil tempat duduk di hujung kaki manusia tersebut. Badannya disandar pada dinding dan tangannya mula meraba poket untuk mengambil kotak rokok.
Farhan bangun dari pembaringan. Dia mengusap mukanya. Kusut. Badannya turut disandar pada dinding. Lama dia merenung ke lantai sebelum berbicara "bila bos nak bawa barang tu pergi?" soalnya tanpa memandang wajah Tiger.
Asap rokok dihembus tinggi. Tiger ketawa kecil. "Sejak bila kau amik kisah?"
Sinis sahaja soalan itu kedengaran di telinga Farhan. "Aku tanya. Salah? Atau aku tak boleh amik tahu?"
Tiger ketawa kecil sekali lagi. Kali ini diringi dengan gelengan di kepalanya. "Aku tahu apa dah jadi dekat kau." dia menoleh ke arah Farhan. "Jangan biar simpati wujud dalam hati. Kau akan musnah." katanya tegas. Dia tahu apa yang Farhan rasakan sekarang. Dia pernah lalui semuanya. Segala keperitan, segala rintihan dan rayuan sudah lali ditelinganya. Hatinya keras. Langsung tidak ada sedikit pun rasa simpati yang wujud di hatinya hatta sekelumit pun. Mungkin kerana dia dah lama tak merasa kasih sayang atau mungkin kerana hatinya telah buta dengan wang atau.. Ah! Banyak sebabnya.
Farhan diam. Tangannya memegang kepala. Kedua kakinya dibengkokkan. Mindanya Kusut! Serabut!
Tiger menepuk-nepuk bahu Farhan lembut. "Kau dah berapa lama buat benda ni?" soalnya. Rokok yang sudah habis diisap dibuang ke tepi.
"Aku tak tahu. Entah kenapa mangsa yang ni aku rasa lain macam. Semua tak kena." jawab Farhan.
"Mungkin kau tersilap langkah."
"Maksud kau?" Farhan mengangkat mukanya. Kornea matanya memandang tepat ke anak mata Tiger.
"Kau dah buka hati kau masa pergi rumah perempuan tu. Kau pergi untuk kerja tapi bila sampai kau jadi lain."
Farhan tidak membalas. Dia hanya menanti bait bicara yang seterusnya dari Tiger.
"Aku dah cakap jangan pergi tapi kau degil nak ikut perempuan tu balik rumah. Kau boleh je ikut dia dekat tempat dia belajar tu. Aku tahu perempuan tu boleh lemahkan semangat kau sebab aku tengok kau lain macam dengan dia." Tiger berhenti seketika. Dia meraup wajahnya. Mengemaskan rambut panjang yang terjatuh di hadapan mukanya.
"Kau dengar cakap aku. Kalau kau sayang nyawa kau, kau lupakan dia. Kau ingat mak kau dekat rumah dengan adik-adik kau tu. Kau nak sara diaorang. Jangan terpedaya dengan pujuk rayu perempuan tu. Kau akan binasa." sambung Tiger.
"Tapi aku.."
"Terpulang.." kata-kata Farhan dipintas. "Aku cakap je. Aku tahu sekarang kau tak boleh terima segalanya." rokok dikeluarkan lagi sebatang. Api dinyalakan dan beberapa saat kemudian asap mula memenuhi ruang udara yang penuh dengan debu.
Farhan membisu kelu. Matanya bagai dipaku memandang ke lantai. Benaknya terbayang wajah ibunya, adik-adiknya dan juga Pak cik Oshman. Silih berganti bayangan itu menerpa. Berebut-berebut ingin mendapat tempat pertama dalam minda Farhan.
"Aku pun pernah rasa macam kau ni. Kau ingat aku terus jadi hati keras macam sekarang?"
Farhan menoleh. "Kau pernah rasa?" soalnya pelik. Dia tak tahu pula yang Tiger pernah rasa seperti yang dia rasa sekarang. Yela, namanya pun dah melambangkan kekuatan. Sebut saja namanya semua orang gentar. Dari tauke besar hingga anak ikan. Semua tak berani melawan kerana Tiger berhati kering. Pernah sekali Farhan nampak Tiger tidak teragak-agak memotong jari salah seorang waris mangsa kerana mereka melawan. Lelaki itu tidak peduli dengan rayuan. Bila dia kata mahu maka dia mahu. Siapa yang menghalang, maut yang menanti mereka.
