Rina tiba di rumah tepat jam 4 petang. Diletaknya plastik pisang goreng yang dibelinya semasa dalam perjalanan pulang tadi di atas meja. Dia berjalan menuju ke ruang tamu lalu melabuhkan punggungnya di atas sofa. Badannya terasa sedikit penat dek kerana cuaca yang agak panas di luar. Dia memejamkan matanya untuk melepaskan lelah.
Eh, Nuril dah balik ke? Senyap je. Biasa waktu-waktu macam ni dia selalu layan movie dekat televisyen. Seraya dia berkata-kata di dalam hati, terdengar pintu bilik Nuril dibuka. Nuril keluar dari biliknya. Rina memandang ke arah temannya itu.
"Hi Nuril. Amacam? Seronok pergi dating? Hehe." Soal Rina sambil tersengih. Nuril memandang ke arahnya dengan wajah yang sugul. Terbeliak mata Rina tatkala perasan akan mata Nuril yang sedikit bengkak. Bingkas dia bangun mendapatkan Nuril.
"Nuril! Kau kenapa? Kenapa mata bengkak ni? Kau menangis ke?" Rina betul-betul terkejut melihat keadaan Nuril. Ditariknya tangan Nuril untuk duduk di sebelahnya. Nuril tunduk.
"Kau kenapa Nuril? Ceritalah kat aku. Risau aku tengok kau macam ni." Rina memegang kedua-dua belah pipi Nuril, direnungnya wajah itu. Nuril memandang tepat ke mata Rina. Mata Nuril sudah berkaca. Air mata yang cuba ditahannya tumpah lagi. Nuril teresak.
"Ya Allah! Kenapa ni Nuril? Ceritalah kat aku." Pujuk Rina lalu mengenggam tangan Nuril.
"Aku...aku...dah putus dengan Haiqal..." tersekat-sekat suara Nuril berbicara.
"Ya Allah! Kenapa? Dia ada buat apa-apa dekat kau ke?" soal Rina terkejut.
Ya Allah, Ya Tuhanku. Ujian apa yang kau berikan pada dua temanku hari ni? Hari yang sama. Kau mudahkanlah urusan mereka.
"Aku yang minta putus..."
"Huh?! Kenapa?" soal Rina lagi.
"Aku tak boleh nak teruskan hubungan aku dengan dia lagi."
"Dia ada buat benda tak senonoh pada kau ke?" soal Rina ingin tahu. Nuril mengelengkan kepalanya.
"Dia selalu desak untuk sentuh dan pegang-pegang aku. Aku tak suka dan aku tak boleh terima."
"Huh? Dia nak sentuh-sentuh kau? Beraninya dia." Rina cukup faham dengan sikap Nuril. Nuril memang menjaga batasan dalam pergaulannya.
"Dah banyak kali dia pujuk aku tapi aku selalu membantah. Tapi kali ni dia berang, dia kata aku ni kolot tak ikut perkembangan zaman. Dia kata aku berlagak alim." Rina menggeleng-gelengkan kepalanya setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nuril.
"Abang kau tahu tak pasal ni?" Nuril menggeleng.
"Erm, tapi betullah tindakan kau. Lelaki macam tu elok tinggalkan je. Tak tahu nak hormat orang." Nuril berhenti menangis selepas mendengar Rina berkata demikian. Dikesat air matanya.
"Betul ke keputusan yang aku buat ni Rina?"
"Betul..aku sokong apa yang kau buat. Tapi kau masih sayangkan dia ke?" Nuril tergamam saat di soal begitu. Dia tidak tahu bagaimana dia harus menjawab pertanyaan Rina.
"Entahlah Rina, aku tak tahu nak cakap macam mana."
"Eh, macam tu pulak. Cara kau cakap macam kau tak tahu perasaan kau pada dia je..." Ujar Rina. Dia keliru dengan jawapan yang diberi oleh Nuril.
"Sungguh Rina, aku keliru dengan perasaan aku. Aku tak tahu apa yang aku rasa." Nuril teresak semula. Entah mengapa dia merasa terlalu sedih dengan apa yang berlaku walhal dia tidaklah menyerahkan seratus peratus rasa sayangnya pada Haiqal.
