Pagi-pagi lagi halaman rumah Puan Ina sudah dipenuhi dengan beberapa buah kenderaan. Terdapat juga sebuah kanopi besar, yang turut didirikan berhampiran dengan pokok jambu air. Di bawah kanopi itu, telah dijadikan ruang makan untuk para tetamu yang hadir pada hari itu.
Nampak gayanya Rafli benar-benar datang bertandang pada hujung minggu itu. Dia membawa bersama-sama rombongan daripada pihaknya untuk meminang Fathiyah. Mereka semua merupakan sebilangan kecil daripada ahli keluarga dan juga kenalan rapatnya.
Majlis yang pada asalnya ingin diadakan secara ringkas itu, berubah menjadi suasana yang sangat meriah. Sepertinya ada acara sukaneka. Oleh kerana keriuhan suara gelak-tawa dari ruang tamu rumah Puan Ina itu cukup menggambarkan perasaan gembira seisi rumah itu.
"Ikan kekek mak iloi iloi,
Ikan gelama mak ilai ilai,
Kami datang bawa hajat oi,
Bukan saja nak mengintai ai."
"Hahaha" tergelak semua yang ada di ruangan itu.
"Ni pantun ke lagu Bang Ngah oii!" Puan Senah bersuara. Puan Senah ialah ibu kepada Rafli. Rindu tak? hihi..
"Hahaha" bergema lagi ruangan itu dengan kekekan ketawa orang-orang yang ada di situ.
"Aduhaii..senak perut aku gelakkan kau Ngah oii! Memang kena berbalas pantun juga ke?" celah Pak Long kepada Fathiyah yang merupakan abang kepada ibunya, Puan Ina.Berserta tawa yang masih lagi bersisa.
Mereka semua sekampung. Saling kenal antara satu sama lain. Oleh sebab itu, kelihatannya tidak begitu janggal apabila bercakap.
"Aku ni bukan apa Dil oi.. Kalau ikut cara aku malas nak panjang-panjang cerita. Nikah aje terus. Lagipun si Raf tu bukan muda lagi. Berumur dah pun budaknya. Dia lah punya pasal ni. Siap pesan suruh aku tunjuk power. Pakar pantun katanya" jelas Pak Ngah panjang lebar.
"Hahaha.. yeke? Bukan main lagi dia sakat kau ye. Tunggu depan tok kadi nanti. Kita pulak kenakan dia." Balas Pak Long dengan tawa kecil.
"Sekarang ni macam mana. Masih nak berpantun lagi ke nak straight to the point je" Puan Ina menyampuk.
"Huuu.. Nampak ketidaksabaran kamu tu Ina" kata Pak Ngah.
"Hahaha" meletus lagi ketawa mereka yang ada di situ. Termasuk Puan Ina.
"Bukannya apa Bang Ngah. Zaman dah maju kan semuanya kalau boleh nak cepat" bidas Puan Ina.
"Betul-betul. Lagi cepat selesai. Lagi bagus. Lapar dah ni." Puan Senah menambah tanda menyokong kata-kata Puan Ina sambil tangannya menepuk-nepuk perlahan perutnya.
Puan Ina memandang wajah Puan Seha dengan senyuman melebar. Mereka berdua sudah berkawan baik sejak kecil. Sudah pun tahu hati budi dan baik buruk masing-masing. Jadi, tiada apa yang perlu diperkenalkan lagi. Lainlah kalau mereka tidak saling kenal. Pasti mengambil masa sedikit berserta mukadimah. Salam perkenalan katanya.
"Okey! Kita ringkaskan sajalah majlis ni ye. Beginilah Ina.. Tujuan kami datang ni nak merisik. Dah alang-alang tu sekali dengan meminang anak kamu Fathiyah untuk Rafli. Sekaligus lah senang. Tak payah dua tiga kali kerja nanti." Jelas Pak Ngah sambil tangannya cuba menghulur dulang yang ada dua bentuk cincin itu.
Pak Long menyambut huluran itu, kerana duduknya yang paling hampir dengan Pak Ngah si Rafli itu.
"Tunggu kejap! Aku suruh Ina pergi tanya anak dia dulu. Setuju ke tidak. Zaman sekarang bukan boleh paksa-paksa. Ada yang merajuk lari rumah pula. Siapa nak menjawab tu" kata Pak Long.
Wajar sahaja dia berkata begitu kerana mereka lebih awal makan garam dahulu. Sudah banyak perkara yang mereka pelajari. Semua tindakan perlu diambil secara berhati-hati tidak mahu ada yang makan hati kelak.
Tanpa membuang masa. Pak Long serahkan dulang berisi dua bentuk cincin itu kepada Puan Ina seraya berkata, "Ina pergi tanya Tiyah lekas."
Puan Ina sekadar menganggukkan kepalanya. Kakinya menyusun langkah menuju ke bilik Fathiyah di tingkat atas. Langkahnya turut di buntuti oleh Puan Senah. Seiring sejalan.
Pintu bilik Fathiyah tidak bertutup. Memudahkan dia mendengar setiap perbualan tetamu yang berada di ruang tamu rumahnya itu.