"Haha pernahlah. Habis kau ingat aku terus jadi hati batu macam ni?"
Farhan mengangguk laju.
Tiger ketawa kecil. "Dulu aku pernah simpati dengan barang yang aku bawa. Macam kau. Aku intip dia. Ikut dia. Tengok apa dia buat, tempat dia selalu pergi. Bila hari-hari aku tengok dia, wajah dia, senyumandia.. Aku rasa.. Gembira." Tiger tersenyum. "Tapi aku tetap jadikan dia barang aku sampailah dia dah jadi tawanan aku."
"Habis sekarang dia dah kena juallah?" soal Farhan.
Tiger mengelengkan kepalanya. "Dia dah mati. Mati kena tembak dengan Ringgo."
Farhan terkedu. "Kenapa?" soalnya lagi.
Tiger tidak segera menjawab. Matanya memandang ke hadapan. Tembus ke dinding dan terus pergi ke kenangan masa lalu. Kenangan pahit yang sampai sekarang masih berlegar dalam kotak fikirannya. Rasa bersalah yang sentiasa mengekorinya siang dan malam sepanjang hayatnya akibat satu perkara yang dilakukan."Sehari sebelum dia kena jual dia merayu dekat aku. Dia pegang tangan aku. Menangis-nangis dia mohon supaya lepaskan dia. Hati aku yang memang dah jatuh dekat dia senang termakan dengan rintihan dia yang teramat mendayu." satu helaan nafas berat dibuat. "Suara dia masa tu, pandangan mata dia memohon aku lepaskan dia. Aku tak dapat lupakan."
"Jadi kau lepaskan dia?" Farhan renung wajah Tiger yang sedang memandang jauh ke hadapan. Sungguh lelaki itu bercerita penuh perasaan. Seolah-olah tak dapat melepaskan diri daripada kenangan lalu.
Tiger mengangguk. "Aku buka jalan keluar untuk dia. Aku bagitahu dia nak lari arah mana tapi aku silap. Aku patut ikut dia lari. Dia manalah tahu selok belok kawasan kita ni. Entah macam mana Ringgo nampak dia terus dia tembak tanpa aku sempat halang." Tiger kalih anak matanya memandang Farhan. "Dengar cakap aku. Kau jangan sesekali jumpa perempuan tu lagi. Dia akan mengubah pendirian kau."
"Macam mana kalau aku tak boleh lupakan rasa bersalah aku ni untuk seumur hidup?"
"Kau tak kan lupa. Sampai bila-bila tak kan boleh lupa. Perkara tu tetap akan wujud walaupun kau tolak dia jauh ke dasar hati."
Farhan diam. Macam mana dia nak teruskan hidup dengan perasaan bersalah yang membelengu dalam diri dia? Dalam jiwa dan hati dia?
"Jangan sesekali fikir nak lari. Kalau tak.. Sama ada kau yang ditembak atau perempuan tu." Tiger berkata tegas. Dia bangkit membetulkan seluarnya. Rambutnya disisih rapi mengunakan jari. "Kau ingat cakap aku. Jangan buat kerja gila." katanya lagi sambil berlalu pergi meninggalkan Farhan keseorangan di dalam bilik.
Farhan termanggu keseorangan. 'Sama ada kau yang ditembak atau perempuan tu.' bait ayat yang sepotong itu bagai melekat difikirannya. Bayang wajah yang tadi bermain kini lenyap dengan kata-kata yang keluar dari mulut Tiger.
Dia tak tahulah sama ada lelaki itu menyatakan yang benar atau salah tapi ia tetap mewujudkan rasa gentar dalam hati kecil Farhan. Ditembak mati. Mana mungkin dia mahu biarkan perkara itu berlaku. Siapa mahu menjaga ibu dan adik-adiknya kelak? Dia kena teguhkan hatinya. Dia tak mahu bersimpati. "Takpe. Lepas ni kan kau nak cari kerja lain. Kau dah janji ini yang terakhir. Jadi kau kena fokus Paan! Fokus!"
Share this novel