"Aku rasa aku faham apa yang kau rasa. Kau rasa macam tu sebab kau masih di fasa untuk kenal hati budi masing-masing lagi. Perasaan cinta dan sayang tu baru nak berputik."
"Mungkin..."
"Tapi aku sedih sebab aku tak mampu nak ubah sikap dia jadi lebih baik. Dia abaikan batasan agama dan dia ajak aku sekali jadi macam dia. Aku rasa geram dan aku rasa bodoh sangat sebab tak dapat nak ubah sikap dia..." tambah Nuril lagi.
"Dah...dah...jangan cakap macam tu. Kau tak bodoh, apa yang kau buat tu memang betul. Niat kau tu baik Nuril, tapi nak ubah sikap orang tu bukan mudah. Tapi kau dah cuba kan?"
Nuril mengangguk.
"So no worries, jangan sedih sedih. Aku tak suka tengok Nuril yang aku kenal ni sedih. Nuril yang aku kenal selalu tersenyum tau. Kau lupakan je Haiqal tu. InshaAllah, aku pasti Allah aturkan sesuatu yang lebih baik untuk kau." Nuril mengesat air matanya yang masih tersisa. Dia merasa sedikit lega selepas mendengar kata-kata Rina. Pada Rina sahajalah tempat dia untuk mengadu masalahnya. Rina adalah teman yang paling dia percayai selain abang kandungnya Adwa.
"Tapi...esok...aku ada meeting dengan dia." Kata Nuril perlahan.
"Ye ke? Aissh. Erm, kau MC jelah esok. Mintak dengan abang kau MC hehe." Cadang Rina.
"Rina! Janganlah buat lawak. Aku tengah serius ni."
"Hehe. Sorry...aku gurau je. Kau ambil cutilah esok. Tenangkan diri kau. Cari kekuatan untuk hati kau tu. Aku tahu kau boleh hadapi semua ni sebab kau seorang yang kuat semangat." Nuril diam mendengar kata-kata Rina. Dia tersentak. Ada benarnya kata temannya itu, dia perlu cari kekuatan untuk dirinya. Dia perlu jadi seseorang yang berjiwa kental, yakin dengan keputusan yang telah dia buat.
"Terima kasih Rina. Aku rasa aku tahu apa perlu aku buat lepas ni." Ujar Nuril dengan riak muka yang sedikit ceria.
"Sama-sama Cik Nuril ku yang comel...Aku ada beli pisang goreng tadi. Jom kita makan." Pelawa Rina.
"Kau duduk, biar aku pergi ambil pinggan." Ujar Nuril melemparkan senyuman. Rina hanya tersengih ke arah Nuril. Dia merasa sedikit lega melihat Nuril sudah sedikit tenang.
Ya Allah...Kau permudahkanlah segala urusan sahabatku Asrar dan Nuril. Kau tenangkan hati mereka dalam menempuhi ujianMu ini.
**************
Malam itu Asrar dan Remy keluar makan malam di sebuah kedai makan berhampiran rumah sewa Remy. Asrar menumpang di rumah sewa Remy pada malam itu kerana keesokkan harinya dia mempunyai urusan di kementerian berkaitan kerjanya sebelum dia pulang ke Kedah semula.
"Apa plan kau lepas ni?" soal Remy pada Asrar yang sedang menyuap mee goreng ke mulutnya. Sepanjang mereka menunggu makanan mereka siap seketika tadi, Asrar banyak termenung. Dia tidak banyak berbicara seperti kebiasaannya. Perwatakannya yang selalu ceria sebelum ini bertukar suram. Dia sedikit terkesan dengan apa yang berlaku tengah hari tadi.
"Hmm, esok aku ada urusan sikit dekat kementerian."
"Owh, patutlah kau turun KL."
"Ha ah. By the way thanks bro sebab bagi aku tumpang kat rumah kau malam ni."
"Tak ada masalah. Kalau kau nak pindah masuk rumah aku pun boleh. Hahaha."
