Setibanya di hadapan rumah Puan Senah..
"Assalamualaikum" Rafli memberi salam setelah keluar dari keretanya. Lalu tangan Fathiyah dicapai dan dipimpin menuju ke pintu utama rumah ibunya.
Di situ sudah kelihatan beberapa orang saudara-maranya sedang duduk berborak di beranda.
"Waalaikumsalam..." jawab mereka semua.
"Pengantin baru dah sampai" Pak Ngah kepada Rafli bersuara. Dengan senyuman lebar.
Dari jauh Rafli sudah tersengih. Fathiyah di sisinya pula tersipu-sipu malu. Semakin kejap tangannya memegang lengan Rafli.
Rafli menghulurkan tangannya kepada saudara-maranya itu dan mereka saling bersalaman serta bersapa bertanya khabar.
Fathiyah bertambah segan kerana tiada kaum wanita di situ. Kemudian dia berbisik di telinga Rafli perlahan, "Abang..Tiyah masuk dalam dulu ye..Cari ibu."
"Okey.." balas Rafli ringkas dengan anggukan kecil.
Pegangan tangan mereka leraikan. Fathiyah terus sahaja menyusun langkah kakinya penuh sopan. Dapur dituju untuk mencari susuk tubuh ibu mertuanya.
"Ibu..." tegur Fathiyah sambil menyentuh lengan Puan Senah yang sibuk mengacau sesuatu di atas dapur.
"Ehh.. Bila sampai ni? Raf mana?" tanya Puan Senah.
"Kitorang baru aje sampai ni bu.. Abang Raf ada dekat beranda tu. Duk sembang." Jawab Fathiyah dengan tangannya dihulurkan kepada Puan Senah untuk bersalaman.
Tubuh Fathiyah, Puan Senah raih masuk ke dalam pelukannya. Ciuman kasih turut diberikan kepada menantunya itu.
"Dah sarapan ke belum?"
"Dah.. dekat rumah sana tadi"
"Ibu nak masak apa ni? Meh Tiyah tolong!" Tawar Fathiyah tidak kekok. Sudah biasa. Sejak kecil dia juga sering berkunjung ke rumah Puan Senah bersama-sama dengan ibunya, Puan Ina dan juga Zara. Makanya dia sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
Tiba-tiba ada suara lain yang menegur di belakangnya. "Ini pengantinnya ya Senah?"
Fathiyah kalih ke belakang melihat gerangan yang empunya suara. Dia bingung kerana sepertinya tidak pernah melihat wajah itu.
"Haah..kak.. Inilah orangnya"
"Cantik..Sejuk mata akak tengok muka dia.. Anak perempuan si Ina tu kan?" Mak Long kepada Rafli bersuara lagi.
"Ye..kak.. Masa akak datang dulu, budak ni baby lagi. Sekarang besar panjang dah. Jadi jugak menantu saya. Hihi" Puan Senah membalas dengan tawa halus.
Fathiyah sekadar memasang telinga. Mahu disampuk tetapi tidak kenal. Oleh sebab itu, dia perlahan-lahan menghampiri Puan Senah seraya berbisik di tepi telinga ibu mertuanya tersebut. "Siapa tu ibu? Tiyah tak pernah jumpa pun sebelum ni.."
"Ni Mak Long.. Isterinya Pak Long, Raf. Diorang duduk dekat luar negara. Jarang balik. Ke.. memang dah lama tak balik." seloroh Puan Senah sambil menoleh ke arah kakak iparnya itu.
Mereka tertawa kecil.
Segera Fathiyah berjalan menghampiri Mak Long, lalu tangannya dihulurkan untuk bersalaman. Ramai lagi rupanya saudara-mara sebelah suaminya itu. Malah masih ada lagi saudara-mara Rafli yang tak pernah Fathiyah jumpa apatah lagi kenal.
Nampak gayanya banyak lagi perkara tentang Rafli yang Fathiyah belum tahu. Tidak mengapa, masih ada banyak masa lagi untuk mereka saling mengenali antara satu sama lain. Maklumlah bercinta selepas kahwin bukan sesuatu yang mudah. Mengambil sedikit masa dalam melalui proses tersebut.
"Sayang.." panggil Rafli yang sedang berjalan menghampirinya.
Fathiyah pusingkan badannya menghadap Rafli. Keningnya turut terangkat sama. "Kenapa abang?"
Pinggang Fathiyah disentuh lembut tanpa segan-silu. Bahkan, bahu Fathiyah sengaja dirangkul kemas. Puan Senah dan juga Mak Long sudah tersengih nakal. Fathiyah pula yang membeku apabila diperlakukan sebegitu di hadapan orang lain.
