BAB 25 :
Menantu Abah
Raisha mengesat peluh yang terbit di badannya. Panas. Mungkin hari sudah siang menyebabkan keadaan dalam kontena menjadi bahang yang terlampau sangat.
Ami capai sebotol air mineral di hadapannya. "Minum air ni Echa." arahnya sambil menghulurkan botol tersebut kepada Raisha. Dalam keadaan macam ni mereka memang memerlukan air yang banyak dalam tubuh untuk elak dehidrasi.
Air mineral bertukar tangan. Raisha buka penutupnya dan mula meneguk sedikit demi sedikit sehingga dia rasa puas. Setelah selesai dikesat mulutnya. Botol ditutup kembali. "Sampai bila kita dekat sini?" soalnya sambil menoleh ke arah Ami.
"Aku tak tahu."
"Ami.. Betul ke kita akan dijual?"
"Aku tak tahu Echa." jawab Ami lagi. Dia meraup mukanya yang penuh dengan peluh.
"Herm.. Kau rasa dapat tak kita jumpa family kita lagi?" Raisha mendekati Ami. Dia melentokkan kepalanya pada bahu lelaki itu.
"In Shaa Allah kalau Allah izinkan. Kita akan selamat and akan jumpa family kita lagi." Ami memegang tangan Raisha. Ditepuk-tepuk lembut kemudian diusap. Bagai memberi semangatnya yang tinggal sedikit itu kepada Raisha.
"Aku menyesal ikut Paan balik sini. Aku pergi tak jumpa mak bapa aku dulu."
"Sebab tu orang kata cinta itu buta. Kau sanggup ketepikan yang penting demi yang tak penting. Yang tak tahu kejujuran hatinya."
Kata-kata Ami membuatkan Raisha tersentak. Ayat itu tepat kena ke mukanya. Menghiris hatinya yang sedia rapuh. Dia memang bodoh sebab terlampau ikut kata hati yang buta kerana cinta.
"Setiap manusia lakukan kesilapan Echa. Kalau kita dapat lepas dari masalah ni, kita perbetulkan balik kesalahan kita tu." pujuk Ami. Dia takut Raisha akan berkecil hati dengan kata-katanya.
Raisha mengangguk lemah. "Aku harap akan ada peluang untuk kita."
"In Shaa Allah."
Bunyi pintu kontena dibuka mengejutkan semua penghuni di dalam kontena tersebut yang sudah lemah akibat kekurangan oksigen. Seramai enam orang lelaki yang kelihatan begis berdiri di hadapan pintu. Masing-masing memegang sepucuk pistol di tangan.
Raisha yang tadinya meletakkan kepalanya di atas bahu Ami terus terduduk tegak. Jantung yang tenang kini kembali berdebar. Adakah masanya sudah tiba? Mereka yang duduk paling hujung hanya memerhati empat dari enam orang lelaki tersebut melangkah masuk ke dalam kontena. Air liur diteguk kasar. Mungkin akan ada sesi pemilihan mungkin salah seorang akan ditarik keluar. Dalam hati cuma mampu berdoa semoga bukan giliran mereka.
Salah seorang lelaki itu berjalan sehingga ke tempat Raisha dan juga Ami. "Yang ini ke?" jeritnya kepada salah seorang rakan sekutu sambil pistolnya dihala ke arah muka Raisha.
Debaran dada bagai dipalu. Dipukul kuat tatkala soalan lelaki itu melalui gegendang telinga Raisha. Kenapa dengan dia? Apa yang mereka nak buat? Tangannya memegang kuat tangan Ami. Ketakutan yang menjalar semakin banyak. Raisha nampak rakan lelaki itu mengangguk.
"Kau bangun!" jerkahnya sambil pistol masih setia disua ke muka Raisha.
Raisha mengeleng laju. Air mata turun deras. Masanya sudah sampai. 'Mak, abah , kak Iza... Maafkan Echa.. Ya Allah.. Kau ampunilah dosa aku Ya Allah.'
"Aku cakap bangun! Jangan sampai bersepai muka kau dekat sini! Cepat bangun!" arah lelaki itu lagi. Kali ini lengan Raisha ditarik kasar. Gadis itu dipaksa bangun.
Raisha ditarik berdiri. Lengannya sakit digenggam lelaki berbadan besar itu. Amat kuat dicengkam. Mungkin sudah lebam lengan Raisha yang kurus itu. "Aku tak nak...!" dia cuba melawan walaupun tahu usahanya sia-sia. Mana mungkin dia dapat melawan tenaga seorang lelaki yang 10 ganda lebih besar darinya.
Lelaki itu tak mengendah. Dia menarik Raisha untuk pergi walaupun gadis itu meronta-ronta.
"Aku tak nak! Ami!" kepalanya ditoleh ke belakang. Dilihat Ami seperti kelihatan terpaku. Wajah kawannya itu cuma memandangnya dengan riak wajah terkejut. "Ami!" jeritnya sekali lagi.
"Eee diamlah! Memekak!" tudung Raisha direntap kasar. Terserlah rambut panjang hitamnya di hadapan orang.
Raisha memegang kepalanya. Cuba melindungi walau sedikit rambutnya yang terdedah. Teresak-esak dia menangis. "Tolonglah.. Jangan buat macam ni." rayunya.