"Haha...dapat kerja dekat KL nanti aku pindah." Remy tersengih mendengar kata-kata Asrar. Mereka sudah berteman semenjak zaman matrikulasi lagi, walaupun bidang pengajian mereka berbeza namun itu tidak menghalang mereka menjadi teman rapat.
"Kau apa cerita Remy? Kerja kau okay?"
"Alhamdulillah okay. Cuma ada masa sibuk ya amat. Penat."
"Hmm, biasalah tu dah kerja kan. Kau bila nak tamatkan zaman bujang? Hehe." soal Asrar. Remy hanya menjungkitkan bahunya.
"Entahlah. Aku tak fikir pun lagi. Makwe pun tak ada, macam manalah aku nak kahwin. Tak ada orang nak, lainlah macam kau... handsome... sekali petik jari je, ramai perempuan beratur."
"Ish, kau ni. Ke situ pulak. Aku biasa-biasa jelah."
"Hehe...Hmm, Asrar... sorry kalau aku tanya. Kau okay tak? Asyik menung je aku tengok sejak tengah hari tadi."
"Huh? Erm... aku okay. Kau jangan risaulah." Asrar cuba menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu temannya terlibat sama dalam masalah yang dihadapinya.
"Hmm, tak apalah kalau kau tak nak share. Kalau kau ada nak luahkan apa-apa, aku sedia mendengar."
" Hehe...kau ni. Aku tengah memikirkan perancangan untuk masa depan akulah." Remy tersengih dengan kata-kata Asrar.
"Aku akui memang aku terkesan dengan apa yang berlaku tadi, tapi aku redha.. aku percaya Allah aturkan sesuatu yang lebih baik untuk aku." Sambung Asrar lagi.
"Terbaik bro, nilah yang aku tabik dengan kau. Kalau aku dekat tempat kau, aku tak tahulah apa yang akan aku buat."
"Aku tak nak fikir sangatlah pasal hal tadi. Lagipun aku memang dah bersedia untuk hadap semua ni sejak aku dapat tahu pasal kecurangan tunang aku tu. Memang aku harapkan apa yang aku dengar tu tak betul. Tapi Allah lebih mengetahui. Dia dah tunjukkan depan mata aku sendiri, jadi aku redha." Remy hanya mengangguk mendengar kata-kata Asrar.
"Aku pasti Allah akan hadirkan perempuan yang lebih baik untuk kau lepas ni."
"InshaAllah. Tapi sekarang aku tak nak fikir lagi soal jodoh. Aku pasti Allah akan temukan aku dengan jodoh aku tepat pada waktunya. Sama juga untuk kau, tepat waktu dan ketika kau pun akan jumpa dengan jodoh kau juga hehe."
"Aamiin..."
**********
Keesokkan harinya, Nuril bersiap-siap untuk ke tempat kerja seperti biasa. Dia bekerja sebagai Pereka Bentuk Dalaman di Meta Design Corporation. Manakala Rina bekerja di sebuah syarikat pengauditan. Seusai bersiap Nuril menuju ke dapur untuk bersarapan. Dia membancuh secawan air kopi panas.
"Rina. Kau nak kopi?" soal Nuril seraya ternampak Rina yang baru keluar dari biliknya.
"Erm...boleh jugak. Thanks." Ujar Rina sambil tersengih lalu dia duduk di meja makan.
"Kau okay hari ni?" soal Rina sambil memerhati Nuril menyediakan air kopi untuknya. Diamatinya wajah Nuril, bengkak di matanya sudah hilang. Wajahnya sudah kembali seperti sediakala, tidak seperti semalam yang kelihatan sugul.
"Aku okay. Nah...cuba kau rasa. Okay tak?" Nuril menghulurkan secawan kopi kepada Rina sambil tersenyum. Lalu Rina meneguk air kopi tersebut.
"Hmm, sedap. Sedang elok rasanya. Tak manis sangat tak pahit sangat hehe." Sememangnya Rina tidak suka air yang terlalu manis.
"Akhirnya berjaya jugak aku bancuh air yang menepati citarasa kau. Selama ni asyik fail je hehehe."
"Haha...kau ni, selama ni kau selalu terlebih letak gula."