"Amboi.. Kamu Raf.. tak boleh berenggang langsung eh.. Takut sangat bini dia lari." sakat Mak Long.
"Dia memang macam tu kak. Manja dia dah datanglah tu.. Perhatikan sekejap lagi ada yang dia buli si Tiyah tu kang!" tutur Puan Senah begitu yakin. Dia sudah masak dengan sikap anak-anaknya. Manja terlampau.
"Hahaha.. Mana adalah. Pandai aje ibu ni tau! Raf biasa-biasa aje. Kan sayang?" ujar Rafli dengan tawanya sedikit tertahan sambil matanya dikenyitkan kepada Fathiyah.
Fathiyah geram akan sikap suaminya yang selamba itu. Kemudian dia mencubit kecil lengan suaminya sebagai balasan, seraya menjeling tajam.
"Auch..sakitlah sayang. Sejak bila pandai jadi cik ketam ni..hurmm!" Ngadu Rafli dengan sengaja memanjakan suaranya.
"Behave lah abang! Malu Tiyah tau!" Fathiyah menggumam.
"Yelah..yelah.. Sorry.. Ni abang nak beritahu yang abang nak masuk bilik dulu. Ada kerja sikit. Kalau sayang rindu dekat abang ke nanti, cari dekat bilik je.. okeyyy..."
"Bilik abang mana satu?"
"Senang je.. sayang jalan lurus jangan belok-belok"
"Abang!!! Serious lah!"
"Hahaha.." berdekah tawa Rafli, sengaja dia menyakat isterinya yang sudah kelihatan bingung itu.
"Alololo.. Gurau pun tak boleh. Bilik abang pun tak tahu ke? Choiii!! Sayang nampak yang hujung sekali tu bilik abang lah" jelas Rafli sambil jarinya mencuit hidung Fathiyah.
Fathiyah tersengih.
Kemudiannya, Rafli terus melangkah menuju ke arah biliknya.
Selepas Rafli hilang dari pandangannya, Fathiyah duduk pula di sisi ibu mertuanya yang sedang sibuk memotong bahan-bahan yang hendak digunakan di dalam masakannya. Lincah tangan Fathiyah mencapai bawang yang belum dikupas kulit itu lalu dia mula mengupasnya satu persatu sambil diperhatikan Mak Long.
"Rajin budaknya. Beruntunglah si Raf tu ye Senah." bicara Mak Long yang cuba memulakan perbualan antara mereka.
"Alhamdulillah.. Jodoh dia orang kak long. Siapa kita nak sangkal." Tutur Puan Senah lembut. Hatinya turut bahagia melihat anak-anaknya bahagia.
"Hurmm.. Tapi bukan sebelum ni dia kawan dengan si Safura ke? Anaknya kawan kamu tu. Akak ingatkan masa kamu kata Raf nak kahwin, dalam kepala ni duk fikir budak itulah kot. Tahu-tahu lain pula ye." Tanya Mak Long panjang lebar. Tanpa menghiraukan Fathiyah yang ada di situ.
Dup dap dup dap jantung Fathiyah berbunyi.
'Siapa Safura? Aku tak pernah dengar pun nama tu?' bisik hati Fathiyah. Sepertinya ada sesuatu yang dia tidak tahukah?. Pergerakan tangannya terhenti seketika. Dia cuba memasang telinga lagi.
Puan Senah mula tidak sedap hati. Dia mengerling sekilas wajah menantunya. Tanpa ragu dia membalas semula kata-kata kakak iparnya itu. Dia berdehem.
"Ehem.. Oh! Safura tu anak angkat saya. Si Raf tu anggap dia macam adik sendiri saja. Tak lebih-lebih pun. Yang kat sebelah ni lah cinta mati dia yang betul. Tunggu dari zaman sekolah lagi. Hah! Last.. last.. Baru dapat. Jodoh tu kan rahsia Allah. Tak gitu, Tiyah!" jelas Puan Senah sambil bahunya menyenggol perlahan bahu Fathiyah. Dia cuma berharap yang penjelasannya itu dapat melegakan hati Fathiyah yang mungkin sedang tertanya-tanya itu.
Kerja mengupas bawang Fathiyah teruskan tanpa memikirkan perkara yang baru sahaja dia dengar tadi. Dia tidak mahu ambil pusing akan hal itu. Baginya, hal-hal begini pasti suaminya akan bercerita sendiri kepadanya kelak.
Share this novel