Sebaik sampai di depan pintu kontena badan Raisha ditolak kasar. "Nah. Pergi bawa dia."
"Nanti!"
Kesemua mata memandang kembali ke dalam kontena.
"Bawa aku sekali."
"Kau ni apahal!? Orang tak nak kau! Pergi masuk dalam!" salah satu lelaki menghala pistol ke arah Ami. Mengugut.
"Kalau kau tembak aku mungkin hasil yang korang dapat akan kurang. Biar aku ikut perempuan ni. Bukan ke akan dapat duit lebih kalau jual berpasangan?"
Lelaki itu diam. Dia pandang silih berganti wajah rakan penjenayahnya sebelum berkata "kau pegang dia Ringgo. Bawa pergi cepat." arahnya.
***
Raja mundar mandir di luar pejabat. Hatinya resah, gelisah, risau memikirkan dua rakan baiknya yang hilang. Tak lama kemudian muncul Puan Arna di hadapannya. "Macam mana Puan?" soalnya cemas.
Puan Arna memegang bahu Raja. "Kita dah laporkan dekat pihak polis. Kamu sabar ye. Sekarang kamu pergilah balik bilik dulu. Apa-apa perkembangan nanti saya bagitahu."
Raja mengangguk lemah. Ikut hati mahu sahaja dia sendiri yang pergi mencari rakan-rakannya. Tapi dimana? Dimana mahu dicari? Tak kan dia perlu pergi ke setiap sudut ceruk yang berada di negeri Pahang ini?
Telefon yang berada di tangannya bergetar. Dia lihat nama pemanggil dan cepat-cepat mengangkatnya.
"Assalamualaikum mak cik."
"Waalaikumsalam Raja. Macam mana kata polis? Ada apa-apa perkembangan?"
Kedengaran suara Mak cik Rainah di sebelah sana. Serak-serak basah. Mungkin sedang menahan tangis ataupun sedang menangis. Raja menarik nafas sedalamnya. Dia tak boleh dengar orang menangis. Nanti dia pun turut menangis sekali. "Puan Arna kata masih tak ada apa-apa tapi polis tengah jalanlan siasatan sekarang ni. Mak cik bersabar ye. In Shaa Allah semuanya akan okay."
"Siapa yang buat semua ni Raja? Apa salah Echa?"
Soalan Mak cik Rainah membuatkan Raja diam seketika. Benaknya bekerja keras, memutarkan ayat yang paling sesuai untuk menjawab soalan Mak cik Rainah. "Emm Raja pun tak tahu mak cik. Sama-samalah kita doa semoga semuanya selamat."
"Herm yela. Apa-apa perkembangan nanti bagitahu mak cik. Maaflah terpaksa menyusahkan. Mak cik tak dapat ke sana walaupun mak cik nak sangat pergi."
"Eh takdelah mak cik. Mana ada menyusahkan. Memang ini tanggungjawab saya."
"Yela. Kamu jaga diri ye Raja. Mak cik nak letak ni. Assalamualaikum."
"Ye mak cik. Waalaikumsalam."
Talian dimatikan. Satu keluhan berat dilepaskan. Dia sebenarnya dapat rasa yang semua ini ada kaitan dengan Farhan tapi entah kenapa dia tak sampai hati hendak memberitahu isi hatinya yang sebenar kepada Mak cik Rainah. Mungkin sebab Raisha pernah cerita padanya tentang betapa Pak cik Oshman menyayangi Farhan. Jadi hati kecilnya tak sanggup hendak mengecewakan kedua orang tua rakan baiknya itu. 'Semoga semuanya selamat.'
***
Mereka berdua diletak ke dalam sebuah bilik. Sebaik pintu ditutup mereka berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa kita masuk sini?" soal Raisha. Bukanlah dia tak bersyukur yang dirinya belum lagi mahu dijual. Dia cuma pelik.
"Mungkin ini bilik menunggu." balas Ami. Kakinya melangkah mendekati dinding dan melabuhkan punggungnya disitu.
Raisha mengikuti jejak Ami. Dia turut mengambil tempat duduk disebelah rakannya. "Aku ingat tadi kau nak tinggalkan aku." ujar Raisha.
Ami tersenyum nipis. "Kan aku cakap aku akan jaga kau. Aku dah janji."
"Tapi aku tengok kau tadi macam teragak-agak."
Ami menoleh memandang Raisha. Anak matanya bertemu dengan mata Raisha. Bibir mengukir senyuman dalam ketar. "Aku terkejut. Maafkan aku. Janji tak buat lagi okay?" mohon Ami.
Raisha mencebik. "Tak nak maafkan. Aku takut sangat tahu tadi." rajuknya. Dalam keadaan macam ni pun sempat nak merajuk.
"Hehe sorylah okay? Kan aku dah ada dekat sebelah kau ni." Ami menyelak anak rambut Raisha yang jatuh di dahi. "Pakailah tudung balik. Tak cantik macam ni."
Tudung yang menutupi dada diambil. Mujur saja Raisha pin di bahagian kiri dan kanan jadi masa ditarik , tudung itu tak terus jatuh ke lantai. Dia menyarung kembali tudungnya. Dikemaskan kemudian dia memusingkan badannya menghadap Ami. "Haa sekarang cantik tak?" soalnya sambil buat mimik muka comel.
"Hahaha cantik." Ami memegang kedua pipi Raisha.
Share this novel