"Kan. Aku tak pandai nak agak hehe." Nuril duduk di sebelah Rina lalu menjamah sekeping roti dan air kopi yang dibancuhnya tadi.
"Aku balik lambat sikit hari ni. Kalau ada apa-apa kau call je aku." Pesan Rina.
"Aku okay. Kau jangan risaulah." Ujar Nuril. Dia faham dengan maksud Rina. Rina terlalu risaukan dia.
"Alright. Apa-apa pun call je aku kalau ada apa-apa."
"Baik bos." Balas Nuril tersengih.
"Jom kita. Nanti terlambat pulak."
******
Setibanya di pejabat, Nuril bertemu dengan rakan pejabatnya Mia yang sudah pun khusyuk mengadap skrin komputernya.
"Assalammualaikum Mia. Selamat pagi." Sapa Nuril lalu melemparkan senyuman kepada Mia.
"Waalaikumussalam. Selamat pagi Nuril."
"Awal kau hari ni." Tegur Nuril lagi.
"Ada dokumen tak siap lagi untuk meeting. Tolong aku Nuril."
"Huh? Ada lagi yang tak siap ke?" soal Nuril sedikit cemas.
"Aku dah buat Jumaat hari tu. Tapi pagi ni masa aku nak print, aku tak jumpa file yang aku save tu. Adoi. Apa aku nak buat ni?" Mia semakin risau, hanya tinggal satu jam sahaja lagi sebelum mesyuarat berlangsung.
"Kau ada simpan tempat lain tak selain dalam komputer tu?"
"Aku rasa macam tak ada."
"Eh, kejap. Aku rasa aku ada mintak softcopy dengan kau Jumaat hari tu. Ingat tak? Sebab aku nak review sebelum meeting. Cumanya dokumen tu tak final lagi. Kejap, aku tengok." Laju sahaja tangan Nuril mencari dokumen di dalam komputernya.
"Hah...ada!" jerit Nuril.
"Alhamdulillah!" sambut Mia gembira.
"Tapi kau kena edit sikitlah."
"Boleh...boleh. Yang penting aku tak kena buat semua sekali semula. Kau email kat aku sekarang. Hmm, sempat lagi aku edit ni."
"Alright."
"Eh! Tu...pakwe kau dah datang." Ujar Mia sambil menjuihkan bibirnya ke arah Haiqal dari jauh. Nuril hanya diam membisu sambil tersenyum kelat. Haiqal datang ke pejabat Nuril pada hari itu atas urusan mesyuarat. Haiqal berkerja di syarikat kontraktor dan kebetulan syarikat mereka ada berkerjasama untuk salah satu projek di syarikatnya.
"Kau tak nak pergi sambut ke?" soal Mia dengan matanya tertumpu pada skrin komputer. Laju tangannya menaip menyiapkan dokumen yang tercicir.
"Tak nak." Ringkas jawapan Nuril. Mata Nuril tertumpu pada dokumen di mejanya, dia menyusun dokumen-dokumen tersebut untuk mesyuarat sebentar nanti.
"La...kenapa? Tak excited ke pakwe datang?" soal Mia lagi.
"Erm, kami dah putus." Jawab Nuril bersahaja. Terbeliak mata Mia mendengar kata-kata Nuril.
"Huh?! Kenapa?? Terkejut aku dengar."
"Tak ada jodoh." Ringkas Nuril menjawabnya. Nuril sedang cuba untuk kuat walaupun dia masih terkesan dengan apa yang berlaku semalam.
"Adoi! Nanti lepas meeting kau cerita dekat aku." Nuril hanya tersenyum kelat mendengar kata-kata Mia. Mereka berdua agak rapat walaupun sebagai teman sepejabat.
Sepuluh minit sebelum mesyuarat Mia dan Nuril bergegas ke bilik mesyuarat untuk membuat persiapan sebelum mesyuarat bermula. Setibanya Nuril di pintu bilik mesyuarat dia terpandang ke arah Haiqal yang sedang duduk di sofa berhampiran bilik mesyuarat tersebut dengan beberapa orang pegawai yang lain. Haiqal memandang ke arah Nuril dengan pandangan yang tajam. Nuril lalu mengalihkan pandangan ke arah lain dan terus menuju masuk ke bilik mesyuarat. Malas dia nak melayan renungan dari Haiqal.