Pagi itu Fathiyah bersiap ala kadar sahaja. Ayu berbaju kurung serta bertudung litup sedondon dengan warna baju Puan Ina. Warna kegemaran mereka berdua iaitu hijau. Fathiyah hanya mengenakan solekan nipis. Neutral sahaja. Tetap manis. Sedap mata sesiapa sahaja yang memandangnya. Alis yang terbentuk semulajadi cantiknya itu sudah cukup membuatkan Fathiyah kelihatan menawan.
"Assalamualaikum.. Boleh ibu masuk?" Puan Ina meminta izin di muka pintu bilik Fathiyah. Nak diterjah tidak manis pula dipandang oleh Puan Senah. Apa pula kata mereka nanti.
"Waalaikumsalam.. Masuk..Masuk Mak Ngah" sepupu Fathiyah bersuara.
Tidak lupa juga Zara turut berada di situ. Dia bermalam di rumah Fathiyah atas sebab Fathiyah sendiri meminta dia menemaninya. Berkongsi pelbagai cerita. Jiwa Fathiyah sedang kacau. Itu sebab awal pagi lagi Zara sudah terpacak di bilik Fathiyah.
Zara yang banyak memberinya nasihat atas setiap tindakan yang diambilnya itu.
"Eh.. Zara pun ada" tegur Puan Senah apabila terpandangkan kelibat Zara berdiri di sisi Fathiyah.
Zara tersengih sambil tangannya dihulur untuk bersalam.
"Kembarlah katakan" Zara berseloroh.
"Ye tak ye jugak. Lepas ni boleh sama-sama naik pelamin lah kan!" usik Puan Senah dengan ketawa halus.
"Ada calon kosong tak untuk saya Cik Senah? Teringin jugak ni. Jari manis ni rasa gatal je nak orang sarungkan cincin" ujar Zara lagi seraya tergelak besar.
"Hahaha" gelaknya disambut mereka yang turut berada di dalam bilik itu. Ada-ada sahaja akal mengusik cucu Nek Bonda ini.
"Amboi.. Bukan main lagi dia eh.. Yang dekat depan rumah tu ada ramai pilih je mana satu. Nanti Cik Senah tolong pinangkan untuk kamu."
"Tak nampak macam perigi mencari timba ke Cik Senah?"
"Zaman serba moden ni kan. Apa kisah mulut orang mengata. Kalau tak buat macam tu membujanglah sampai tua. Contoh si Raf tu la. Nasib orang di sini mahu" gurau Puan Senah beserta kerlingan ke wajah Fathiyah.
"Sudah-sudahlah tu sembangnya Senah. Nanti kita sambung lagi kendian. Empunya diri ni duk perati dari tadi. Ketar jari-jemari nampaknya tu." Puan Ina mencelah.
Puan Ina bukannya apa, dia cuma kasihankan orang yang tunggu di bawah itu. Tidak boleh berlama-lama di kamar ini. Pasti sudah ada yang kelaparan saat itu.
"Ya Allah.. Hampir terlupa aku Ina oiii!! Maaf semua. Beginilah bila dah start menyembang. Mulut Cik Senah tak boleh stop" jujur Puan Senah dengan senyuman mesra.
Tersenyum kecil Puan Ina mengiakan kata-kata Puan Senah. Dah terbiasa. Cuma kali ini kena cut sedikit sebab ramai sedang menunggu.
"Adik macam mana? Setuju tak? Atau adik ada bantahan" Puan Ina bertanya lembut kepada Fathiyah.
"Tiyah jujur je. Cik Senah tak marah pun" celah Puan Senah laju.
Fathiyah memandang wajah kedua-dua wanita yang ada di hadapannya sekarang ini.
Tanpa ragu-ragu, Fathiyah membuka mulutnya seraya berkata, " Tiyah setuju." Penuh kelembutan.
Tubuh Fathiyah menerima pelukan erat daripada Puan Senah. Air mata jangan cakaplah. Laju sahaja mengalir di kedua pipi Puan Senah yang sudah mula kelihatan garis-garis kedutan itu. Maklum sahaja sedang meniti usia senja.
Mulut tidak lupa mengucap syukur, "Alhamdulillah.. Terima kasih Tiyah.." Puan Senah berbisik perlahan di tepi telinga Fathiyah. Belakang Fathiyah ditepuk-tepuk perlahan.
Hati ibu mana yang tidak gembira.
Bahagia anaknya bahagia mereka juga.
"Alhamdulillah.. Tak lama lagi berbesanlah kita Senah. Penyabar jugak si Raf tu. Lama kot tunggu budak adik ni membesar. Sampailah dah habis belajar sekarang ni. Cinta mati oii!!" hujung kata Puan Ina yang penuh teruja.
Puan Senah mengangguk-angguk kepalanya tanda setuju.
"Aku pun macam tak percaya bila dia kata Tiyah setuju." balas Puan Senah dengan perlahan meleraikan pelukannya itu. Masih ada sisa air mata di tubir matanya. Diseka lembut.
Sembang-sembang juga, nasib baik cincin tidak lupa disarungkan ke jari manis Fathiyah.
Fathiyah memegang tangan Puan Senah. Tangan tua itu disalam lalu dicium lembut penuh sopan dan hati-hati.
Matanya memandang sekilas wajah Puan Ina, ibunya. Dia perasan yang ibunya turut berasa sebak. Cuma ibunya itu tidak tunjuk sepenuhnya.
"Adik sayang ibu selamanya.." bisik hati kecil Fathiyah.
Share this novel