Aishh...relax je aku tengok si Nuril ni. Macam tak ada apa-apa yang berlaku je pada dia. Huh! Gadis ni memang lain dari yang lain. Ish! Tak boleh jadi ni. Aku kena dapatkan dia balik. Haiqal berkata-kata di dalam hatinya.
Mesyuarat pada pagi itu berjalan lancar seperti yang dirancang. Sepanjang mesyuarat Nuril langsung tidak memikirkan berkenaan hal peribadinya. Dia komited dengan kerjanya, dia tidak suka mencampuri urusan peribadinya dengan urusan kerjayanya. Itulah prinsip yang dia pegang selama ini. Nuril menuju ke meja sisi di tepi bilik mesyuarat untuk mengambil sebotol air mineral. Sedikit minum pagi disediakan untuk ahli-ahli mesyuarat pada pagi itu. Kebanyakkan teman sepejabatnya sudah sedia maklum akan hubungannya dengan Haiqal.
"Hey Haiqal. Kau bila lagi nak menamatkan zaman bujang kau?" soal Fikri salah seorang rakan sepejabat Nuril.
"Huh? Asihh, nantilah." Balas Haiqal.
"Nanti? Calon dah ada, buat apa nak tunggu lama-lama? Kami ni dah tak sabar nak makan nasi minyak kau. Hahaha." Ujar Fikri lagi sambil matanya melirik ke arah Nuril yang berada tidak jauh dari situ. Nuril terdengar perbualan mereka tatkala dia sedang menjamah sebiji kuih bersama-sama Mia namun dia tidak menghiraukannya. Terasa berbulu di telinganya.
Ya Allah. Jangan Kau satukan aku dengan Haiqal lagi. Temukan aku dengan lelaki yang betul-betul tahu menjaga batasan agamanya. Kuat imannya, yang mampu memimpin aku ke syurgaMu. Aamiin. Nuril berdoa dalam hatinya.
"Haha...tunggu jelah." Balas Haiqal lalu dia menoleh ke arah Nuril.
"Nuril. Haiqal pandang kau." bisik Mia perlahan.
"Erm, biarkan dia. Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia lagi. Kau dah siap makan? Jom."
"Hmm, sudah. Jomlah. Kerja banyak menunggu ni hehe." Balas Mia. Mereka kemudiannya berlalu dari situ. Haiqal hanya memandang ke arah Nuril yang berjalan melepasinya. Teringin sahaja dia menarik tangan Nuril pada ketika itu namun ditahannya.
Nuril sedikit pun tidak berniat untuk menegur Haiqal pada hari itu. Dia nekad, tidak mahu berhubung dengan Haiqal lagi.
Sedang Nuril khusyuk menyiapkan kerjanya telefon bimbitnya berbunyi. Dia mengerling ke arah telefonnya. Tertera nama Haiqal pada skrin telefon tersebut lalu Nuril mengabaikannya. Sungguh dia tidak boleh menerima sikap Haiqal, pernah beberapa kali lelaki itu berjanji dengannya namun sering dimungkirinya.
Hmm... Apa lagi yang dia nak dari aku ni?! Tak boleh ke kalau tak ganggu aku? Ish, geramnya!
"Huh! Nuril, kau tak nak jawab ke call tu?" Soal Mia yang mendengar telefon Nuril berdering beberapa kali. Nuril menggeleng.
"Sorry kalau mengganggu kau. Nanti aku tukar mode silent. Hehe."
"Haiqal?" Mia menyoal.
"Ha ah."
"Owh. Okay." Mia sudah memahami situasi Nuril selepas Nuril menceritakan apa yang terjadi kepadanya semalam.
Haiqal tidak berputus asa. Dia lalu menghantar mesej kepada Nuril melalui whatsapp pula namun Nuril tetap tidak mengendahkannya.
Haissh! Dia tak jawab. Mesej aku pun dia tak baca. Apa aku nak buat ni? Dia memang betul-betul dah nekad ke tak nak berhubung dengan aku langsung? Aku kena cuba pujuk lagi ni. Haiqal berfikir sendirian.
Petang itu Haiqal keluar awal sebelum habis waktu pejabat dari pejabatnya. Dia memarkirkan keretanya di pekarangan tempat Nuril berkerja. Haiqal berhasrat untuk menunggu Nuril di situ. Dia tetap dengan kata hatinya untuk berjumpa dengan Nuril dan ingin memujuk Nuril kembali kepadanya. Seketika kemudian dia ternampak kelibat Nuril berjalan menuju ke kereta. Haiqal bingkas keluar dari kereta lalu segera mendapatkan Nuril.
"Nuril!" panggil Haiqal. Nuril tersentak. Dia terkejut apabila ternampak Haiqal berada di situ. Cepat-cepat Nuril membuka pintu keretanya namun sempat dihalang oleh Haiqal dengan menekan pintu tersebut dengan telapak tangannya. Nuril terperangkap di antara tangan Haiqal dan cermin sisi keretanya. Nuril mula cuak dengan situasi tersebut. Haiqal berada terlalu hampir dengannya.
"Kau jangan cuba nak lari." Ujar Haiqal. Dia memandang tepat ke wajah Nuril yang berada hanya beberapa inci sahaja di hadapannya. Nuril memandang ke anak mata Haiqal dengan renungan yang tajam. Jantungnya sudah berdegup laju.
"Hey! Ke tepilah!" jerit Nuril. Dia memberanikan diri untuk melawan. Ligat kepalanya berfikir, cuba mencari jalan untuk melepaskan diri dari situ. Haiqal masih menekan pintu keretanya.
"Kenapa tak jawab call aku? Kenapa tak balas mesej aku?" soal Haiqal.
"Buat apa aku nak buat semua tu? Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan kau!"
"Ishh! Ke tepilah!" pekik Nuril lalu dia menolak bahu Haiqal menggunakan beg tangannya, tak semena-mena Haiqal tertolak ke belakang.
"Nuril! I still love you!" Haiqal merayu. Nuril menggeleng.
"Cukuplah Haiqal. Kau carilah perempuan lain yang layak untuk kau. Aku tak sesuai dengan kau. Aku perempuan kolot yang akan memalukan kau je nanti." Bila difikir-fikir dia sudah pun tawar hati dengan Haiqal semenjak janjinya sering dimungkiri.
"Kau tak sayang aku ke?" soal Haiqal.
"Aku...pernah sayangkan kau tapi...sekarang aku dah tawar hati dengan sikap kau. Kau anggap jelah sayang aku selama ni tak lebih dari seorang kawan." Tergamam Haiqal mendengar kata-kata dari Nuril. Namun dia tidak berputus asa.
"Aku minta maaf. Aku tahu aku salah, aku selalu tak tepati janji. Aku tahu kau tak suka sentuh-sentuh ni, tapi aku tetap pujuk kau untuk buat benda yang kau tak suka sampai kau marah. Aku minta maaf. Aku nak kita kembali bersama. Aku janji aku tak akan buat lagi."
"Haiqal. Cukuplah dengan janji-janji kau tu. Aku dah muak dengan janji kosong kau. Walau apa pun yang kau cakap, aku tak akan ubah pendirian aku."
"Nuril...please!"
"Sudahlah Haiqal...tolong jangan ganggu aku lagi." Kata Nuril lalu dia masuk ke dalam keretanya. Haiqal bagai kehilangan kata-kata. Dia terdiam sambil memerhati tingkah laku Nuril tanpa menghalangnnya. Nuril kemudiannya terus memandu keretanya meninggalkan pekarangan pejabatnya.
Ish!! Susahnya nak pujuk dia ni. Patutlah selama ni kau tak termakan pujukkan aku, kau memang jenis yang sukar dipujuk. Kalau perempuan-perempuan yang pernah aku kenal, cepat je cair tiap kali aku pujuk. Haiqal menggenggam tangannya. Dia geram kerana pujukkannya tidak berhasil.
Share this novel